Amoi Kopitiam

Hampir setiap hari bermula jam 6 pagi, Nicole Wong Siaw Ting, 33, yang ketika itu sedang sarat mengandung berada celah pasar pagi di kawasan Seputeh bagi memberikan khidmat kepada masyarakat. Dengan tangan memegang sebakul oren, dia bergerak dari satu meja ke meja memberikan buah oren kepada pengunjung.

Di setiap lokasi dikunjungi, dia bertanya khabar sambil mendengar luahan hati mereka mengenai sebarang masalah.

Pada mulanya walaupun reaksi diterima amat mengecewakan kerana masih ramai belum mengenali dirinya, Wong tidak berputus asa dan terus menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat setempat dengan memperkenalkan diri dan berjanji menyelesaikan masalah mereka.

Selepas menyelesaikan tugasan di pasar, di bergerak ke kedai kopi dan kopitiam yang terletak di kawasan sama sambil duduk semeja dengan penduduk terutama golongan tua. Dia berbual dari meja ke meja untuk mengetahui apa yang tersirat di hati mereka.

Perkara ini dilakukannya secara rutin pada setiap Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat sehingga ada yang memberi gelaran ‘amoi kopitiam’ kepada calon Barisan Nasional (BN) kawasan Seputeh ini. Apa yang dilakukannya hanya mendengar dan menyelami apa yang mereka inginkan. Walaupun masalah dilihat kecil misalnya longgokan sampah, longkang tersumbat atau jalan berlubang, bagi penduduk setempat ia sangat besar dan memerlukan penyelesaian segera.

Wong memilih kedai kopi sebagai lokasi bertemu penduduk melalui kios Nicole Wong Work Station kerana memahami kebanyakan masyarakat di situ meluangkan masa bersarapan dengan ahli keluarga biar sesibuk mana sekalipun mereka.

“Suasana waktu pagi biasanya lebih meriah dan santai. Jadi saya mengambil peluang berbual dengan pengunjung kedai kopi kerana mereka lebih jujur dan ikhlas berbicara. Biasanya, tauke kedai kopi memberi satu ruang kepada saya menjalankan tugas, jika tidak kami mendirikan khemah mini sama ada di bawah pokok berdekatan medan selera atau di pasar pagi,” katanya.

Selepas enam bulan berkhidmat di kios bergerak, akhirnya Wong membuka pusat perkhidmatan Nicole Wong Work Station dengan menyewa rumah teres di Taman Gembira berikutan kemahuan penduduk inginkan lokasi tetap bagi mereka mendapatkan bantuan.

“Mujur ada rakan menawarkan rumah untuk dijadikan pusat perkhidmatan dan di sinilah saya bersama kaki tangan menjalankan semua urusan khidmat kepada orang ramai,” katanya.

Malah sejak beroperasi, pusat khidmat ini menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada untuk meminta bantuan, membuat aduan dan ada memberi sokongan kepadanya.

Dalam usaha memperoleh kepercayaan penduduk sebagai calon BN, Wong mengakui banyak rintangan dihadapi terutama ketika menjalankan tugas apatah lagi banyak aduan tidak dapat diselesaikan ahli parlimen mereka sekarang.

“Setiap kali berkunjung ke kedai kopi, saya sering mendengar rungutan daripada masyarakat bahawa ahli parlimen tidak menghiraukan masalah mereka. Apa yang saya lakukan adalah cuba menyelesaikan setiap masalah sedikit demi sedikit,” katanya.

Setiap kali masalah penduduk diselesaikan, dia berasa begitu puas kerana segala usahanya berbaloi. Tambahan pula apabila menerima ucapan terima kasih daripada masyarakat setempat.

Sebagai calon BN, Wong akui tugasnya lebih berat kerana dia ingin menjadi wakil kepada masyarakat setempat dengan mendengar luahan hati mereka. Oleh sebab itu, tujuh manifesto yang diperkenalkan adalah apa yang diinginkan rakyat dan bukannya pembaharuan yang cuba dilakukan.

“Tujuh manifesto yang dilancarkan semuanya perkara yang diinginkan masyarakat. Bagi saya ia bukan sesuatu perubahan besar yang sukar dilakukan, tetapi semuanya mengenai perkara asas yang menjadi jaminan kepada kehidupan lebih sejahtera,” katanya.

