Ajar Buat 4 Jenis Kek Sehari

Suasana gamat dengan gelak tawa dalam kelas membuat kek yang dikendalikan Norbaini Cakes Sabtu lalu di Ampang Campuran, Ampang menceriakan suasana.

Walaupun ketika itu hanya disertai tujuh peserta, ia sudah cukup untuk membuatkan pengajar dan pengusaha Norbaini Cakes, Norbaini Rahwi tidak kering gusi melayan kerenah masing-masing.

Kelas berkonsepkan santai itu memang sengaja diwujudkan bagi menggalakkan peserta berasa selesa dan tidak segan untuk bertanya sebarang persoalan mengenai pembuatan kek.

“Kelas ini terbuka kepada sesiapa saja tidak kira suri rumah mahupun mereka yang bekerja untuk mempelajari lebih banyak teknik dan pelbagai jenis kek.

“Ada peserta yang menjadikan kelas ini sebagai terapi selepas penat bekerja dan tidak kurang juga yang mahu meluaskan lagi perniagaan berasaskan bakeri.

“Biasanya, saya mengajar peserta bermula daripada asas membuat kek hingga tahap profesional mengikut permintaan mereka. Sehari saya memberi tunjuk ajar kira-kira empat jenis kek berbeza,” katanya.

Menurut Norbaini yang sudah berpengalaman hampir 12 tahun membuka kelas membuat pelbagai jenis kek, melayan kerenah pelajar sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya kerana memahami mereka datang daripada latar belakang berbeza.

Namun, dia gembira jika peserta yang hadir ke kelasnya dapat menguasai perkara dipelajari dan boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan sampingan khususnya suri rumah.

Lazimnya, pelajar yang datang mahu belajar membuat kek dengan teknik betul selain memperoleh maklumat mengenai bahan digunakan.

“Saya sarankan kepada wanita terutama suri rumah menyertai apa saja jenis kelas diminati untuk menambah kemahiran. Jika mereka ada kemahiran membuat kek, pasti dapat menyediakan hasil yang lebih segar dan berkhasiat untuk seisi keluarga.

“Kita tidak perlu lagi membeli kek di kedai jika tahu cara membuatnya kerana banyak perkara seperti tarikh ia dihasilkan dan tempoh ia disimpan sebelum dijual kepada pelanggan yang tidak diketahui,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada yang beranggapan membuat kek pekerjaan yang rumit dan kos lebih mahal berbanding dibeli siap, rasanya pasti berbeza.

Ia lebih berkhasiat jika dibuat sendiri kerana kita bebas menggunakan bahan bersesuaian.

“Di dalam kelas ini, saya tidak galakkan pelajar menggunakan bahan pewarna atau pengawet dan menegaskan supaya mereka memilih bahan berkhasiat dalam adunan kek.

“Selain itu, saya juga galakkan pelajar supaya jangan kedekut menggunakan bahan kek supaya rasanya lebih enak dan memberi kepuasan kepada keluarga mahupun pelanggan mereka,” katanya.

Katanya, kemahiran dipelajari itu juga boleh digunakan untuk menambah pendapatan terutama bagi suri rumah yang mempunyai banyak masa terluang.

Selain dapat menjana pendapatan sendiri, mereka juga boleh membantu suami meningkatkan taraf hidup tanpa bergantung sepenuhnya kepada suami mencari rezeki.

Norbaini tidak hanya memberi tumpuan kepada kelas kek, malah turut membuka kelas membuat kek lapis, menghias kek perkahwinan atau bertunang, roti dan pastri.

Untuk kelas persendirian, kebanyakan pelajarnya memilih hari biasa dan dihadiri jumlah minimum seorang atau maksimum tidak lebih lima orang.

Berbanding pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, kebanyakan kelas dihadiri lebih ramai pelajar. Biasanya dia lebih suka pelajarnya turut serta membuat sendiri kek bermula dari awal adunan hingga akhir daripada melihat saja.

Ia bertujuan supaya ilmu yang disampaikan dapat difahami dan diingati sampai bila-bila berbanding terus hilang sebaik melangkah keluar kelas.

Berbeza dulu, Norbaini akui wanita sekarang beruntung kerana mudah mengikuti sebarang kelas membuat kuih atau kek kerana pada masa kini ia lebih terbuka berbanding zamannya dulu.

“Dulu saya memang suka menjahit berbanding membuat kek. Semua jenis pakaian saya tahu membuatnya, namun selepas mengikuti kelas kek ketika berusia awal 20-an saya dapati ia lebih senang berbanding menjahit yang memerlukan masa lama untuk siap.

“Pada zaman saya, tidak banyak guru yang membuka kelas membuat kek dan kuih. Jadi, saya perlu mencari sendiri kelas yang ditawarkan ketika itu selain banyak belajar daripada ibu yang pandai membuat kek lapis,” katanya.

Selepas mahir membuat pelbagai jenis kek, ada permintaan daripada pelanggan Norbaini supaya mengadakan kelas. Sejak itu, dia mula berjinak-jinak menjadi tenaga pengajar dengan membuka kelas membuat kek dan kuih talam yang ketika itu beroperasi di Pinggiran Ukay, Hulu Klang.

Jika dulu dia banyak menerima permintaan untuk mengadakan kelas di pelbagai kawasan termasuk Singapura, kini Norbaini lebih selesa jika kelasnya diadakan di rumah.

Selain lebih selesa, dia turut menyediakan makanan dan ruang solat kepada pelajar jika kelas yang disertai mengambil masa sehari bermula pagi hingga petang.

Kebanyakan pelajarnya mengetahui mengenai kelasnya menerusi www.norbainicakes.com atau dalam Fan Page, Norbaini Cakes.

