Aplikasi Lampin Kain

SEBELUM penghasilan tuala wanita moden, pada zaman dulu, sebahagian besar wanita hanya menggunakan tuala atau lipatan kain yang dikoyak kecil sebagai alas ketika datang bulan. Kain ini kemudian dibasuh, dikeringkan dan diguna semula sehingga kedatangan haid berikutnya.

Jika perkara ini disampaikan kepada anak gadis zaman sekarang, tentu ada yang akan tergelak atau paling tidak mencebik bibir tanda tidak sanggup meneruskan tradisi ini. Antara alasan yang mungkin diberikan leceh, renyah, susah dan tidak praktikal berbanding tuala wanita pakai buang yang lebih senang diurus.

Namun ketika kali pertama diperkenalkan dengan tuala wanita fabrik ini, bentuk yang menarik dan comel menambat hati penulis. Ditambah pula penggunaan warna ceria dan terang pada fabrik polos atau bercorak serta disimpan kemas di dalam kotak, menjadikannya bukan seperti tuala wanita. Malah rakan penulis mengatakan tidak sanggup memakainya kerana rekaannya begitu cantik, unik dan moden.

Menurut Pengarah Urusan Lovelure Holdings Sdn Bhd yang juga pengeluar tuala wanita Sakura, Marsyita Abd Wahab, idea mengeluarkan tuala wanita fabrik itu selepas mendapati penggunaan lampin kain untuk anak bongsunya begitu praktikal dan menjimatkan. Malah tiada kesan sampingan seperti ruam lampin atau kegatalan pada kulit.

“Saya tertarik mengaplikasikan penggunaan lampin kain kepada tuala wanita selepas melihat kelebihan pada anak bongsu saya. Selepas bertemu rakan yang menjahit dan memakai sendiri, saya terus membuat sedikit kajian dengan membeli tuala wanita fabrik dari Amerika Syarikat dan Jepun kerana di sana pemakaian tuala wanita kain sudah begitu meluas. Namun pembuatannya lebih nipis dan kurang praktikal dengan keadaan dan cuaca di Malaysia.

“Lalu saya membuat sedikit pengubahsuaian dengan merujuk kepada gaya hidup wanita pelbagai peringkat usia,” katanya yang menjadi pengguna terlebih dulu sebelum memasarkannya kepada orang ramai.

Menyedari pelbagai penyakit seperti kanser serviks yang meragut banyak nyawa, dia terpanggil menghasilkan produk dalaman mesra alam serta tidak menggunakan bahan kimia.

“Sebenarnya, tuala wanita pakai buang yang ada di pasaran kebanyakannya bukanlah 100 peratus kapas, sebaliknya diperbuat daripada serbuk kayu pulpa yang dilembutkan dan diputihkan melalui proses pelunturan dengan bahan klorin seterusnya menghasilkan bahan kimia dioksin. Apabila lembut, lapisan ini dijadikan tuala wanita dan digunakan di seluruh dunia,” ujarnya.

Namun apa yang menjadi masalah, setiap tahun hampir 143,000 nyawa wanita diragut gara-gara menghidap kanser serviks dan salah satu penyebab kanser ini ialah kegagalan wanita menjaga kebersihan bahagian faraj terutama ketika haid atau menjalani kehidupan seharian.

Penggunaan tuala wanita pakai buang yang lama akan menyebabkan celahan paha dan faraj melecet. Malah pengudaraan yang kurang menyebabkan faraj tidak bernafas dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan. Ini menyebabkan risiko wanita berumur dijangkiti penyakit faraj seterusnya kanser serviks.

Penggunaan tuala wanita pakai buang juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar kerana bahan ini mengambil masa berpuluh tahun untuk dilupuskan dan membebaskan toksin ke udara.

“Bayangkan sekiranya wanita menggunakannya sejak berusia 10 tahun sehingga 50 tahun, berapa banyak sampah yang sudah dikeluarkan dan ini sudah tentu mencemarkan alam sekitar,” ujarnya.

Menyedari banyak kelebihan diperoleh bukan saja daripada sudut kesihatan dan alam sekitar, Marsyita mula mereka, memilih warna dan fabrik bersesuaian dengan mengambil kira keselesaan wanita. Nama Sakura dipilih memandangkan pohon yang subur di Korea dan Jepun ini berbunga mengikut musim tertentu. Begitu juga wanita yang mengalami haid pada setiap bulan yang diibaratkan seperti bunga sakura yang segar dan menjadi perhatian.

Marsyita yang turut mengeluarkan produk kesihatan dan penjagaan dalaman wanita Sensa Series dan Ayuzip Series memberitahu, penggunaan tuala wanita Sakura sama seperti tuala wanita sedia ada. Apa yang membezakannya ialah daripada segi fabrik iaitu 100 peratus daripada kapas, buluh dan minky. Namun ketiga-tiganya mempunyai perbezaan tersendiri. Kapas dan organik buluh mempunyai kelebihan kerana melenyapkan masalah bau yang tidak menyenangkan kerana ia lebih senang bernafas, tidak memberi rasa melekit dan berpeluh berbanding tuala wanita pakai buang.

“Berbanding kapas Korea dan China, saya mengambil kapas dari Amerika Syarikat kerana fabriknya lebih lembut dan lambat luntur justeru, ia tahan sehingga 10 tahun. Fabrik minky mempunyai dua jenis bulu iaitu panjang dan pendek serta memberi keselesaan ketika haid dalam keadaan tenat. Namun saya lebih menyukai kapas dan minky kerana corak dan warnanya pelbagai dan moden,” jelasnya yang percaya pemakaian tuala wanita kain mampu meningkatkan keyakinan diri si pemakai meskipun ia tidak dapat dilihat khalayak.

