Amal Sikap Profesional

Hubungan suami isteri sungguh istimewa tetapi ia akan menjadi lebih menarik lagi apabila pasangan suami isteri mampu bergabung tenaga dan bekerjasama dengan baik serta senada dalam banyak hal, termasuk usaha mencari rezeki bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

Bagi sesetengah pasangan, membina perniagaan dan menjadikan pasangan mereka sebagai rakan kongsi mungkin tidak mungkin dapat dibayangkan kerana bimbang tugas akan dibawa pulang hingga ke rumah dan kehidupan antara kerja dan peribadi sukar dipisahkan.

Selain itu, mereka turut bimbang dengan kemungkinan sebarang perbezaan pendapat mampu menjadi pencetus pertengkaran serta perbalahan yang seterusnya boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan.

Apalagi sekiranya dua orang yang mempunyai perbezaan pendapat yang ketara tetapi masing-masing mempunyai sikap keras kepala dan enggan mengalah, pasti menyukarkan kerjasama dalam membangunkan perniagaan.

Namun keadaan ini amat berbeza buat Tengku Azaroo Tengku Chik, 36 dan isterinya, Feona Othman, 37, yang mengasaskan firma seni bina, rekaan dalaman, perundingan serta pengiklanan, FA Concept, yang kini bertapak di Wangsa Maju.

Lebih menarik, pasangan itu memulakan perniagaan berkenaan semasa bercinta 14 tahun lalu ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Mengamalkan sikap saling menghormati dalam perhubungan sebagai suami isteri dan rakan kongsi, pasangan yang mempunyai tiga anak perempuan ini, mampu saling bekerjasama dan menjadikan hubungan mereka lebih rapat kerana menghabiskan setiap waktu bersama-sama dalam menguruskan perniagaan dan membuat keputusan.

Menurut Feona, kelebihan membina perniagaan secara bersama adalah mereka tidak perlu menetapkan sebarang peraturan antara tugas di pejabat serta kehidupan peribadi dan boleh berbincang di mana-mana saja mengenai keputusan perniagaan yang perlu diambil, tanpa perlu membuat temu janji atau mesyuarat.

Katanya, hampir setiap masa dia dan suami berada bersama, sama ada keluar untuk ke tempat kerja, menyusun tugas pemasaran, bertemu pelanggan ataupun keluar melihat tugas luar yang sedang dijalankan.

“Yang menariknya, apabila kami perlu ke luar kawasan atau luar negara untuk mendapat bahan bagi menyempurnakan tugas binaan, hiasan dalaman atau pengiklanan, kami boleh bawa anak-anak sekali dan ia seperti satu percutian.

“Walaupun kami suami isteri, tetapi dalam kerja kita tetap bersikap profesional. Pada masa sama, apa saja yang dilakukan ketika di rumah atau di pejabat, kita perlu mencari keseimbangan dan masih tetap perlu menjaga hati satu sama lain,” katanya.

Sambil mengakui setiap perkara yang dilakukan pasti ada kelebihan dan kekurangan, Feona berkata sikap saling bertolak-ansur dan menghormati bidang tugas masing-masing amat penting dalam membangunkan syarikat.

Lebih membanggakan, kejayaan membina perniagaan secara bersama-sama kini membolehkan pasangan itu memiliki kilang sendiri di Sungai Buloh bagi menyediakan bahan binaan yang digunakan bagi kerja pengubahsuaian dan hiasan dalaman pejabat, rumah atau restoran.

Menurutnya lagi, sebagai suami isteri, mereka boleh berbincang dan menyelesaikan dengan serta-merta sesuatu masalah berkaitan permintaan pelanggan dan membuat keputusan pantas mengenai perniagaan, apalagi mereka sudah sangat memahami antara satu sama lain, membuatkan keputusan mudah dicapai.

“Sebagai suami isteri, ada masanya kami tetap sekali-sekala bertelagah mengenai sesuatu perkara selalunya mengenai pemilihan bahan untuk kerja hiasan dalaman tetapi ia perlu bijak dikawal supaya tidak melarat hingga ke rumah.

“Lagipun sebagai rakan kongsi perniagaan, bila bergaduh saya tidak dapat merajuk lama, malah tidak sampai 10 minit pun. Mahu tidak mahu kita perlu bercakap dan berbincang mengenai keputusan yang hendak dibuat apabila pelanggan menghubungi kita.

“Ketika di awal perkahwinan banyak juga perselisihan faham berkaitan tugas namun saya berfikir sampai bila harus berterusan begini. Jadi kami mula menyusun kerjasama yang lebih berkesan,” katanya.

Lebih istimewa, mereka sentiasa menghabiskan masa bersama dan hampir tidak berenggang disebabkan keperluan perniagaan, menjadikan hubungan mereka lebih rapat, sehinggakan sekiranya ada sedikit perbalahan pun, anak-anak akan dapat menghidu dengan pantas dan memujuk ibu bapa mereka.

Feona berkata, setiap keputusan yang hendak diambil akan dibincangkan bersama terlebih dulu biar sekecil manapun, dia akan memaklumkan kepada suami dan begitu juga suaminya.

Sementara itu, Tengku Azaroo berkata apabila bekerja sekali, suami atau isteri tidak boleh mempunyai sikap ego kerana bukan saja tidak baik untuk perhubungan, malah juga perniagaan.

