Ambil Langkah Pencegahan Awal

Cerita mengenai aktres Angelina Jolie yang menjalani pembedahan pembuangan payudara atau mastektomi tentunya memberikan sesuatu yang berbeza serta membuka mata banyak pihak mengenai keterbukaan serta kesediaan menjalani kehidupan lebih baik, sesuai dengan pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati.

Berbanding wanita Malaysia yang tidak sanggup menjalani pemeriksaan awal payudara dan menunggu sehingga kanser merebak ke tahap empat, sememangnya apa yang dilakukan aktres jelita ini patut dijadikan contoh. Dia rela melakukan pembedahan pembuangan kedua-dua payudara menggantikannya dengan implan demi mengelak serta mengurangkan risiko terkena kanser payudara.

Tindakan ini diakui oleh kebanyakan doktor sebagai sesuatu yang tepat bagi mencegah sel kanser merebak, apatah lagi pelakon filem Sherlock Holmes ini berisiko hampir 87 peratus mendapat kanser yang diwarisi daripada ibunya.

Malah, selepas melakukan mastektomi, peluang untuk mendapat kanser menjadi lebih rendah.

Keputusan wanita ini menjalani mastektomi bukan saja membuka mata ramai mengenai pilihan terkini dalam melakukan tindakan pencegahan, tetapi juga kemajuan dalam bidang rekonstruksi payudara bagi membolehkan wanita memperoleh kembali payudara mereka.

Dalam kes Angelina, dia menjalani mastektomi untuk kedua-dua payudara kerana berisiko pembawa gen mutasi BRCA1 yang meningkatkan risiko kanser payudara dan rahim. Selain mastektomi, dia juga menjalani pembedahan rekonstruksi payudara implan agar kelihatan semula jadi.

Mengulas hal ini, menurut Pakar Bedah Payudara Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Azlina Firzah Abdul Aziz, apa yang dilakukan aktres terbabit adalah satu bentuk pencegahan yang bukan saja memerlukan keberanian, tetapi persediaan dari segi fizikal, mental dan juga emosi.

Sebelum melakukan prosedur ini, dia pasti sudah memikirkan pelbagai kemungkinan selain menjalani pemeriksaan genetik bagi menentukan sama ada dirinya adalah pembawa gen BRCA1.

Setiap sel dalam tubuh manusia mempunyai dua gen iaitu BRCA1 atau BRCA2 yang diwarisi daripada ibu bapa. Seorang wanita yang menerima satu gen BRCA1 atau BRCA2 yang rosak daripada ibu bapa berkemungkinan mendapat kanser.

Walaupun peluang wanita yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai kanser payudara sangat besar, majoriti pesakit yang datang bertemu dengannya tidak mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser.

“Bagi Angelina, dia berisiko 87 peratus mendapat kanser payudara dan 50 peratus mendapat kanser rahim. Risiko ini berbeza untuk setiap wanita, namun hanya sedikit pesakit kanser payudara yang berpunca daripada keturunan mutasi gen. Mereka yang memiliki gen BRCA1 mengalami kerosakan mempunyai 65 peratus risiko mendapat kanser dan ibu Angelina meninggal pada usia 56 tahun kerana kanser rahim,” ulasnya.

Menurut Dr Azlina, pembedahan mastektomi yang dilakukan aktres berkenaan bermula dengan prosedur membuang keseluruhan jaringan payudara tidak termasuk puting dan areola. Kemudian rekonstruksi payudara menggunakan implan dilakukan bagi mewujudkan payudara seakan-akan semula jadi. Namun, pembedahan ini berbeza-beza bergantung kepada tahap penyakit.

Misalnya, mastektomi nipple-sparing hanya mengangkat jaringan payudara, tidak termasuk puting atau areola. Sementara itu, mastektomi skin-sparing membuang keseluruhan payudara manakala mastektomi modified radical membuang keseluruhan payudara termasuk jaringan payudara pada tulang dada, tulang selangka serta benjolan di sekitar ketiak. Oleh kerana Angelina turut berisiko mendapat kanser rahim, dia juga mempertimbangkan untuk membuang keseluruhan rahim atas alasan yang sama sebelum berusia 40 tahun.

Apa yang berlaku kepada Angelina ini sebenarnya wajar dijadikan inspirasi terutama kepada semua wanita di Malaysia mengenai pentingnya menyayangi diri sendiri sebelum sesuatu penyakit itu merebak sehingga menyebabkan kematian.

Oleh kerana kanser payudara adalah barah yang sering menyerang wanita, sememangnya wajar golongan Hawa mengambil langkah pencegahan awal dengan menyedari setiap perubahan yang berlaku kepada payudara mereka.

