Ambil Inspirasi Seni Bina

Dalam penggayaan, kebiasaannya unsur alam menjadi inspirasi dalam penghasilan rekaan. Reka bentuk, potongan serta warna yang terdapat pada flora dan fauna banyak digunakan kerana ia bersifat sejagat dan mampu diterima semua peringkat usia.

Bagi pereka kreatif yang bijak mencetuskan idea terkini dan segar, mereka bukan saja menjadikan alam sekitar bahan untuk berkarya, sebaliknya apa saja yang berada di sekeliling termasuk unsur binaan, tekstur bangunan bersejarah dan klasik mencetuskan ilham bagi rekaan mereka.

Bagi pereka muda berbakat Rico Rinaldi, menjadi suatu kemestian melakarkan sesuatu yang unik dan bertema dalam setiap koleksi terkininya. Mengambil ilham unsur seni bina bangunan bersejarah di Paris dengan letusan warna klasik dan berani, anak muda ini menggarapkan koleksi 2014 Rico Rinaldi dengan mengambil kira erti kecantikan bagi wanita.

“Setiap orang memberikan makna tersendiri mengenai kecantikan. Sama ada mainan rona terang atau gelap, tradisional atau moden, realiti atau fantasi, semuanya menggambarkan makna sama iaitu perlu cantik dan sesuai digayakan wanita. Siluet atau seni potongan bayangan biasanya berasaskan warna hitam kemudian digabungkan dengan rona neon bagi mewujudkan satu potongan yang indah dan menawan,” katanya.

Untuk koleksi Rico Rinaldi 2014, ia menekankan konsep minimalis dalam dua bentuk berbeza iaitu gabungan moden dan tradisional dengan warna asas seperti hitam mengambil alih pasaran.

“Untuk koleksi kali ini saya menggunakan tekstur bangunan di Paris serta unsur seni bina yang diterapkan dalam rekaan. Ini disebabkan lakaran serta hiasan pada dinding bangunan begitu menyentuh jiwa dan memberi makna tersendiri kepada pencintanya,” katanya.

Untuk koleksi ini, Rico membentangkan persalinan mewah membabitkan gaun kembang, skirt, blaus dan jaket menggabungkan inovasi seni bina ke dalam ciri personaliti wanita. Dengan 15 jenis potongan daripada kasual, minum petang ke majlis mewah, Rico cuba menyesuaikannya mengikut empat musim berbeza. Ini kerana pereka ini tidak mahu menghasilkan rekaan sama setiap masa sebaliknya melakukan pengubahsuaian mengikut kehendak pelanggan.

Rico terkenal sebagai pereka yang bijak menggunakan teknik menambah alas pada baju dengan fabrik berbeza seperti kulit ular, bulu sifon, jersi dan satin. Gabungan yang unik dan kena dengan si pemakai menjadikan setiap busana berada dalam kelas tersendiri.

“Ramai yang tidak menjangkakan gabungan fabrik seperti sifon dengan kulit haiwan menjadikan penampilan lebih elegan dan sofistikated. Malah, jika kebiasaannya ia digunakan untuk gaya ranggi dan funky tetapi jalinan kedua-duanya tetap menampakkan penampilan lebih feminin dan ayu,” katanya yang menjangkakan reka bentuk luar biasa ini akan menjadi ikutan penggemar fesyen pada masa hadapan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

495 views