Amalkan Pemakanan Sihat
Setiap sel di dalam badan mengalami pusingan jangka hayat untuk membiak yang berhubung kait dengan sel lain sepanjang kehidupan.
Kanser terjadi jika sesuatu jenis sel itu hilang kawalan mekanisma dan membiak dengan sendiri tanpa dapat dikawal oleh badan.
Semua jenis kanser disebabkan pertumbuhan sel di luar kawalan dan tumbuh dengan luar biasa dari segi saiz dan bentuk, tidak mempedulikan sel lain di dalam badan, memusnahkan sel bersebelahan dan boleh merebak kepada organ atau tisu lain.
Menerusi pertumbuhan sel kanser, ia memerlukan lebih makanan di dalam badan. Kanser mengakibatkan daya tahan badan menurun, memusnahkan organ dan tulang serta melemahkan sistem pertahanan (imun) badan untuk melawan penyakit.
Ada beberapa kanser yang kurang diambil perhatian terutama apabila ia membabitkan amalan pemakanan yang tidak sihat seperti kanser perut.
Jangan ambil mudah jika berasa sakit perut kerana menganggap kita tersalah makan dan tidak serius, sekali gus membiarkannya hilang sendiri.
Kanser perut sebenarnya kanser ketujuh paling lazim dialami lelaki dan ke-10 paling lazim bagi wanita di Malaysia.
Statistik 2006 oleh Institut Kanser Kebangsaan menunjukkan kaum Cina mewakili 61.7 peratus daripada pesakit kanser perut, diikuti Melayu (25.9 peratus) dan India (12.4 peratus).
Risiko mendapat kanser perut ialah 0.5 hingga 2.5 peratus dalam kalangan pesakit yang dijangkiti kuman. Risiko lebih tinggi di Jepun dan Colombia manakala risiko lebih rendah di Amerika Syarikat dan Australia.
Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Gan Ing Earn berkata, kanser perut tidak ada kena mengena dengan salah makan atau tidak mengambil makanan langsung.
“Antara petanda awal kanser perut adalah gastritis (penyakit radang perut). Ia terjadi disebabkan amalan mengambil makanan yang diawet, dikeringkan, disalai atau dijeruk. Namun, bukan semua boleh mendapat kanser perut selepas mengalami gastritis.
“Ada sejenis kuman yang menyebabkan penyakit perut dinamakan Helicobacter pylori (H pylori). Bakteria itu boleh didapati di seluruh dunia terutama di negara membangun berbanding di negara maju. Sesiapa saja boleh dijangkiti bakteria H pylori tanpa menunjukkan gejala.
“Pesakit lebih menderita kesakitan ketika perut kosong dan perlu diatasi segera. Dalam kes teruk, kuman ini mungkin boleh menyebabkan kanser perut,” katanya.
Kuman ini boleh didapati dalam air liur, gigi dan najis. Kemungkinan kuman ini merebak melalui makanan atau air yang tercemar.
Bakteria H pylori biasanya tidak mendatangkan masalah pada peringkat kanak-kanak. Jika menjangkiti kanak-kanak, dia mungkin mengalami gejala gastritis termasuk loya, muntah dan sakit perut.
Bagaimanapun, ia mungkin tidak disedari pesakit kerana tiada gejala jelas, malah gejala sama turut dialami ketika berdepan banyak penyakit lain.
Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada penyakit penghadaman termasuk gastritis iaitu kerengsaan dan radang pada lapisan perut dan penyakit ulser peptik.
Kanak-kanak yang menghidap ulser peptik boleh mempunyai luka berdarah, hematemesis menyebabkan muntah berdarah atau muntah yang kelihatan seperti serbuk kopi dan melena iaitu najis hitam, berdarah atau kelihatan seperti tar.
“Pemeriksaan awal penting untuk mengenal pasti atau mengesan kanser pada pesakit. Walaupun tidak ada gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser perut, penyakit ini boleh menyerang tanpa sebarang tanda.
“Kanser perut boleh dikesan menggunakan kaedah endoskopi iaitu satu tiub dengan lensa video pada hujungnya dimasukkan ke dalam perut menerusi mulut ataupun dubur.
“Menggunakan kaedah ini, keseluruhan dinding boleh diperiksa. Contoh tisu di tempat yang disyaki akan diambil untuk menentukan kehadiran sel barah itu,” katanya.
Bagaimanapun, jika pesakit berada di tahap kritikal iaitu peringkat tiga dan empat, ia mungkin sukar dirawat. Rawatan bagi mereka lebih kepada radioterapi ataupun kemoterapi.
Punca kanser perut:
Bakteria H pylori.
Makanan yang bernitrit seperti sos soya, sos tiram dan sos cili.
Bahan kimia di dalam rokok.
Alkohol.
Cara mengawal kanser perut
Amalkan tabiat pemakanan yang sihat. Apa yang anda makan dan cara makan amat penting. Makanlah secara sederhana pada waktu yang ditetapkan dan makan dengan
tenang.
Salah satu langkah paling mudah dengan mengamalkan diet berkhasiat, dapatkan rehat secukupnya, lakukan senaman dan rehat dengan cara menyihatkan.
Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi antioksidan bagi membantu mengurangkan risiko kanser perut.
Kekalkan berat badan yang sihat. Masalah pencernaan boleh terjadi tidak kira berat badan anda. Tetapi, pedih hulu hati, kembung dan sembelit lebih ketara dalam kalangan mereka yang terlebih berat badan.
Senaman aerobik yang meningkatkan kadar pernafasan dan degupan jantung juga merangsang aktiviti otot usus, membantu untuk membuang sisa makanan melalui usus anda dengan lebih cepat.
Lakukan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti aerobik setiap hari. Anda juga boleh lakukan meditasi, yoga atau tai chi.
Kawal tekanan. Tekanan akan meningkatkan risiko anda menghidap sakit jantung dan strok, melemahkan sistem ketahanan anda dan boleh mencetus atau memburukkan masalah kulit. Ia juga meningkatkan penghasilan asid perut dan memperlahankan sistem pencernaan.
Disebabkan tekanan sesuatu yang sukar untuk dielakkan bagi kebanyakan orang, cara terbaik adalah mengawalnya dengan berkesan.
Sebaiknya, elak daripada berkongsi makanan atau minuman kerana bakteria H pylori boleh merebak menerusi air liur.
Jangan merokok atau mengambil minuman beralkohol.
Gejala kanser perut
Kurang selera makan atau makan sedikit tetapi cepat kenyang.
Banyak angin, kembung perut selepas makan, ketidakhadaman atau pedih ulu hati.
Tidak selesa atau sakit di bahagian perut.
Mual dan muntah.
Cirit-birit atau sembelit.
Lemah dan letih.
Pendarahan (muntah atau berak berdarah).