12 Rekaan Penuh Nilai Estetika
Tema Saya Bukan Puteri Juga Bukan Permaisuri diangkat pereka muda Rico Rinaldi dalam menterjemahkan tema kiasan koleksi Atelier Rinaldi dengan mengambil kira personaliti mempelai yang tidak mahu rekaan terlalu ringkas dan pada masa sama, tidak mahu terlalu sarat dan menonjol.
Hasilnya, lahirlah 12 persalinan anggun dan mewah, sekali gus memberi impak baru dalam penghasilan busana pengantin.
Ujar pemenang Piala Seri Endon 2009 ini, setiap busana adalah inspirasi pengantin sendiri yang semakin bijak memilih helaian yang mereka inginkan, dikongsi dengan pengalaman Rico selepas dua tahun menceburi rekaan busana pengantin.
“Jika dulu saya menghasilkan gaun kasual kini kewujudan Atelier Rinaldi sebagai sebahagian jenama Rico Rinaldi bakal menjadi pilihan mempelai hari ini,” katanya.
Dia yang juga bekas graduan Universiti Limkokwing dalam jurusan Seni Rekaan Fesyen dan Peruncitan mengambil masa satu bulan setengah untuk menyiapkan 12 rekaan yang penuh nilai estetika ini. Garapan sentuhan berseni dapat dilihat di setiap busana rekaannya terutama penekanan terhadap perincian pada setiap ruang sama ada pada hadapan pakaian mahupun sisi atau lengan baju.
Seni manik menjadi tanda pengenalan Rico serta antara elemen dramatik yang diketengahkan. Malah, dia bijak memilih material dengan penggunaan batu permata, jemeki, kristal, manik dan acrylic mewah pada setiap busana rekaannya.
Menariknya, koleksi busana kali ini himpunan idea, sekali gus menjadi tanda pengenalan busana pengantin rekaan Rico yang pernah mengikuti kursus di London Fashion School of Art ini.
Rekaan yang mempunyai bentuk baju ringkas dan mudah digayakan ini menggunakan fabrik sifon, renda Perancis, satin pengantin, sutera crepe dan satin sutera yang tentunya menjadi lambang kepada kemewahan apabila digayakan mempelai.
“Sama seperti rekaan busana mempelai yang lalu, saya banyak menggunakan fabrik sifon dan renda dengan tambahan satin dan crepe pada rekaan busana. Apa yang saya tekankan adalah penggunaan fabrik berkualiti yang memberi impak pada penampilan raja sehari,” katanya yang gemar bermain dengan rona pastel seperti putih, krim, kelabu serta merah jambu cair kerana gabungan rona ini mempunyai keindahan serta menampilkan kemewahan tersendiri.
Dia yang juga pemenang Anugerah Pesona Tenun Berita Harian 2011 sentiasa mengekalkan elemen keMelayuan menerusi potongan baju kurung dan kebaya, namun diberi suntikan baru bagi menghangatkan lagi koleksi yang mula mendapat perhatian ini. Ia juga sebagai satu cara Rico mengembalikan keindahan busana tradisi Melayu ini yang tidak lapuk ditelan zaman.
“Jika diperhatikan, setiap persalinan ada sentuhan tradisional menerusi potongan baju kurung serta kebaya. Namun, oleh kerana mempelai inginkan gaya moden, saya terapkan perincian manik mewah pada fabrik berkualiti supaya mereka tampil menawan, anggun dan menyerlah terutama untuk majlis dalam taman,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan koleksi Atelier Rinaldi boleh membuat tempahan secara terus sama ada menerusi rekaan yang sama atau diolah mengikut cita rasa dan konsep perkahwinan mempelai dengan membuat temu janji di Rico Rinaldi butiknya di Kajang, Selangor atau layari laman sesawang www.ricorinaldi.com.