Advertorial: Nikmati Kopi Dengan Penuh Yakin
Seorang rakan penulis mengaku akan berasa cepat marah jika tidak mendapat secawan kopi setiap pagi. Baginya, kopi umpama perangsang untuk dia bekerja dan berfikir dengan lebih cekap. Seorang lagi pula mengingatkan penulis untuk tidak memberinya sebarang minuman mengandungi kafein terutama kopi untuk mengelak mengalami sakit kepala.
Bercerita mengenai penggemar minuman kopi memang banyak ragamnya. Namun hakikatnya duduk bersantai di kedai kopi sudah menjadi budaya masyarakat kita sejak berpuluh tahun lamanya.
Jika dahulunya, hanya golongan lelaki yang memonopoli kedai kopi yang boleh duduk sejam hanya untuk menikmati kopi secawan, tetapi kini ia sudah menjadi gaya hidup khususnya bagi masyarakat bandar. Malah budaya ini turut menular di kalangan golongan muda yang menjadikan kedai kopi sebagai destinasi pertemuan bersama para sahabat selepas seharian sibuk di pejabat.
Peningkatan budaya meminum kopi dalam kalangan rakyat Malaysia mendorong lebih banyak kafe dibuka hingga mempopularkan lagi kopi sebagai antara minuman yang mempunyai kelas tersendiri.
Menampilkan ruang dalaman menarik, kafe berkenaan menjadikan hiasan dan keselesaan sebagai tarikan utama untuk pelanggan datang, seterusnya mengangkat imej minuman kopi ke tahap lebih tinggi.
Kopi semakin popular apabila banyak kajian menunjukkan ia bukan saja tidak menjejaskan kesihatan, malah banyak memberi manfaat kepada tubuh dan minda seseorang yang gemar menikmati beberapa cawan minuman kopi sehari.
Bahkan beberapa kajian turut mendedahkan prestasi kognitif warga emas akan menjadi lebih baik sekiranya mereka menikmati tiga hingga empat cawan kopi setiap hari. Prestasi kognitif ini merujuk kepada kemahiran berfikir, persepsi, fokus, daya ingatan, keupayaan menyelesaikan masalah serta reaksi atau tindak balas terhadap sesuatu situasi.
Bukan setakat daya pemikiran menjadi lebih tajam, bahan antioksidan semula jadi yang terdapat dalam kopi juga didapati menbantu pertahanan badan.
Kopi adalah minuman pilihan ramai apabila mereka berasa lesu dan mahu mendapatkan tenaga segera supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih baik. Malah pemandu kereta digalakkan berhenti seketika dan menikmati secawan kopi jika mereka mula terasa mengantuk bagi mengelak berlakunya kemalangan.
Kopi dan penyakit kronik
Bukti terbaru juga menunjukkan antioksidan dalam kopi iaitu polifenol membantu menghalang penyakit kardiovaskular dan memainkan peranan dalam melindungi tubuh daripada penyakit kemerosotan saraf, kanser dan diabetes.
Apabila anda sedang menghirup kopi, ingatlah bahawa antara kebaikan yang diberikan kepada tubuh adalah seperti mengurangkan risiko penyakit Parkinson atau Alzheimer.
Tambahan lagi, bukti saintifik tidak menunjukkan kesan negatif pengambilan kopi dengan penyakit kardiovaskular, sebaliknya bermanfaat dalam melindungi jantung.
Namun ada pula dakwaan mengatakan kopi boleh meningkatkan tekanan darah? Adakah ia benar? Kajian menunjukkan perkara itu memang berlaku di kalangan mereka yang jarang minum kopi tetapi keadaan ‘sensitif kafein’ itu dilihat tidak cukup signifikan atau kuat untuk mengakibatkan penyakit tekanan darah tinggi.
Bahkan impak kopi yang dikatakan boleh menjejaskan kepadatan tulang juga tidak dapat dibuktikan sehingga sekarang, sebaliknya masalah osteoporosis yang menyebabkan tulang rapuh sebenarnya disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuklah kekurangan kalsium dan vitamin D, senaman, berat badan, tabiat merokok, pengambilan minuman beralkohol, genetik dan ketidakseimbangan hormon.
Beberapa kajian yang membabitkan penduduk di Eropah, Amerika Utara dan Asia, pula mendedahkan kopi mampu menghalang risiko pembentukan sel kanser pada usus, payudara dan hati.
Saranan pengambilan kopi antara tiga hingga lima cawan sehari dilihat tidak ada kaitan dengan sebarang masalah kesihatan dalam kalangan dewasa yang sihat, malah mempunyai manfaat kepada kesihatan.
Walaupun begitu, perlu diingat, masyarakat kita tidak seperti di barat yang boleh menikmati keenakan rasa sebenar kopi tanpa gula, susu mahupun krimer. Dalam budaya masyarakat kita, secawan kopi mungkin mengandungi dua atau tiga sudu teh gula.
Jika kita minum tiga cawan kopi sehari, bermakna kita mengambil enam hingga sembilan sudu gula hanya daripada minuman! Itu belum campur gula dalam makanan. Jadi, perkara paling baik ialah bersederhana supaya kebaikan kopi dapat kita nikmati.
Sumber rujukan daripada Nestlē