Amal Diet Seimbang

Ibu bapa masa kini sangat mengambil berat mengenai prestasi anak mereka dalam semua aspek kehidupan. Ramai daripadanya sanggup berhabis duit untuk membantu anak lebih bijak dan pintar.

Namun pada masa sama, terdapat juga pelbagai faktor yang mempengaruhi kecergasan otak anak yang dapat dilihat dari segi pengambilan makanan seimbang.
Malah bukan hanya anak saja, golongan dewasa dan warga emas turut mencari alternatif berkesan bagi mengembalikan kecergasan minda mereka.

Apakah faktor utama yang menyebabkan minda menjadi cergas atau lemah? Bagaimanakah cara terbaik untuk mendapatkan otak yang berfungsi dengan baik?
Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Mushidah Zakiah Mohad Akran berkata, kecergasan otak boleh dipengaruhi gaya hidup seperti faktor pemakanan seimbang, senaman dan tidur yang mencukupi.

“Namun seharusnya amalan gaya hidup yang sihat harus dididik sejak awal bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk terhadap kesihatan bukan saja otak, tetapi keseluruhan tubuh badan.

“Faktor pemakanan sememangnya penting dalam membina otak cergas selain mengelakkan makanan yang mengandungi sumber tidak baik kepada minda seseorang jika diambil dalam kuantiti berlebihan,” katanya.

Dari segi pemakanan, ia harus dimulakan sejak dalam rahim dan disebabkan itu, ibu hamil diberikan asid folik untuk membina sistem neurologi lebih baik.
Apabila bayi lahir, berikan susu ibu untuk mendapat nutrisi yang
lengkap dan usia menginjak perlu diajar dengan pemakanan yang sihat.

“Ibu bapa perlu menjadi model kepada anak jika ingin mengajar mereka mengenai pemakanan seimbang dan sihat.

“Bagi mengelakkan anak kurang mengambil makanan segera, ibu perlu mempunyai idea menarik untuk menghasilkan jenis makanan yang disukai anak.

“Sebaiknya, makanan harus disediakan di rumah. Misalnya, jika anak suka makan piza, ibu harus belajar membuat piza dan cuba tambah hidangan dengan sayur-sayuran berkhasiat bagi mendidik mereka untuk mengamalkan diet seimbang,” jelasnya.

Biasanya, makanan segera mudah didapati di bandar besar kerana masing-masing tidak mempunyai banyak masa untuk menyediakan hidangan seimbang.

Bagi membantu otak berfungsi dengan baik, faktor pemakanan juga penting untuk memastikan seseorang itu dapat mencergaskan minda mereka.

Sumber nutrisi baik untuk otak

Penting untuk mengambil semua nutrisi seperti karbohidrat, protein dan lemak yang tidak berlebihan, sayur-sayuran, buah-buahan atau air dalam kadar yang mencukupi.

Amalan pengambilan makanan daripada sumber yang mengandungi lemak omega-3, antioksidan dan vitamin B membantu untuk menggalakkan fungsi otak berkembang dengan baik.

Kanak-kanak dan orang dewasa perlu mengambil kira setiap hidangan bagi mengelakkan otak menjadi lambat atau pelupa.

Antara nutrisi yang baik untuk mencergaskan otak adalah lemak omega-3. Otak kita mempunyai 60 peratus lemak dan lemak sangat diperlukan bagi fungsi ingatan, pembelajaran dan pembesaran otak bayi sepanjang kehamilan.

Justeru, pengambilan lemak yang betul boleh mempengaruhi kesihatan otak, perasaan dan kecemerlangan akademik. Disebabkan itu, lemak omega-3 diperlukan untuk perkembangan otak supaya ia dapat berfungsi dengan baik.

Antara contoh lemak yang baik adalah daripada sumber ikan salmon, jenis kekacang seperti walnut, badam, pistachio (yang biasa dicampur ke dalam susu untuk kanak-kanak) dan kebaikannya ada dalam susu ibu secara semula jadi.

Makanan tambahan berasaskan minyak ikan yang mengandungi lemak omega-3 hanya diperlukan jika kita tidak mengambil nutrisi penting daripada sumber semula jadi seperti ikan.

Perlu diketahui, pengambilan lemak omega-3 dalam kadar seimbang dapat membantu mengurangkan risiko terdedah kepada penyakit mental kepada kanak-kanak dan sesiapa saja.

Selain lemak omega-3, pengambilan sumber antioksidan yang mencukupi juga penting untuk kecergasan otak. Kandungan antioksidan yang tinggi boleh didapati di dalam buah-buahan jenis beri.

Namun, ia juga boleh diperoleh daripada teh hijau dan sayur-sayuran lain. Sumber antioksidan berfungsi membantu melindungi sel otak daripada berlaku kerosakan akibat aktiviti radikal bebas.

Radikal bebas bukan saja menyerang otak, malah ia juga boleh merosakkan sel dalam badan. Justeru, antioksidan berfungsi untuk melawan dan meneutralkan kembali sel bagi mengelak kerosakan pada otak.

Ini kerana kerosakan pada otak tidak boleh digantikan dengan pertumbuhan sel baru sama seperti individu yang mengalami masalah nyanyuk.

Pengambilan vitamin B daripada sumber semula jadi juga makanan yang baik untuk otak. Ia membantu aktiviti dalam otak diproses dengan lebih pantas.

Vitamin B boleh diperoleh daripada sumber makanan seperti daging, beras perang dan produk berasaskan soya termasuk asid folik.

Disebabkan itu, wanita hamil diberikan asid folik untuk mengelakkan masalah neurologi yang berkaitan dengan sistem saraf selain dapat membantu mengelakkan kemurungan dan meningkatkan fungsi kognitif otak.

