Ajar Tingkah Laku Positif

Kebanyakan kanak-kanak terlalu aktif dari segi fizikal hinggakan mereka hilang fokus dan tidak mampu menumpukan perhatian pada sebarang perkara termasuk ketika sesi di kelas.

Malah ramai kanak-kanak ini sebenarnya mempunyai IQ yang baik, cuma kesukaran memberikan perhatian membuatkan ramai ibu bapa bimbang sekiranya anak mereka akan ketinggalan dalam pelajaran.

Menyedari hakikat itu, Eileen Wong bersama rakan baiknya Jean Low, sama-sama mencari kaedah yang sesuai bagi melatih anak-anak untuk fokus apatah lagi mereka juga mempunyai anak kecil yang sememangnya aktif.

Sebagai ibu kepada dua anak perempuan, kedua-dua wanita berusia awal 30-an itu mula menghantar anak masing-masing ke kelas prasekolah yang menggunakan konsep permainan cantuman (jigsaw puzzle) untuk membantu anak fokus.

Selepas melihat sendiri impak positif pendidikan berkenaan terhadap anak mereka, akhirnya kedua-duanya bersetuju bekerjasama untuk mengasaskan kelas prasekolah, Brainy Tree, untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak berusia tiga hingga tujuh tahun.

“Ramai kanak-kanak begitu aktif sehingga tidak mampu fokus. Oleh itu, kami berusaha membantu mereka untuk fokus selain membina keyakinan diri dengan pelbagai aktiviti termasuk penggunaan pelbagai jenis permainan dan 450 jenis ‘jigsaw puzzle’.

Menurut Eileen, silibus kelas berkenaan dibawa khas dari China, begitu juga tenaga pengajar terlatih yang mahir dalam bahasa Mandarin. Pada masa sama, kelas turut mengajar ‘puzzle’ yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris kepada kanak-kanak.

Pelbagai jenis ‘puzzle’ digunakan bagi melatih kanak-kanak supaya fokus dan berfikir mencari jalan penyelesaian di kelas yang berlangsung setiap hari itu.

“Kami berusaha menjadikan kelas seronok mungkin kerana kami mahu kanak-kanak rasa gembira dan berminat untuk belajar. Antara cara yang digunakan adalah melatih guru di sini untuk sentiasa mengajar secara menyeronokkan dan positif melalui bahasa dan cara berfikir.

“Misalnya, jika kanak-kanak berlari-lari, kami tidak sesekali akan menggunakan bahasa negatif seperti ‘jangan menjerit’, sebaliknya kami meminta mereka ‘sila gunakan suara di dalam bangunan’ dan begitulah seterusnya,” katanya.

Menurut Eileen, pada permulaan operasi Brainy Tree pada Mei 2011, hanya ada tujuh pelajar yang menghadiri kelas yang dianjurkan, namun berkat usaha dan pendidikan berkualiti yang diberikan, jumlah pelajar ketika ini meningkat sehingga 70 orang.

Kelas prasekolah itu menawarkan Program Kecerdikan Pelbagai yang mensasarkan perkembangan penuh otak dan banyak memfokus kepada pendidikan sains dan bahasa Mandarin.

“Malah kami menawarkan lima program kelas Mandarin bagi bayi bermula usia 18 bulan hingga orang dewasa tanpa mengira umur dan setiap mereka akan dimasukkan dalam kategori mengikut pencapaian dalam bahasa itu,” katanya ketika ditemui di Brainy Tree di Publika, baru-baru ini.

Sementara itu, Jean berkata, kelas yang diadakan bukan sekadar melatih kemahiran berfikir dan bahasa Mandarin, malah ia turut memberi penekanan serius terhadap tingkah laku kanak-kanak.

Antaranya, kanak-kanak ditekankan dengan disiplin moral yang tinggi, mengamalkan sikap terpuji, tetapi ia diajar dengan cara menyeronokkan dan mudah diingat.

“Murid kami terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk masyarakat Melayu yang mahu anak mereka mahir berbahasa Mandarin. Ada juga ibu yang belajar di sini supaya mampu berkomunikasi dengan anak mereka yang akan ke sekolah berbahasa Cina,” katanya.

Mereka berdua sebenarnya sanggup meninggalkan kerjaya masing-masing sebagai akauntan dan pegawai pemasaran semata-mata memberi perhatian sepenuhnya kepada pendidikan anak-anak sebelum bertemu di tadika anak mereka hingga terbit idea mewujudkan Brainy Tree.

Melihat sambutan diterima, dia dan rakan kongsinya turut bercadang menubuhkan beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menurut tenaga pengajar puzzle di Brainy Tree, Jolene Wong, guru tidak mengajar murid cara menyelesaikan puzzle, sebaliknya mereka diberi dorongan dan merangsang minda mereka dengan cara memberi pembayang dan menerangkan kaedah ‘puzzle’ berfungsi.

“Ia bukan saja mampu meningkatkan tahap keyakinan diri kanak-kanak itu apabila ia mampu menyelesaikan ‘puzzle’, malah mampu meningkatkan kemahiran motor dan keupayaan menyusun blok ‘puzzle’ hanya dalam tempoh beberapa bulan.

“Kanak-kanak diletakkan dalam kelas mengikut keupayaan dan kematangan mereka, bukannya berdasarkan umur. Kami menawarkan tujuh kategori ‘puzzle’ yang membantu kanak-kanak berfikir dan meneroka iaitu pertimbangan pintar, kesimpulan matematik, pemikiran gabungan, kemahiran hidup, keupayaan linguistik dan penciptaan estatik,” katanya.

Selain ‘puzzle’, pusat terbabit turut menawarkan pendidikan seni kaligrafi Cina, lukisan seni dan tarian budaya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

585 views