Ini boleh dilakukan dengan melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) pada setiap bulan sepanjang hayat mereka iaitu di antara hari ketujuh hingga ke-10 selepas bermulanya haid.

Sekiranya jangka masa haid tidak teratur atau sudah putus haid, PSP mesti dilakukan pada satu hari yang ditetapkan setiap bulan. Bagi wanita yang melebihi 30 tahun, mereka perlu juga mendapatkan pemeriksaan payudara di hospital menerusi doktor atau pakar perubatan pada setiap tahun.

Pemeriksaan payudara secara tetap akan membolehkan seseorang wanita mengesan kanser payudara pada peringkat awal bagi membolehkan rawatan dilakukan dengan lebih berkesan.

Sekiranya terdapat perubahan seperti benjolan pada payudara atau ketiak, perubahan bentuk dan saiz payudara yang luar biasa, kerutan atau lekuk pada payudara, puting payudara tertarik ke dalam serta pendarahan atau lelahan luar biasa dari puting payudara, keadaan itu tidak harus dibiarkan dan perlu merujuk kepada doktor.

“Malangnya tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan wanita Malaysia menyebabkan mereka mengambil mudah dengan setiap perubahan yang berlaku pada payudara mereka. Mungkin malu atau tidak sanggup menerima kenyataan menyebabkan golongan ini membiarkan saja sehingga kanser merebak ke tahap empat.

“Ada pula wanita yang sudah berumah tangga bersetuju untuk menjalani pembedahan membuang payudara atau mastektomi, malangnya mendapat tentangan suami. Ini kerana ada antara golongan suami berasa malu dengan teman seangkatan yang mungkin memberikan persepsi isteri mereka sudah tiada ciri kewanitaan lagi.

“Faktor ini walaupun adakala dianggap remeh dan tidak masuk akal, namun inilah realiti yang berlaku di sini,” katanya yang berharap golongan suami berfikir secara rasional dan tidak hanya mementingkan diri sendiri.

Rawatan mamogram

Selain pemeriksaan sendiri payudara, wanita berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai ahli keluarga penghidap kanser harus menjalani rawatan mamografi bagi menyokong pemeriksaan fizikal mereka. Ini kerana proses ini mampu mengesan perubahan pada sel dan tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan melalui pemeriksaan fizikal menggunakan tangan.

“Mamografi adalah sinaran-X yang menghasilkan imej payudara pada filem. Imej yang terhasil ini dipanggil mamogram. Jika ada kawasan pada mamogram yang mencurigakan atau tidak jelas, pemeriksaan tambahan dilakukan,” katanya.

Biopsi pula adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu kanser dengan mengambil sedikit sampel tisu payudara dan diperiksa menggunakan mikroskop. Terdapat dua jenis biopsi yang biasa dilakukan iaitu biopsi aspirasi iaitu menggunakan jarum untuk mengambil sebahagian kecil tisu daripada ketumbuhan pada payudara manakala biopsi pembedahan iaitu ketumbuhan atau kawasan yang disyaki mengandungi sel kanser dipotong dan dikeluarkan untuk diperiksa melalui mikroskop.

Sel kanser payudara merebak dengan cepat melalui beberapa cara antaranya ia menyerang bahagian kulit dan dinding otot dada, merebak ke bahagian limfa melalui saluran darah dan tersebar ke seluruh badan terutama ke bahagian tulang belakang, pinggang, tengkorak dan dada, hati, paru-paru, kelenjar adrenal serta ovari.

Malah, dianggarkan sekiranya kanser payudara berukuran 1.6 sentimeter, ia mungkin sudah berada di dalam payudara selama sekurang-kurangnya dua tahun. Pada waktu ini, sel kanser mungkin sudah memasuki ke dalam saluran darah ataupun sistem limfatik dan seterusnya merebak ke seluruh badan.

“Oleh itu, walaupun ketumbuhan kanser payudara dirasakan tertumpu pada payudara saja, dianggarkan lebih 35 peratus darinya mungkin merebak atau mengalami metastasis. Sekiranya sudah sampai sehingga ke bahagian organ, pembedahan mastektomi perlu dilakukan bagi mengelak menjadi lebih teruk,” katanya.

Wanita yang mempunyai ahli keluarga terutama ibu atau kakak menghidap kanser payudara seharusnya menjalani rawatan awal supaya pencegahan dapat dilakukan. Usah takut untuk membuat pemeriksaan kerana pengesanan pada tahap satu boleh menyelamatkan nyawa sekali gus memastikan kesejahteraan keluarga dapat diteruskan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

788 views