2 Lelaki ‘curi’ Kepercayaan Hawa

“BELI saja dari online senang, cepat dan menjimatkan masa. Tidak perlu bersusah payah mencari tempat meletak kereta. Cuma hidupkan komputer riba, layari laman sesawang, klik, pilih saja mana yang berkenan di hati dan bayar. Mudah bukan?”

Mungkin ini antara luahan pendapat beberapa pelanggan yang mula menjalankan urusan pembelian menerusi dalam talian.

Sesetengahnya pula berasa kurang yakin kerana barang yang diingini tiada di depan mata, tidak mampu dipegang dan dicuba terutama membabitkan barangan wanita seperti pakaian, kasut dan beg tangan.

Namun, walau apa juga tanggapan ramai, urusan membeli di alam maya kini menjadi satu gaya hidup terkini masyarakat kota terutama wanita yang sentiasa sibuk dengan urusan seharian.

Keadaan ini menyebabkan ‘butik’ dalam talian bak cendawan tumbuh selepas hujan. Tumpuan asasnya mudah saja, menjual keperluan wanita dari hujung rambut sehingga kaki bagi memastikan barang dipasarkan mendapat perhatian.

Namun bagi meyakini dan mewujudkan kepercayaan pelanggan bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana barang yang ingin dibeli hanya mampu dilihat menerusi skrin tanpa dinilai kualitinya.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan penjual melakukan promosi. Mungkin bagi pemilik butik alam maya wanita tiada masalah kerana mereka lebih memahami kehendak wanita.

Tetapi bagaimana pula sekiranya empunya butik itu lelaki dan menjual pakaian wanita?

Bagi pemilik Allya Mysara Couture (AMC), Wan Iskandar Zulkarnain Wan Ismail, 26, atau mesra disapa Kimi, detik perniagaan dalam talian bermula selepas menemani ibu ke Tanah Abang, Indonesia.

Melihat pelbagai jenis pakaian pada harga murah menyebabkan dia membeli beberapa rekaan busana untuk dijual di pejabat.

Daripada situ, dia melihat masa depan perniagaan ini yang mampu berkembang sehinggalah dia menjual menerusi dalam talian menggunakan nama Allya Mysara Couture bersama sahabat karib, Ahmad Yusri Ismail, 30.

“Ketika itu, saya masih bertugas sebagai pegawai teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta, begitu juga Yusri sebagai pensyarah kolej.

Berbekalkan minat dan sedikit pengetahuan, kami memulakan perniagaan dengan hanya menjual kaftan, telekung dan sejadah,” katanya yang berkelulusan kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Menyedari kedua-duanya lelaki dan langsung tiada pengetahuan asas mengenai jahitan dan fesyen, Kimi menjalankan sedikit kajian mengenai kesukaan wanita ketika berbelanja serta mencari strategi mendapatkan kepercayaan pelanggan.

Dengan menyamar sebagai pelanggan wanita, dia menyedari kepercayaan hanya dapat diwujudkan menerusi kesahihan maklumat serta barang dipasarkan.

Berbekalkan semangat dan wawasan untuk mengetengahkan fesyen busana Muslimah elegan, eksklusif serta mampu milik, mereka mengorak langkah menawarkan jualan secara borong bagi kaftan, jubah dan blaus sehingga berjaya menambat hati pemilik butik Muslimah di seluruh Malaysia sehingga mampu memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM10,000 sebulan.

“Sedikit demi sedikit kami membina kepercayaan pelanggan terutama wanita dengan menyediakan rakaman video di YouTube mengenai pakaian dipasarkan, komen daripada pelanggan serta mencari seberapa banyak tajaan untuk artis.

Alhamdulillah, selepas empat bulan membuka butik di rumah di Setapak, Kuala Lumpur, kami berjaya menaja Fauziah Ahmad Daud dan beberapa selebriti lain,” jelasnya yang percaya pelaburan dikeluarkan untuk tajaan menjanjikan pulangan lumayan pada masa depan.

Menurut Kimi, cabaran sebagai pemilik butik lelaki apabila pelanggan berasa kurang selamat untuk berurusan.

Ini kerana ada yang ingin datang ke rumah untuk melihat baju dan apabila mereka mengetahui jantina pemiliknya, ramai yang membatalkan hasrat untuk bertemu.

“Apa yang saya lakukan adalah menyediakan kaki tangan wanita supaya urusan pembelian dilakukan sesama mereka.

Pelanggan berasa lebih selesa terutama ketika mencuba pakaian dan memilih fesyen mengikut bentuk badan wanita. Mereka juga rasa selamat memandangkan wanita lebih memahami dan jarang melakukan penipuan,” ujarnya.

Selepas empat bulan menjalankan perniagaan alam maya, Kimi mulai nampak masa depan dalam bidang ini sehingga sanggup melepaskan jawatan sebagai penasihat teknologi maklumat. Berbekalkan modal RM2,000 dengan hanya 40 baju, Kimi dan Yusri melangkah setapak dengan membuka butik di Shah Alam, Selangor.

Jelasnya, walaupun masih menjalankan perniagaan secara dalam talian, pembukaan butik terbabit untuk memberi keselesaan kepada pelanggan terutama daripada segi memilih dan mencuba baju.

Walaupun 70 peratus hasil keuntungan diperoleh daripada jualan alam maya, membuka butik mampu memberikan kepuasan berbeza terutama bagi mengembangkan perniagaan pakaian.

Pada masa sama, mereka turut menganjurkan kursus borong Indonesia terbuka kepada sesiapa saja yang ingin menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Bagi Kimi, tidak salah berkongsi ilmu terutama di kalangan ibu tunggal serta wanita yang ingin mencari pendapatan tambahan.

“Kami ingin berkongsi maklumat dengan sesiapa saja yang berhasrat menjalankan perniagaan dalam talian. Dengan berbekalkan modal yang sedikit, sesiapa juga mampu mencipta kejayaan yang besar dalam perniagaan.

Apa yang penting, ilmu serta bertindak menjual barangan yang berbeza daripada peniaga lain,” ujarnya yang kini menjual hasil rekaan sendiri yang dipelajari menerusi laman YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

841 views