Ada Arahan Dalam Al-Quran

“Bayi saya enggan menyusu badan. Sudah puas saya cuba pelbagai cara tetapi tidak berjaya”.

“Susu badan saya tidak cukup menyebabkan anak saya tidak puas menyusu sampai saya terpaksa bagi susu formula”.

Itu antara kata-kata ibu moden bekerjaya saat memberi alasan enggan menyusu bayi yang dilahirkan.

Justeru, insiatif dilakukan seorang ibu muda beranak tiga yang memberi nasihat, pandangan dan tunjuk ajar kepada golongan ibu untuk menyusukan bayi sehingga cukup tempoh dua tahun, wajar dipuji.

Dengan penampilan berpurdah dan berjubah hitam, bekas graduan Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor ini langsung tidak kekok berkongsi kisah mengenai permulaannya bergerak secara maya dan mengadakan perjumpaan dengan golongan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Mardziah Mohd Lokoman, 31, berkata, dia mahu semua ibu yang melahirkan memberi anak mereka susu ibu sepenuhnya kerana Allah sudah menetapkan setiap bayi yang lahir perlu diberikan susu ibu sehingga berusia dua tahun.

Pembabitannya sebagai kaunselor laktasi serta berniaga barangan penjagaan bayi dan buku ilmiah berkaitan penyusuan ibu bermula selepas melahirkan anak sulung.

“Semuanya bermula selepas saya melahirkan anak sulung, Muhammad Farhan Ibtisam yang kini berusia enam tahun. Dua lagi anak saya ialah Farah Solehah, 4, dan Abdullah Farhan, 2.

“Selain suami dan keluarga, saya tidak mendapat sokongan masyarakat sekeliling. Lebih mengecewakan ada yang menyindir saya asyik berkepit dan menyusu bayi sepanjang masa,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan mereka sebaliknya menerangkan mengenai khasiat dan kepentingan susu ibu kepada bayi.

“Menyusu bayi bukan hanya untuk mengenyangkan, tetapi melahirkan satu perasaan dan tautan kasih sayang yang tidak boleh diluahkan dengan kata-kata. Saya amat bahagia dapat menyusukan ketiga-tiga anak saya sepenuhnya sehingga berusia dua tahun,” kata isteri kepada pensyarah Matematik, Universiti Malaysia Pahang, Mohd Sham Mohamad ini.

Jadual suri rumah sepenuh masa ini sentiasa sibuk sama seperti wanita lain yang memiliki kerjaya dan bagaikan bekerja 24 jam sehari.

“Saya tidak boleh duduk diam begitu saja. Sama seperti wanita lain, saya menguruskan rumah tangga, menyiapkan keperluan anak-anak, memasak, ke pasar, bertemu kawan dan membawa anak bersiar-siar sama ada bersama suami atau tanpanya,” katanya.

Mardziah yang juga pembimbing ibu menyusu di Program Kaunselor Rakan Penyusuan Bayi Malaysia (MBfPC) berkata, kaedah penyusuan yang betul, konsisten dan sentiasa berada di luar tekanan akan menghasilkan susu lebih banyak berbanding sebaliknya.

“Ada ibu memberi alasan anak tidak suka menyusu badan dan memilih susu formula tanpa menyelidik sebab anak menolak susu ibu. Punca sebenar adalah ibu,” katanya.

Pemilik perniagaan dalam talian Eshop Dunia Susu Ibu ini berkata, dia kerap dipanggil menjadi penceramah atau penasihat di seminar selain berdialog berkaitan penyusuan bayi.

“Memiliki perniagaan ini memudahkan saya berhubung dengan orang ramai terutama ibu atau bakal ibu serta agensi yang memerlukan khidmat nasihat mengenai penjagaan dan penyusuan bayi,” katanya.

Dia akui susu ibu menepati fitrah bayi yang masih belum matang untuk menghadamkan pemakanan mereka.

“Dalam al-Quran, kita diberikan arahan, “Ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan” (Surah Al-Baqarah: ayat 233).

“Mungkin ada ibu yang tidak tahu susu ibu mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Pasti ada yang tergelak atau kehairanan ketika saya berkongsi ilmu mengatakan susu ibu akan berubah mengikut tempat, cuaca dan umur anak. Begitu juga apabila saya menyatakan susu ibu lebih pekat dan kandungan lemaknya lebih tinggi jika berada di negara sejuk,” ujarnya.

Justeru, Marziah berkata, bakal ibu perlu mempunyai pengetahuan lengkap berkaitan penyusuan susu ibu bagi mengelak berlaku salah faham antara ibu dan bayi.

“Bayi hendak menyusu tetapi ibu enggan menyusukannya dengan memberi pelbagai alasan. Sikap dan perasaan seperti itu perlu dilontar sejauh mungkin.

“Sayangi bayi kita sebagaimana kita menyayangi diri kita kerana tumbesaran awal bayi bergantung sepenuhnya pada susu ibu,” katanya.

Dia juga menasihatkan bakal ibu seharusnya memiliki buku panduan berkaitan penyusuan susu ibu dan memahami teknik yang betul menyusukan bayi.

Berkongsi pengalaman menyusukan bayi ketika hamil, Marziah berkata, dia tetap menyusukan anaknya tatkala dirinya hamil dan tidak menjejaskan kesihatan atau kandungannya.

“Saya tidak mempunyai masalah menyusukan anak dalam keadaan hamil kerana ia secara tidak langsung melahirkan perasaan kasih sayang yang semakin kukuh dan jitu antara kami bertiga dan suami memberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

496 views