Katanya, suami isteri yang bekerjasama perlu bersikap profesional dan sedia meletakkan diri mereka di tempat sepatutnya, kadang-kala sebagai pembuat keputusan atau yang mengikut keputusan, mengikut bidang tugas yang sudah ditetapkan buat diri masing-masing.

“Dalam perniagaan yang diusahakan bersama, kadang-kala isteri boleh bertindak sebagai pembantu suami dan ada masanya pula suami bertindak sebagai pembantu isteri, bagi mencapai hasil terbaik untuk pelanggan.

“Kami mempunyai kepakaran masing-masing, misalnya saya lebih kepada pembinaan dan isteri pula lebih kepada pemasaran. Jadi kita perlu saling menghormati bidang tugas dan bersedia menerima pendapat,” katanya.

Menurut Azaroo, dia menyerahkan urusan kewangan kepada isterinya kerana percaya golongan wanita mempunyai kemahiran dalam perkara itu, seterusnya membolehkan dirinya memberi tumpuan penuh kepada urusan pentadbiran syarikat.

Katanya, hasil kerjasama yang mantap antaranya dan isteri berjaya mengembangkan syarikat berkenaan dan hingga kini mereka mempunyai lima pekerja tetap yang sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Malah, pekerja turut diingatkan untuk memberi keutamaan kepada keluarga dan sekiranya berlaku pertembungan hal penting di antara keduanya, keluarga perlu didahulukan.

“Pada permulaan perniagaan iaitu ketika kami masih bercinta dan sedang belajar, saya dan Feona menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dan lebih memfokus kepada perkhidmatan mereka hiasan dalaman.

“Mula-mulanya kami berkawan baik dan menjalankan projek perniagaan secara sambilan tetapi akhirnya kami menjadi lebih rapat, jatuh cinta dan mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Selepas berkahwin, saya rasa lebih bersemangat untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan apalagi lebih mudah untuk kami bergerak berdua ke mana-mana untuk bertemu pelanggan,” katanya.

Tengku Azaroo berkata, biarpun ada masa mereka berselisih pendapat tetapi ia sebenarnya adalah untuk perkara yang membina dan kaum lelaki perlu tanam dalam diri mereka bahawa golongan wanita juga berkaliber.

Katanya, dia tidak pernah menetapkan kepada isterinya untuk memasak atau melakukan sebarang kerja di rumah kerana baginya mereka sama-sama sibuk dan faham kepenatan isteri selepas pulang dari pejabat.

Selain bertugas bersama, pasangan suami isteri itu juga mengambil pendekatan menguruskan urusan rumah dan anak secara bersama-sama, termasuk dalam hal memasak.

Hasil kecemerlangan syarikat itu, mereka juga pernah dilantik sebagai perunding bagi bilik pameran dan pusat servis syarikat kenderaan, Chevrolet, di 43 pusat pengedarannya di seluruh negara, antara 2004 hingga 2007.

Mereka juga pernah memberi khidmat rundingan hiasan dalaman serta promosi pengiklanan antaranya kepada agensi kerajaan, jabatan kerajaan, DRB Hicom, syarikat minyak dan gas serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Disebabkan rekod cemerlang dalam bidang berkenaan, pasangan itu mendapat kepercayaan daripada pelanggan yang sedang berada di luar negara dan hanya berurusan mengenai rekaan dalaman menerusi emel. Sebaik tiba di tanah air, rumah mereka sudah siap diubahsuai dalam tempoh yang ditetapkan, lengkap dengan hiasan dalaman.

Syarikat berkenaan juga mempunyai dua perkhidmatan dalam satu iaitu rekaan dalaman dan rekaan grafik. Biarpun kedua-duanya berbeza tetapi ia saling berkaitan dan memudahkan tugas pelanggan yang memerlukan kedua-dua perkhidmatan itu.

Hubungan yang rapat dengan pekerja juga membuatkan suami isteri berkenaan memberi kepercayaan kepada pekerja dan kelonggaran, tanpa peraturan yang terlalu ketat seperti syarikat lain.

Kerjasama berpasukan dan idea dari setiap pekerja amat dihargai malah setiap hari mereka akan duduk bersama dan berkongsi sebarang buah fikiran yang boleh dikembangkan bagi menjayakan sesuatu projek.

Menurut Feona, kelebihan bekerja bersama pasangan adalah ia mengurangkan beban kerja kerana ia dikongsi bersama dan masa menyiapkan sesuatu tugas juga dapat dipendekkan melalui gabungan tenaga.

“Dalam satu hari, kami boleh menyiapkan banyak perkara kerana biarpun ada dua kereta, kami akan bergerak bersama-sama. Bukan saja lebih menjimatkan tetapi tidak perlu meletakkan kenderaan sekiranya salam seorang perlu keluar sekejap untuk menyiapkan urusan.

“Disebabkan kami selalu bersama, biarpun sesibuk manapun, masa untuk keluarga tetap ada. Apabila cuti sekolah, kami akan bawa sekali anak-anak terutama urusan kerja ke luar negara merangkap cuti. Saya akui saya seronok bekerja bersama suami dan ia merapatkan lagi hubungan kami,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

488 views