Bagi memastikan tahan lasak dan tidak bocor, setiap rekaan dilapisi bahagian kalis air yang mempunyai aliran udara yang baik, tidak panas dan berkuap. Malah pemilihan fabrik bermutu menjadikan setiap tuala wanita mempunyai daya resapan dan menakung cecair dengan kuat dan tahan lama.

Malah warna terang dan ceria pada fabrik adalah sifat semula jadi wanita yang sukakan kecantikan terutama dalam penampilan. Jadi dengan memberi kelainan pada tuala wanita mereka mempunyai pilihan memakainya.

Bagi menjadikannya lebih unik dan selesa, berbanding tuala wanita pakai buang yang mempunyai pelekat, jenama Sakura disertakan butang bagi mengelak beralih posisi ketika dipakai. Lebih penting ia bukan saja sesuai ketika haid malah selepas bersalin atau mengalami masalah kencing tidak lawas.

“Jangan bimbang kerana butang ini tidak menjejaskan pemakaian, malah tidak mendatangkan rasa sakit sekiranya wanita dalam keadaan aktif,” jelas Marsyita.

Ditanya bagaimana sekiranya dipakai di tempat kerja atau ketika bersantai ke pusat beli-belah yang memerlukan wanita menukar tuala wanita mereka, menurut wanita kecil molek ini, ia tidak menjadi masalah kerana tuala wanita boleh disimpan di dalam beg khas.

Selepas pulang ke rumah mereka boleh mencuci seperti biasa. Cara pembersihannya pula sangat mudah dan sama seperti tuala wanita sedia ada. Cuma selepas memakainya ia perlu direndam dan dibasuh begitu saja, tidak perlu
diberus, memadai menyental dengan tangan. Elakkan menggunakan bahan pelembut pakaian bagi memastikan tuala wanita kitar semula ini tahan lama.

“Ini kerana bahan pelembut akan membuatkan tuala wanita mempunyai kurang daya penyerapan. Sebaliknya pengguna diingatkan menggunakan pencuci faraj bagi mengekalkan kelembutan serta daya tahan serapan apabila dipakai. Jika dijaga ia mampu bertahan sehingga 10 tahun bergantung kepada cara penggunaan,” katanya.

Bagi memberi pilihan, tuala wanita Sakura didatangkan dalam beberapa ukuran iaitu pelapik seluar dalam untuk kegunaan harian, maxi untuk pengeluaran pada waktu tenat, kegunaan malam dengan saiz lebih panjang dan lebar serta selepas bersalin.

“Bagi mereka yang ingin mencuba boleh membeli set biasa dengan 12 jenis tuala wanita dalam pelbagai ukuran,” katanya yang kini dalam proses mendidik orang ramai mengenai kelebihan menggunakan tuala wanita kain.

Marsyita tidak menafikan mungkin ada pihak yang ragu-ragu dengan kebaikan tuala wanita kain ini kerana menganggap tidak praktikal dan tidak sesuai untuk wanita berkerjaya. Ada pula yang bersetuju kerana menganggap ia idea yang bagus selain menjimatkan.

“Saya percaya apa juga yang baru dan belum dikenali ramai agak sukar diterima.
Namun saya yakin mereka yang mementingkan kesihatan dan alam sekitar pasti tidak menolak menggunakan tuala wanita kain kerana banyak kebaikan diperoleh dalam jangka masa panjang. Mungkin buat permulaan mereka memerlukan keyakinan untuk mencuba,” katanya yang menerima maklum balas positif orang ramai yang mengakui sangat selesa menggunakannya serta tidak lagi menghadapi masalah kegatalan dan keputihan.

Manfaat penggunaan tuala wanita kain

Wanita yang bertukar ke penggunaan tuala wanita kain terselamat daripada bahaya bahan kimia dioxin yang wujud dalam tuala wanita dan tampon pakai buang.
Walaupun jumlah akhir dioxin yang wujud adalah kecil, bahan kimia ini boleh berkumpul di dalam badan kepada jumlah yang berbahaya selepas penggunaan berterusan. Dioxin dikaitkan dengan penyakit seperti endometriosis, keradangan pelvik, kanser payu dara, kanser ovari, kecacatan bayi, keguguran, masalah kesuburan, diabetes dan kerosakan sistem imun.

Tuala wanita kain tidak mempunyai pewangi atau penyah bau. Penggunaan pewangi yang ditambah semasa pemprosesan tuala wanita pakai buang boleh menyebabkan radang kulit dan mengganggu kestabilan faraj. Plastik yang digunakan untuk lapisan kering boleh menyebabkan masalah kulit, faraj dan kegatalan.

Anggaran penggunaan tuala wanita bagi seorang wanita adalah di antara 25 hingga 35 tahun. Sepanjang tempoh ini, mereka akan berbelanja sebanyak RM3,500 sehingga RM7,000 (bergantung jenama dipakai) dan penggunaan pelapik seluar dalam pula melebihi perbelanjaan pembelian tuala wanita. Oleh kerana tuala
wanita guna semula dan juga pelapik seluar kain kapas boleh dibasuh dan dipakai semula, wanita sudah tentu boleh berjimat bagi tempoh yang agak panjang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

708 views