Ambil Vitamin K Secukupnya

VITAMIN K nutrien penting yang memainkan peranan untuk pembekuan darah, kesihatan tulang dan jantung.

Kajian terkini menunjukkan vitamin K berpotensi membantu merawat penyakit osteoporosis dan Alzheimer.

Walaupun kekurangan vitamin K jarang berlaku, pengambilannya yang kurang daripada jumlah diperlukan boleh menjejaskan kesihatan pada masa akan datang.

Antaranya boleh menyebabkan pendarahan, melemahkan tulang dan berpotensi meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung.

Oleh itu, anda perlu pastikan tubuh mendapat semua keperluan vitamin K iaitu 120 mikrogram (mcg) sehari.

Makanan yang kaya dengan vitamin K termasuk sayuran hijau berdaun (dimasak atau mentah) seperti brokoli, kubis brussels, timun, asparagus, buah kiwi, kacang hijau dan salad.

SAYUR kale tinggi vitamin K.

i.Sayur kale

Kale mengandungi serat, antioksidan, kalsium, vitamin C, zat besi dan pelbagai nutrien lain yang dapat membantu mencegah pelbagai masalah kesihatan.

Antioksidan ini membantu tubuh menyingkirkan toksin yang terhasil daripada proses semula jadi dan persekitaran.

Toskin ini dikenali sebagai radikal bebas iaitu molekul yang tidak stabil.

Jika bahan itu banyak dalam tubuh, ia boleh merosakkan sel dan mencetuskan masalah kesihatan seperti keradangan dan penyakit.

100 gram kale mengandungi 419 mikrogram vitamin K.

ii. Brokoli

Sayur ini boleh dianggap makanan unggul kerana kandungan gizi di dalamnya yang memberi manfaat terhadap tubuh.

Brokoli boleh dimasak dengan cara dikukus atau goreng, tetapi pilihan terbaik adalah dikukus bagi mengekalkan kandungan nutrisinya.

Antara khasiat brokoli ialah rendah kalori, bebas lemak tepu dan tinggi kalium.

Selain itu, kandungan fitokimia yang bersifat antibarah boleh mengurangkan risiko barah payudara, usus dan paru-paru.

100 gram brokoli mengandungi 141 mikrogram vitamin K.

iii. Kubis brussels

Walaupun saiznya kecil tetapi khasiatnya sangat banyak dan baik untuk tubuh.

Kubis brussels rendah kalori tetapi tinggi serat, vitamin dan mineral.

Selain tinggi vitamin K, sayur ini juga kaya antioksidan yang membantu penyerapan zat besi yang terbabit dalam membaiki tisu dan fungsi ketahanan badan.

Di samping itu, ia turut mengandungi sejumlah kecil vitamin B6, kalium, zat besi, tiamin, mangnesium dan fosforus.

Seratus gram kubis brussels mengandungi 140 mikrogram vitamin K.

iv. Kubis

Kubis adalah sayuran daripada keluarga ‘Brassica’. Ia boleh didapati dalam beberapa bentuk dan warna seperti putih, hijau serta ungu.

Sayuran ini mempunyai ciri-ciri antibarah kerana kandungan tinggi glukosinolat yang mencegah penyakit berkenaan.

Menariknya, makan kubis dapat merendahkan tekanan darah oleh kalium yang terdapat dalam sayuran itu.

Seratus gram kubis mengandungi 109 mikorgram vitamin K.

v. Timun

Selain kaya vitamin K, timun juga mempunyai nutrisi lain seperti protein, lemak, karbohidrat, serat, kalsium, kalium, zat besi dan vitamin C.

Antara khasiatnya ialah menghidratkan tubuh, menurunkan berat badan, mengawal paras gula dalam darah, melancarkan penghadaman, mencegah gout dan mencantikkan kulit.

Seratus gram timun mengandungi 77 mikrogram vitamin K.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

85 views