Anggun Dalam Konsep Sederhana

Setiap orang mempunyai gaya yang diminati sama ada penampilan kasual yang kemas, santai mahupun ringkas untuk ke mana saja. Namun, tidak mustahil gaya harian yang digemari itu juga mampu diubah menjadi penampilan menarik untuk ke majlis tertentu.

Bagi pemilik byBintu Boutique Bintu Rasyada Abdul Rahman, dia sendiri gemar menampilkan koleksi rekaan pakaian berdasarkan gaya menutup aurat, selesa dan trendy tatkala menghadiri majlis tertentu.

“Saya lebih suka menekankan konsep minimalis dalam bergaya kerana percaya penampilan sederhana dan tidak terlalu sarat akan tampak menarik walaupun mahu menonjolkan gaya glamor.

“Justeru, kebanyakan rekaan saya lebih menekankan keselesaan dan mengikut trend terkini yang sesuai digayakan Muslimah sekitar usia 30-an,” katanya.

Bukan itu saja, malah rekaan yang ditampilkan juga boleh dipakai untuk pelbagai tujuan. Walaupun ia tampak kasual, tambahkan saja sedikit aksesori jika mahu tampil eksklusif dan anggun ketika ke majlis istimewa,

Di samping bergaya anggun, ada juga rekaan yang turut memudahkan Muslimah menyusukan bayi mereka kerana terdapat tambahan jahitan butang pada bahagian dada.

Helaian gaun yang ditampilkan juga memberi kemudahan kepada Muslimah untuk mengambil wuduk kerana bahagian hujung lengan yang dijahit dengan perincian butang agar ia lebih mudah dibuka.

Misalnya, koleksi gaun Hana yang diperbuat daripada fabrik satin crepe manakala bahagian dalamnya pula dilapisi dengan fabrik sifon.

Rekaan berpotongan puteri itu tampak lebih beralun tatkala kaki melangkah kerana ia menggunakan material satin crepe, menambah keanggunan si pemakai.

Kehadiran batu swarovski juga menjadikan penampilan tampak mewah kerana ia dilatari dengan kilauan elemen perincian berkenaan jika terkena pancaran lampu.

“Selain itu, terdapat juga penambahan tali di bahagian pinggang yang boleh diikat reben. Ia boleh diikat di bahagian depan atau belakang mengikut kesesuaian bentuk badan si pemakai.

“Jika pemakai mempunyai bentuk badan agak berisi, tali di bahagian pinggang berkenaan perlu diikat ke belakang bagi mengelakkan ia menonjolkan kekurangan yang dimiliki di bahagian itu,” katanya.

Butik yang terletak di Sohhor Street, Paragon Point, Bandar Baru Bangi itu turut menampilkan koleksi Abaya Sofea. Ia mempunyai empat warna pilihan iaitu ungu lembut, kelabu, mustard dan merah jambu pudar yang diperbuat daripada material satin crepe.

Abaya berpotongan A itu turut dijahit dengan butang pada bahagian hujung lengan bagi memenuhi tuntutan penggemar jenamanya.

Selain gaun dan abaya, butik berkenaan juga menampilkan rekaan blaus Zahra yang tampak sopan jika digayakan bersama skirt labuh.

Ia direka dengan saiz bermula XS hingga XXXL yang mempunyai hiasan tampalan renda pada bahagian dada selain butang, antara idea praktikal untuk digayakan ke mana saja.

Skirt yang menggunakan fabrik lycra jersi itu mempunyai dua jenis rekaan sama ada polos atau bercorak, masing-masing mempunyai lebih daripada 30 warna pilihan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

499 views