Amal Gaya Hidup Sihat

Daripada data kajian di seluruh dunia, masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berada dalam lingkungan 2.6 peratus hingga 3.6 peratus di Finland, 15 peratus di United Kingdom, 10.8 peratus di Amerika Syarikat, 11.2 peratus hingga 12.5 peratus dalam kalangan pelajar sekolah di Navajo Indian, 7.56 peratus di India, 16.1 peratus di Singapura, 14.3 peratus di Thailand dan 7.8 peratus lagi dalam kalangan kanak-kanak sekolah di kawasan luar bandar di Malaysia.

Penasihat Pediatrik Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Margaret Kannimmel berkata, obesiti di kalangan kanak-kanak adalah satu wabak yang perlu ditangani segera.

Menurutnya, kanak-kanak yang memiliki masalah berat badan berlebihan cenderung untuk membesar menjadi individu dewasa obes. Mereka mempunyai risiko tinggi untuk berhadapan dengan masalah kesihatan serius termasuk serangan jantung, angin ahmar, diabetes Jenis 2, kanser usus, apnea tidur dan juga tekanan darah tinggi.

Malah, risiko masalah kesihatan ini akan lebih ketara sekiranya individu berkenaan tidak mengawal peningkatan berat badan mereka secara serius.

“Memiliki berat badan berlebihan di kalangan kanak-kanak juga boleh menyebabkan tekanan psikologi. Usikan mengenai penampilan diri mereka sedikit sebanyak mempengaruhi keyakinan diri kanak-kanak berkenaan dan ia boleh membawa kepada pengasingan diri daripada rakan sebaya serta masalah kemurungan,” katanya.

Kanak-kanak lebih cenderung mengalami berat badan berlebihan jika ibu dan bapa mereka juga berhadapan dengan masalah obesiti. Jika seorang ibu atau bapa mengalami berat badan berlebihan, kebarangkalian anak mereka berhadapan dengan masalah sama adalah 50 peratus.

Namun, jika kedua-duanya juga berhadapan dengan masalah obesiti maka ada kemungkinan sebanyak 80 peratus anak mereka juga akan menjadi individu yang memiliki berat badan berlebihan.

Tetapi faktor genetik dianggap kurang berkaitan dengan masalah ini kerana faktor berat badan berlebihan lebih tertumpu kepada ahli keluarga yang memiliki tabiat pemakanan yang sama.

Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan adalah disebabkan gaya hidup mereka yang tidak sihat termasuk pengambilan diet tidak seimbang dan juga kekurangan aktiviti fizikal.

Malah, dengan gaya hidup kini, lebih mudah untuk kanak-kanak mengalami masalah obesiti terutama dengan sumber makanan berkalori tinggi seperti makanan segera dan gula-gula yang banyak dipromosikan khusus untuk kanak-kanak.

Selain itu, senaman dan bermain bukan lagi menjadi aktiviti harian kanak-kanak sehingga ada yang yang tidak pernah berjalan kaki ataupun berbasikal ke sekolah. Apa yang dilakukan mereka kini hanyalah menghabiskan kebanyakan waktu di hadapan TV dan juga komputer.

Obesiti ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak badan secara berlebihan. Seseorang itu dikatakan mengalami obesiti apabila jumlah berat badan adalah lebih 25 peratus lemak di kalangan kanak-kanak lelaki manakala lebih daripada 32 peratus lemak di kalangan kanak-kanak perempuan.

Dr Margaret berkata, kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan berlebihan tidak digalakkan untuk menurunkan berat badan mereka secara drastik.

Sebaliknya, mereka disarankan untuk mengekalkan berat badan dan secara beransur-ansur mengurangkan berat badan berkenaan seiring dengan tumbesaran mereka.

“Kanak-kanak tidak sepatutnya diberikan diet mengurangkan berat badan tanpa nasihat pakar perubatan bertauliah kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhan mereka.

“Diet yang tidak terkawal terutama di kalangan gadis remaja boleh menyebabkan masalah gangguan pemakanan seperti anoreksia dan bulimia,” katanya.

Malah, ada bukti menunjukkan lebih mudah untuk mengubah tabiat makan kanak-kanak dan juga menerapkan tabiat mengamalkan senaman berbanding orang dewasa.

Bagi ibu bapa yang risau mengenai berat anak sebaiknya galakkan pengambilan makanan yang segar dan berkhasiat dalam penyediaan diet harian mereka.

Makanan berkanji yang kaya dengan karbohidrat kompleks seperti roti, kentang, pasta, nasi dan capati membekalkan separuh daripada sumber tenaga diperlukan kanak-kanak dalam diet mereka.

