Angkat Martabat Seni Negara

Keindahan seni tradisional sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering diangkat di pentas peragaan dunia.

Batik yang dulunya sekadar kain basahan kini mula menerpa pasaran antarabangsa dalam bentuk lebih moden dan elegan.

Namun bukan hanya batik yang berupaya diangkat di mata dunia kerana banyak lagi seni warisan budaya yang boleh diketengahkan asalkan ada yang berminat melakukannya.

Suraya Sharifuddin antara segelintir kecil pereka yang gemar menonjolkan pelbagai seni warisan budaya masyarakat negara ini yang diterjemahkan pada himpunan tas tangannya.

Bergerak atas nama Sakura Malaysia, tas tangan rekaan Suraya dan beberapa tenaga kerja Sakura Malaysia jelas memperlihatkan seni warisan yang dipandang enteng oleh sesetengah masyarakat Malaysia sendiri berupaya menarik perhatian peminat fesyen antarabangsa.

Batik menjadi keutamaannya kerana jelas Suraya, koleksi awal Sakura bermula dengan batik selepas ibu mentuanya menyumbangkan lebih 40 kain batik Terengganu untuk dijadikan beg tangan.

“Sejak kecil saya gemar mengumpul beg unik dan menghasilkannya sendiri kerana saya tidak mahu mempunyai beg yang sama dengan orang lain.

“Dari situlah tercetusnya idea untuk terjun dalam bidang rekaan aksesori ini kerana saya bukan saja mahu hasilkan koleksi yang cantik, tapi mengangkat martabat warisan bangsa menggunakan fabrik tradisi.

“Selama ini kain batik hanya dijadikan pakaian harian dan perhiasan, kemudian timbul idea untuk mengembangkan fungsinya.

“Kami bermula dengan beg beli-belah dan hasilnya cukup memberangsangkan lalu mencuba rekaan beg silang dan genggam yang kini mendapat sambutan dalam kalangan wanita moden,” katanya.

Sakura Shopper, Sakura Sling, Sakura Shoulder, Embun, Chempaka, Kenanga, Kaseh Maslea, Melur, Melati dan Mawar antara beg rekaannya yang sengaja diberi nama klasik bagi mengembalikan semula impak nostalgia kepada si pemakai.

Campuran rona moden dan malar segar membuatkan tas tangan Sakura tidak hanya sesuai untuk acara rasmi malah menarik digayakan kala santai bersama blaus dan celana jean.

Kebanyakan koleksi beg tangan Sakura ketika ini terarah kepada material batik, Pua Kumbu dan mengkuang. Dalam masa terdekat ini kami akan perkenalkan koleksi baru yang direka daripada fabrik tekat dan songket.

“Saya sebolehnya tidak mahu mengehadkan penggunaan fabrik pada satu jenis saja dan saya berusaha mencari lebih banyak fabrik warisan tempatan sambil dibantu rakan Sakura.

“Kami sentiasa melakukan kajian dan perbincangan sekerap mungkin agar setiap koleksi baru yang ditampilkan memberikan variasi untuk pengguna.

“Pada masa sama, trend terkini juga perlu diambil kira dan kami berusaha menggabungkan gaya lama dan baru dalam setiap koleksi,” ujarnya.

Kebanyakan beg tangan Sakura bagaimanapun tidak memberi perhatian kepada perincian dan Suraya lebih gemar menggunakan perincian ringkas seperti butang dempak.

“Corak yang ada pada fabrik itu – misalnya batik – sudah cantik, mewah dan meriah. Justeru tidak perlu ditambah perincian kerana ia membuatkan produk terbabit kelihatan caca marba dan terlalu sarat.

“Saya tidak mengabaikan perincian tapi cukup dengan satu atau dua yang ringkas bagi mencetuskan gaya lebih elegan,” jelasnya.

Pada masa sama, Suraya menggunakan sepenuhnya tenaga tukang jahit tempatan antaranya golongan ibu tunggal bagi membantu mereka menjana pendapatan sampingan.

“Saya percaya tenaga bantuan daripada masyarakat tempatan akan membuatkan produk Sakura lebih baik kerana hanya orang kita yang faham erti nilai warisan budaya sendiri.

“Sasaran kami untuk membawa jenama Sakura Malaysia ini ke peringkat lebih tinggi. Setakat ini ia sudah berada di pasaran di Sweden, Ireland dan beberapa negara Eropah lain di samping berjaya ke Singapura.

“Sebolehnya saya mahu kita bangga dengan seni dan budaya tempatan. Selama ini seni budaya kita hanya dijadikan pakaian untuk hari tertentu atau perayaan khusus dan bukannya digayakan dengan stail moden.

“Jika orang luar pun mengiktiraf seni budaya kita, kenapa kita perlu malu menggayakannya?

“Jadi Sakura Malaysia cuba mengubah kelaziman itu kerana saya yakin setiap produk tempatan yang dihasilkan itu ada keunikan dan keistimewaannya tersendiri,” katanya yang turut diangkat selaku `duta kecil’ Levi’s menerusi kempen Revel Woman, baru-baru ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,659 views