Menyambung warisan ayah

Anak kelima dalam enam beradik ini mengakui sangat disayangi keluarga disebabkan sifatnya yang manja dan rapat dengan semua orang. Ibu bapanya memberi kebebasan kepada Wong dalam menentukan hala tuju sendiri.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana, sejak kecil Wong belajar untuk lebih berdikari. Malah, ketika di tingkatan lima dia bekerja bagi menampung perbelanjaan pengajian. Dari situ, Wong menjadi seorang yang sangat berdisiplin dan komited dalam apa juga dilakukan sehingga mampu membeli kereta dan rumah hasil titik peluhnya sendiri.

“Saya akui peribadi banyak dibentuk daripada didikan keluarga yang mementingkan disiplin dan usaha bersungguh-sungguh. Oleh kerana ayah adalah ahli MCA, secara tidak langsung saya turut terbabit dalam kerja politik seawal usia 21 tahun.

Namun, semuanya bermula secara kecil-kecilan saja. Selepas ayah meninggal dunia pada 2006, saya menyambung warisannya dalam politik. Namun, saya tidak sangka perjalanan karier menjadi lebih kukuh kerana asalnya saya hanya sekadar suka-suka,” katanya.

Pada 2005, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini aktif di kawasan Kuala Lumpur sehingga dilantik sebagai Ketua Wanita MCA untuk Jalan Jelatek, Naib Pengerusi Wanita MCA Titiwangsa serta Ahli Jawatankuasa Wanita MCA Wilayah Persekutuan. Dari situ, Wong terus mengukuhkan minatnya dalam politik walaupun dulu dia hanya bertugas menyusun kerusi dan memasang bendera apabila aktiviti diadakan.

Wong yang baru saja melahirkan cahaya mata kedua, Xavern Kok, 38 hari lalu kini baru saja habis tempoh berpantang mengikut masyarakat Cina. Namun, dia mengakui selepas seminggu melahirkan anak, dia sudah keluar bagi memenuhi program disediakan BN.

“Oleh kerana saya melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan pada 18 Mac lalu, memang terasa sedikit perit pada bahagian perut kerana luka pembedahan masih belum pulih sepenuhnya. Namun, saya mengamalkan pantang makanan tertentu, banyak makan makanan kesihatan sama ada tradisional dan moden serta memakai stokin apabila berjalan.

“Mujur saya mempunyai kaki tangan yang sangat memahami dan sentiasa menyediakan kerusi ketika berada di pasar bagi membolehkan saya duduk sementara. Mereka juga mengingatkan untuk makan apabila tiba waktu makan serta ubat-ubatan yang perlu dihabiskan,” ujarnya yang memastikan tidak terlalu aktif dan banyak bergerak pada satu-satu masa.

Menyedari tugasan yang kian bertambah menjelang pilihan raya, Wong mengakui terpaksa berkorban dengan meninggalkan bayi kecil dan anak pertama Xavier, 2, di bawah jagaan ibu dan suaminya, Alan Kok. Pada masa sama, Wong mempunyai sistem sokongan yang sangat kukuh iaitu keluarga kedua-dua pihak yang sangat membantu dan memberikan sokongan kepadanya.

“Oleh kerana suami membuka perniagaan sendiri jadi saya menyerahkan tugasan menjaga anak kepadanya tatkala saya keluar bekerja. Ibu pula menjaga anak
di rumah jadi saya kurang tertekan kerana anak dijaga individu yang sangat dipercayai,” jelasnya.

Sebelum keluar, Wong pasti bertemu kedua-dua anaknya, meminta kebenaran untuk meninggalkan mereka dengan nenek di rumah.

“Saya pasti mencium mereka sebelum keluar bekerja, menyatakan harapan sambil menjelaskan mengapa saya meninggalkan mereka di rumah setiap hari. Saya faham sebagai ibu ia satu tugas yang berat, namun saya terpaksa berkorban demi masyarakat.

“Selepas dipilih sebagai calon, ramai yang bertemu dan memberi sokongan kepada saya. Mereka berharap saya mampu melakukan perubahan. Sangat menyentuh hati apabila ada yang memeluk dan mencium saya sebagai tanda terima kasih padahal dua tahun lalu tiada siapa mengenali saya,” katanya.

Baginya, menjadi yang berhormat bukan setakat pangkat, apa yang penting bersama-sama mereka. Tidak boleh sombong dan sentiasa berada walau di mana saja mereka memerlukan.

“Untuk PRU13 kali ini, apa yang ingin saya lakukan adalah memberi kesedaran kepada pengundi mengenai penting dan bernilainya setiap undian. Ia bukan saja memberi makna kepada diri tetapi juga penduduk setempat,” jelasnya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

796 views