400 Teksi Beroperasi Secara On-call

KALI pertama menaiki teksi yang dipandu wanita, memang terasa kelainannya – hati bukan saja lebih tenang tetapi rasa selesa dan selamat. Tiada lagi perasaan janggal seperti yang kerap penulis alami terutama apabila terpaksa mendapatkan khidmat teksi pada waktu malam.

Jika sebelum ini pemanduan teksi dimonopoli lelaki dan mempunyai banyak risiko membabitkan isu keselamatan, namun ia tidak menghalang pembabitan wanita dalam kerjaya berkenaan. Bahkan usaha membuka ruang untuk wanita menjadi pemandu teksi disambut baik banyak pihak terutama wanita sendiri.

Ia bukan saja bertujuan mengurangkan kadar jenayah, keselesaan dan keselamatan penumpang wanita lebih terjamin ekoran ramai penumpang wanita menjadi mangsa pemandu teksi lelaki, tetapi pada masa sama memberikan golongan berkenaan sumber pendapatan kukuh bagi menyara diri dan keluarga.

Pemandu teksi wanita, Faridah Idris, 38, berkata, dia tidak pernah memilih kerjaya yang diceburinya kerana sebelum memandu teksi, dia pernah mencuba pelbagai pekerjaan termasuk sebagai guru sandaran dan pekerja pejabat, namun semuanya tidak kekal lama lantaran tidak sesuai dengan jiwa dan minatnya.

Menurutnya, pada awalnya dia mengetahui peluang kerjaya sebagai pemandu teksi daripada seorang kawan dan berminat untuk mencuba bagi memperoleh pendapatan tetap menyara keluarga dan ternyata kerjaya ini sesuai dengan jiwanya. Buktinya kini sudah empat tahun dia menjadi pemandu teksi dan belum timbul perasaan jemu bekerja.

Lebih menarik, dengan kerjaya ini, dia mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga kerana kerjaya sebagai pemandu teksi tiada had masa bekerja yang tetap. Jika mahu bekerja lapan jam boleh, jika mahu pulang awal juga boleh. Semuanya terpulang kepada diri sendiri.

“Biasanya saya keluar memandu seawal jam 6.30 pagi dan pulang ke rumah jam 7 malam. Sepanjang tempoh itu, pelbagai perkara boleh dilakukan sama ada membayar bil, pergi ke bank ataupun semua urusan yang berkaitan dengannya.

“Boleh dikatakan saya bekerja dalam suasana santai yang tidak memberikan tekanan dan ia sesuatu yang sukar diperoleh terutama jika tinggal di ibu kota,” katanya ketika ditemui di Jabatan Pembangunan Wanita, Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Faridah berkata, dia bangga kerana menjadi antara 50 pemandu teksi yang terbabit dalam program Teksi Wanita yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kei yang melancarkan perkhidmatan berkenaan berkata, fasa perintis projek itu dengan kerjasama ABEX Manufacturing Sdn Bhd menyasarkan 400 teksi beroperasi secara on-call di sekitar Lembah Klang secara berperingkat-peringkat.

Program ini turut menggalakkan wanita terutama suri rumah, ibu tunggal dan pesara untuk menyertai program berkenaan. Ini akan membolehkan penumpang wanita yang bersendirian atau membawa anak mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam dengan lebih selesa.

Katanya, seorang pemandu teksi bukan saja perlu pandai berkomunikasi, malah perlu rajin menimba pengetahuan untuk dikongsi dengan penumpang serta mementingkan keselesaan penumpang.

Bagi Faridah, dia bukan saja seorang pemandu teksi malah turut bertanggungjawab mempromosikan tempat menarik di negara ini terutama kepada pelancong asing.

“Sebagai pemandu, kita perlu mengingati setiap jalan yang ingin dilalui penumpang serta jalan pintas yang boleh digunakan bagi mengelak kesesakan terutama pada waktu puncak.

“Bagi saya, ia sesuatu yang menyeronokkan kerana seolah-olah kita bermain sorok-sorok dan penting untuk menemui jalan utama yang dikehendaki penumpang,” katanya yang memilih bekerja sebagai pemandu teksi di Destination Transport (M) Sdn Bhd.

Ibu tunggal, S Manimegalai, 28, berkata, peluang yang diberikan kepadanya untuk memandu teksi akan digunakan sebaik mungkin.

Walaupun baru dua bulan memandu teksi tetapi baginya pengalaman memandu dan menghantar penumpang ke destinasi adalah sesuatu yang menyeronokkan.

“Saya selesa bekerja sebagai pemandu teksi kerana banyak masa boleh diperuntukkan untuk diri dan anak. Malah syarikat tempat saya bekerja banyak memberikan motivasi serta dorongan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

“Setiap hari saya belajar perkara dan laluan baru. Ada kalanya penumpang sendiri akan menunjukkan jalan ke tempat yang dituju dan ia memudahkan saya untuk mengingatinya,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki berusia tiga tahun itu tidak pernah menjadikan jantina sebagai penghalang kerana baginya wanita boleh melakukan apa yang mustahil demi menyara diri dan keluarga.

Tidak dapat dinafikan, katanya, isu keselamatan diri paling diutamakan dan disebabkan itulah dia amat berhati-hati ketika mengambil penumpang.

“Saya mula bekerja seawal jam 6 pagi dan balik ke rumah jam 8 malam. Namun jika perlu berada lebih lama di jalan, mungkin tengah malam baru saya balik ke rumah. Sehari saya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya RM150 bagi memastikan segala perbelanjaan harian yang tertanggung boleh dijelaskan bagi mengelakkan bebanan hutang,” katanya.

Menurutnya, pelbagai perkara boleh dipelajari melalui projek perintis itu terutama berkaitan kenderaan kerana dia turut diajar cara untuk memastikan teksinya berada dalam keadaan baik demi keselesaan penumpang.

“Saya perlu memastikan bahagian dalaman dan luaran teksi berada dalam keadaan baik serta sentiasa bersih. Saya juga mengetahui teknik asas untuk menukar tayar kereta serta membaiki bahagian yang tidak memerlukan kerja pembaikan yang rumit. Ini adalah bonus bagi saya,” katanya.

Sementara itu, bagi Angie Ng, 46, sepanjang bertugas sebagai pemandu teksi, dia tidak pernah berhadapan dengan pengalaman kurang menyenangkan terutama membabitkan penumpang lelaki.Dia yang memiliki pengalaman selama 17 tahun membawa teksi berkata, setiap penumpang yang menaiki teksinya mengagumi keupayaannya memandu teksi terutama dengan usianya kini, masih mampu meredah kesesakan jalan raya.

Katanya, segala yang dilakukan itu demi menyara keluarga dan anak. Malah masa kerja yang fleksibel dan tidak perlu merakam kad kedatangan membuatkan dia boleh bertahan dengan kerjaya itu.

“Sebagai pemandu teksi wanita, kita perlu bersedia dengan banyak bersabar kerana kita akan berhadapan dengan pelbagai kerenah penumpang yang kadang kala boleh membuatkan kita hilang sabar. Namun itulah asam garam dan lumrah yang dilalui setiap pemandu kenderaan pengangkutan awam terbabit tanpa mengira jantina kerana banyak masa dihabiskan di atas jalan raya. Oleh itu, kita perlu berhati-hati,” katanya yang berkhidmat dengan Sunlight Taxi Group of Companies sambil melambaikan tangan kepada penulis untuk mencari penumpang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

732 views