Makanan perlu dielakkan

Alkohol. Jika diambil secara berlebihan ia akan memberi kesan kepada fungsi otak terlebih dulu yang menyebabkan seseorang itu menjadi khayal dan boleh menyebabkan masalah neurologi.

Makanan diproses yang diambil secara berlebihan seperti makanan yang diawet serta terlampau banyak mengambil hidangan berasaskan makanan dalam tin atau sejuk beku.

Sekiranya ada alternatif lebih baik, elakkan makanan sedemikian. Lebih baik jika mengambil makanan daripada sumber semula jadi.

Makanan yang mengandungi lemak trans tinggi. Ia bukan saja tidak baik untuk jantung tetapi ada kajian menunjukkan lemak trans juga mengganggu kesihatan otak.
Misalnya, makanan yang dimasak menggunakan mentega atau lemak tepu. Ada yang gemar mencairkan mentega untuk dimasak dengan udang atau makanan lain yang sebenarnya menukar khasiat yang dimiliki kepada lemak trans.

Kafein. Pengambilan kafein ada baik dan buruknya. Ia boleh menyebabkan otak menjadi peka dan lebih fokus, namun kafein boleh mendatangkan keburukan terutama kopi dan teh apabila kita mula ketagih.

Apabila sudah ketagih, seseorang yang tidak mengambil kafein akan menyebabkan minda menjadi tidak fokus dan fungsi otak bertukar kepada lemah atau mengantuk.
Kafein misalnya yang terkandung di dalam kopi boleh diambil tiga hingga empat cawan sehari dengan kepekatan sederhana.

Gula. Pengambilan gula yang mencukupi akan memberi tenaga kepada minda, tetapi jika ia berlebihan akan menyebabkan kesan negatif kepada pembelajaran dan memori seseorang.

Ini merujuk kepada gula ringkas seperti gula pasir dan minuman manis. Malah, air berkarbonat atau makanan manis yang diambil dalam kuantiti banyak akan menyebabkan proses pembelajaran menjadi lambat.

Mengikut panduan piramid pemakanan, gula sebaiknya diambil sedikit dan perlu mengikut keperluan individu yang berlainan.

Permainan otak

Bukan hanya pemakanan saja yang mempengaruhi kecergasan otak seseorang, malah permainan minda juga dapat menjadikan otak lebih bijak dan berfungsi dengan baik.

Pelbagai bentuk permainan minda yang boleh didapati sama ada daripada buku atau sumber Internet seperti memori, teka silang kata, mengira dan menyusun perkataan.

Ia membuatkan otak berfikir serta membantu menjadikan minda lebih aktif dan cergas ketika menyelesaikan masalah.

Secara peribadi, Mushidah Zakiah turut mengakui terdapat beberapa jenis permainan yang baik untuk kecergasan otak.

Misalnya, sudoku dan teka gambar yang boleh mengajak otak berfikir bagi menyelesaikan nombor atau gambar. Selain itu, menyelesaikan soalan matematik juga boleh membantu mencergaskan otak seseorang.

Perbaiki memori menerusi cabaran permainan

Menerusi teknologi yang semakin canggih, beribu-ribu permainan dihasilkan untuk komputer, permainan video mahupun di telefon bimbit.

Bukan hanya permainan tradisi seperti menembak atau perlumbaan saja, tetapi banyak lagi genre dihasilkan untuk otak berfungsi dengan lebih baik.

Permainan minda bertujuan untuk menguji tahap kecerdasan intelektual (IQ) seseorang bagi membantu memperbaiki memori menerusi cabaran permainan berbeza.
Antara permainan minda yang biasa dilakukan untuk mencergaskan otak adalah:

Sudoku. Di Jepun, ‘su’ bermaksud nombor manakala ‘doku’ pula merujuk kepada ruang kosong yang perlu diisi dengan nombor sesuai.

Permainan bermula dengan pembahagian sembilan ruang kosong yang membentuk segi empat dan ia diisi dengan nombor satu hingga sembilan yang tidak boleh diulang pada barisan sama.

Proses permainan itu membantu melatih otak untuk bermain nombor dengan mudah. Untuk melatih otak dengan lebih berkesan, selesaikan teka-teki sudoku dengan menetapkan masa dalam seminit untuk setiap satu cabaran.

Cuba lihat, sebanyak mana anda mampu menghabiskan setiap cabaran atau memenuhi kotak kosong dengan nombor kurang daripada 60 saat.

Brain Age. Ryuta Kawashima terkenal di sebalik permainan ini. Permainan yang dihasilkan itu adalah satu program yang melatih otak pemain untuk memproses mata pelajaran seperti matematik, memori dan tatabahasa.

Permainan itu sendiri menawarkan mentor yang boleh bercakap dan membimbing anda melalui setiap cabaran selain menyesuaikan diri dengan menyelesaikan masalah lebih cepat serta mudah.

Ia membantu memahami pertumbuhan IQ setiap hari, menjadikannya antara alat yang berkesan untuk memahami sisi peribadi seseorang.

Cabaran yang ditingkatkan dalam setiap kesukaran menyelesaikan masalah ternyata baik untuk mengembangkan pemikiran otak.

Big Brain Academy juga membantu menguji dan melihat perkembangan IQ seseorang. Ia menguji memori menerusi cabaran berupa penyelesaian matematik dan kesukarannya akan ditingkatkan setiap kali ia disambung ke peringkat seterusnya.

Satu tambahan yang menyeronokkan mengenai permainan ini adalah ia boleh dimain bersama pasangan bagi melihat sejauh mana kebijaksanaan anda dalam menyelesaikan setiap cabaran.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,759 views