Ia lebih berkhasiat berbanding membekalkan anak dengan makanan yang mengandungi kadar lemak yang tinggi seperti coklat, biskut, kek dan juga kerepek.

“Selain itu, ubah cara penyediaan hidangan dengan memanggang atau membakar berbanding hanya menggorengnya saja. Burger, jejari ikan dan juga sosej juga lazat dinikmati apabila dipanggang malah, memiliki kandungan lemak yang rendah,” katanya.

Selain itu, elakkan pengambilan minuman bergas kerana ia mempunyai kadar kandungan gula yang tinggi. Satu tin soda mengandungi sembilan sudu teh gula.
Gantikan minuman berkenaan dengan memberikan jus yang ditambah dengan air ataupun pilihan minuman tanpa gula yang lain.

Di samping itu, ibu bapa boleh menyediakan hidangan sarapan pagi yang sihat menggunakan bijirin rendah gula bersama susu dan juga buah-buahan sebagai sumber tenaga terbaik pada hari berkenaan.

Ubah tabiat makan anak

Pamerkan contoh pengambilan diet seimbang kepada anak.

Sediakan makanan dan snek menyihatkan pada masa ditetapkan bagi mengelakkan keinginan mendadak terhadap makanan yang tidak sepatutnya.

Jangan membenarkan anak menikmati makanan mereka ketika menonton TV atau membuat kerja sekolah.

Jadikan waktu makan sebagai acara yang meriah dengan menikmatinya bersama keluarga.

Galakkan anak mengenali tubuh mereka dengan baik dan makan apabila mereka berasa lapar saja bukan sebaliknya.

Ajar anak untuk mengunyah makanan secara perlahan-lahan dan menikmati hidangan dengan sepenuhnya. Ini akan membuatkan mereka kenyang dengan cepat dan mengelakkan terlebih makan.

Jangan menyimpan terlalu banyak makanan ringan yang memiliki kandungan lemak dan gula yang tinggi di rumah.

Jangan jadikan hari riadah keluarga sebagai ‘program’ untuk menikmati makanan segera secara rutin.

Galakkan anak untuk membabitkan diri dalam proses penyediaan makanan kerana ini akan menyedarkan mereka mengenai bahan digunakan apabila menikmati makanan nanti.

Jangan menjadikan makanan sebagai satu cara untuk memujuk anak, sebaliknya berikan lebih perhatian, dengar masalah dan peluk anak untuk membantu mengurangkan kesedihan mereka.

Di samping itu, jangan menjadikan makanan sebagai ganjaran kerana ia boleh menanam idea makanan boleh digunakan segera sebagai satu cara untuk mendapatkan keselesaan dalam diri anak.

Ubah persepsi anak dan elakkan majlis keraian menggunakan makanan segera sebaliknya berikan hadiah, tengok wayang ataupun benarkan mereka bermalam di rumah rakan sebagai tanda ganjaran.

Aktiviti fizikal

Antara saranan yang boleh dilakukan bagi mengelakkan obesiti di kalangan kanak-kanak ialah dengan meningkatkan aktiviti fizikal secara menyeluruh antaranya berjalan dengan pantas sekurang-kurangnya satu jam sehari.

Amalkan aktiviti berjalan kaki sama ada untuk ke sekolah atau ke kedai berbanding terlalu bergantung kepada kenderaan untuk melakukannya.

Jalankan aktiviti riadah luar membabitkan semua ahli keluarga antaranya berbasikal, berenang dan sebagainya.

Kekurangan aktiviti fizikal

Ia ditonjolkan sama ada dengan pelakuan menghabiskan masa lapang dengan hanya menonton TV atau permainan komputer. Ketagihan ini perlu dihadkan dengan melakukannya tidak lebih daripada dua jam sehari.

Selain itu, ibu bapa perlu menggalakkan kanak-kanak untuk memilih program yang ditonton dan hanya fokus kepada rancangan yang menarik minat mereka saja.

Langkah pencegahan yang boleh dilakukan:

Kajian menunjukkan bayi yang menyusu susu ibu walaupun untuk jangka masa singkat mampu mengurangkan risiko obesiti apabila dewasa.

Ibu bapa yang mengamalkan pengambilan diet seimbang dengan menjadikan buah-buahan dan sayuran sebagai bahan utama menjadi contoh terbaik untuk anak.

Apabila anak makin membesar anak akan menjadikan diet yang diambil di rumah sebagai pola pemakanan mereka.

Galakkan aktiviti fizikal yang sihat dan cergas sebaik saja mereka boleh berjalan. Langkah ini membantu mengurangkan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

653 views