Andrea Satu Anugerah

Kita sering ditanya atau ingin bertanya bagaimana perasaan seorang ibu yang memiliki anak kelainan upaya (OKU)? Ini kerana jika dilihat zahirnya kebanyakan mereka kelihatan kuat menjaga anak dengan penuh kasih sayang, ikhlas, jujur dan memberi penghormatan yang tinggi tanpa ada sekelumit rasa benci atau marah.

Dari segi yang lain pula tidak semua ibu mampu menjadi seperti mereka mempunyai semua sifat positif ini dalam diri. Jika kita yang melihatnya sudah merasa beban, apatah lagi mereka yang menanggungnya.

Menyelami hati ibu yang memiliki anak OKU sememangnya menerbitkan rasa bangga kerana golongan ini memiliki tingkat kesabaran, ketabahan dan kasih sayang yang begitu luhur. Walaupun berkali-kali air mata mereka gugur demi mempertahankan cahaya mata tersayang daripada menerima simpati ramai, namun ia adalah perkara biasa yang harus dilaluinya.

Bagi Wan Seet Peng bergelar ibu kepada cahaya mata OKU Andrea, 13, bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana ia menuntut pengorbanan dan kecekalan yang sangat tinggi bagi memastikan impian menjadikan Andrea insan yang berpotensi dan penuh cita-cita tercapai tanpa melihat kekurangan pada dirinya.

Namun begitu dalam laluan hidup dalam tempoh 13 tahun sejak hari pertama Anfrea dilahirkan bukanlah mudah, cabaran mendatang menuntut menuntut banyak pengorbanan bukan saja dari segi kewangan, tetapi masa dan tenaga.

“Saya percaya Andrea memiliki potensi yang harus dicungkil dan dibentuk. Walaupun dia mengalami masalah palsi serebrum (CP) sejak dalam kandungan, namun saya tidak harus membiarkan dia terus dalam keadaan begitu. Sebab itu, saya terus berusaha memberikan yang terbaik kepada Andrea supaya dia mampu berdikari seperti remaja lain,” katanya.

Mengetahui kehamilan pertamanya bermasalah sejak kandungan berusia lima bulan, Seet Peng terus mendapatkan pandangan doktor apa yang harus dilakukan. Malangnya doktor pakar yang ditemui tidak memberikan sokongan moral seperti diharapkan, membuatkan dia berasa sangat kecewa.

“Sejak awal saya menerima persepsi negatif masyarakat, ketika mendapatkan rawatan sehinggalah selamat melahirkan anak. Meskipun dia tidak seperti bayi lain, tetapi saya amat sayangkan Andrea. Selepas melahirkan Andrea, barulah saya sedar bahawa golongan ini memang terpinggir dan kurang disayangi. Ada sesetengah pihak yang menyediakan rawatan atau pendidikan bagi OKU hanya untuk mendapatkan keuntungan,” katanya yang bertugas sebagai guru muzik.

Masalah ini begitu ketara ketika anaknya meningkat usia dan dia menyertai pelbagai program amal sekolah, namun apa yang diinginkan penganjur hanyalah keuntungan semata-mata daripada OKU.

“Saya sedar sampai sekarang persepsi masyarakat mengenai OKU tidak pernah berubah. Apa yang mereka berikan hanyalah simpati dan kasihan sedangkan kami tidak memerlukan simpati kerana golongan ini mampu berdikari sama seperti orang lain. Apa yang diinginkan adalah memahami, mengasihi dan menerima OKU sama seperti insan normal lain,” katanya.

Walaupun tidak mendapat sokongan suami dalam membesarkan anaknya, namun ibu tunggal ini tetap tabah menghadapinya sendirian. Bagi Seet Peng dulu memang dia sangat tertekan dan sering bertanya mengapa dia yang diuji dan bukannya orang lain. Tetapi selepas bersama-sama Andrea melalui liku-liku kehidupan barulah Seet Peng merasakan kehadiran Andrea adalah satu anugerah. Andrea banyak mengajar mengenai erti hidup yang penuh suka dan duka serta berwarna-warni.

“Melalui Andrea saya memahami erti cinta, kasih sayang, kejujuran dan kesabaran yang tinggi. Paling penting bersyukur dengan anugerah yang tidak terhingga ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Bagi Nafidah Ismail pula walaupun berdepan cabaran membesarkan dua anak OKU iaitu autisme dan pembelajaran perlahan, namun dia percaya pada ketentuan Allah dan menerimanya dengan reda. Selepas mengetahui masalah pada kedua-dua anaknya Nafidah tidak berdiam diri atau menyembunyikan anak daripada masyarakat, sebaliknya mencari maklumat sebanyak mungkin di Internet mengenai cara atau teknik mendidik anak OKU.

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah mencari sekolah yang sesuai untuk Nasuha. Kemudian saya sendiri melengkapkan diri dengan ilmu mendidik anak OKU di rumah supaya saya tidak tersalah langkah dalam memberikan pendidikan kepada mereka kerana golongan ini agak sensitif dan memerlukan perhatian yang lebih berbanding kanak-kanak normal lain,” ujarnya.

Untuk Nasuha yang mengalami masalah lambat dalam pembelajaran, dia menggunakan kaedah kaedah visual iaitu penceritaan menerusi gambar dan video. Jadi guru di sekolah memberi penekanan terhadap kaedah ini kerana ia lebih sesuai dan mudah diterima.

Nasuha yang meminati bola sepak sejak kecil mengakui ingin menjadi pemain futsal negara suatu hari nanti. Meminati Wayne†Rooney kerana ketangkasannya menggelecek bola di padang, Nasuha sangat komited dalam apa juga dilakukannya.
Pada masa akan datang dia berharap lebih banyak kemudahan sukan untuk OKU disediakan pihak kerajaan bagi membolehkan golongan ini beriadah sama seperti insan normal lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,291 views