Baginya, dunia bakeri memang banyak teknik baru dan cara lama yang diamalkan nenek moyang boleh diperbaharui dengan penggunaan alatan lebih canggih dan bahan yang semakin banyak untuk ditambah ke dalam kek.

Mantap kemahiran sebelum terima tempahan

Tidak mahu melepaskan peluang di depan mata, suri rumah, Rozana Osman, 31, banyak belajar membuat pelbagai jenis kek sebelum menerima tempahan.

Walaupun dia sudah mula menerima tempahan kek secara dalam talian menerusi manis cottage/facebook, ilmu baru perlu sentiasa dicari bagi memantapkan lagi kemahiran.

“Sebelum menerima sebarang tempahan kek, lebih 20 kali saya menyertai kelas daripada guru berbeza untuk mendapatkan ilmu berguna untuk menambah pendapatan.

“Walaupun sudah dua tahun saya menerima tempahan membuat kek secara dalam talian serta daripada rakan setugas suami, ia bukan alasan untuk saya tidak mahu menambah ilmu bagi mempelbagaikan produk.

“Justeru, saya hadir ke kelas membuat kek untuk mempelajari pelbagai jenis kek termasuk teknik betul dan resipi baru bagi menghasilkan kek enak, sekali gus memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya.

Sebelum ini bukan dia tidak pernah mencuba sendiri resipi di Internet namun kebanyakannya tidak menjadi kerana tidak tahu teknik digunakan untuk menghasilkan kek gebu dan enak.

Selain teknik membuat kek yang agak sukar seperti kek keju dan resipi baru, dia juga tahu mengenai harga pasaran untuk sesetengah kek supaya ia tidak dijual dengan harga yang terlalu tinggi atau rendah.

“Bagi saya sebelum menyertai kelas yang banyak diiklankan secara dalam talian, saya lebih suka melihat faktor teknik, yuran dan pembelajaran kek terkini.

“Selepas itu, barulah saya menyertainya. Ini bagi memastikan saya mendapat manfaat daripada guru yang mengajar, apatah lagi jika ada ilmu baru yang belum saya ketahui sebelum ini.

“Jika sudah masuk ke dunia bakeri, memang ada keinginan untuk mempelajari semua jenis kek yang ada dan berpotensi untuk dijual,” katanya.

Selain bertujuan menambah ilmu, Rozana juga menganggap kelas yang dihadiri sebagai terapi untuk mengurangkan tekanan, justeru, dia sanggup datang ke kelas Norbaini yang diadakan di Ampang.

Dia sangat bersyukur kerana suaminya memahami minatnya dan menggalakkannya menghadiri kelas berkenaan dengan menghantar dan mengambilnya walaupun tinggal di Subang Jaya.

Dia juga gemar cara Norbaini melayan kerenah anak muridnya selain tidak terlalu serius ketika mengajar bagi mengelakkan pelajarnya berasa tertekan dan bosan.

Bapa syor berniaga kek

Sabrina Mohamad, 32, sebelum ini bekerja sebagai juru- kemas dan membuka perniagaan sendiri berasaskan kek. Dengan sokongan ayah yang menggalakkannya membuka perniagaan, dia meneruskan misi berkenaan dengan penuh semangat.

Membuka kedai kek, Mamarose Bakery di Seksyen 3, Shah Alam pada Julai lalu, dia akui ia sangat berbaloi. Berbekalkan azam tinggi, dia menguatkan semangat dengan menghadiri pelbagai kelas berkaitan roti, tart, kek asas hingga kek perkahwinan.

“Saya sudah menghadiri lebih 10 kelas berkaitan bakeri di pelbagai lokasi seperti di Bangi, Shah Alam dan Ampang. Sebelum ini saya ada belajar mengenai pengurusan hospitaliti.

“Justeru, saya lihat dua bidang ini tidak banyak beza dan mengambil keputusan berhenti kerja untuk mengikut saranan bapa yang mahu melihat saya berniaga kek.

“Tambahan pula saya mempunyai asas memasak hidangan Barat dan pastri. Saya pula memang meminati dunia bakeri hingga tidak kisah jika menghadiri banyak kelas dalam satu masa,” katanya.

Kelas bakeri penting bagi menambah ilmu berkaitan teknik betul dan resipi yang boleh digunakan untuk mempelbagaikan jenis kek untuk jualan.

Baginya, jika tidak berguru dengan orang yang mahir, pasti tidak diketahui teknik serta panduan bermula dari awal membuat kek hingga menyimpannya.

Sebelum ini, dia juga suka mencari resipi di Internet dan membuat sendiri. Namun, kebanyakan hasilnya tidak menjadi seperti diharapkan kerana teknik yang salah.

Malah, disebabkan mahu menambah ilmu berkaitan dunia bakeri, Sabrina sanggup belajar daripada pelbagai guru berlainan untuk mendapatkan pengalaman, panduan dan kreativiti berbeza.

“Saya sudah menghadiri kelas Norbaini yang mengajar pelbagai jenis kek sebanyak lima kali tahun ini kerana dia banyak menyokong saya.

“Walaupun kami baru kenal selepas mengikuti kelas, dia tidak lokek berkongsi ilmu terutama kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia bakeri.

“Malah, pengalaman dan kemahirannya dalam membuat pelbagai jenis kek memberi keyakinan kepada diri untuk terus belajar dengannya selepas ini,” katanya.

Jelasnya, jika baik dengan guru pasti kita akan dapat lebih banyak ilmu berguna untuk memantapkan kemahiran diri selain dapat belajar dalam keadaan selesa dan seronok.

Walau apapun kelas yang dihadiri, dia tidak menganggapnya sebagai satu pembaziran kerana dapat menghasilkan kek sendiri yang lebih segar, enak dan bahan digunakan juga berkualiti.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

508 views