Asal Usul Baju Kebaya

Kebaya dulu hanya dikenakan golongan keluarga pemerintah di Pulau Jawa sebelum 1600. Sepanjang zaman penjajahan Belanda di kepulauan itu, wanita Eropah mula mengenakan kebaya sebagai pakaian rasmi.

Pakaian tradisional ini banyak digayakan wanita Malaysia dan Indonesia. Ia diperbuat daripada kain kasa yang dipadankan dengan kain sarung, batik atau pakaian tradisional lain seperti songket dengan motif warna-warni.

Ia dipercayai berasal dari negara Arab. Orang Arab membawa baju kebaya (bahasa Arab adalah abaya) ke Nusantara sejak ratusan tahun yang lalu. Kemudian ia mula dikenali hingga ke Melaka, Jawa, Bali, Sumatera, dan Sulawesi.

Pakaian yang mirip ‘kebaya nyonya’ dicipta kali pertama oleh masyarakat Peranakan (golongan Baba dan Nyonya) dari Melaka. Mereka menggayakannya dengan kain sarung batik dan kasut cantik bermanik.

Mengikut fakta sejarah, wanita peranakan Cina memakai kebaya nyonya sebagai pakaian harian seawal 1930-an. Kini, kebaya nyonya bukan hanya digayakan wanita Asia saja, malah ia diterima pakai di serata dunia.

Terdapat beberapa jenis kebaya yang digayakan di negara ini. Antaranya:

Baju Belah Kebaya Panjang

Menurut Portal rasmi kerajaan Negeri Johor, walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, pada acara majlis, mereka hadir dengan memakai kebaya sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau.

Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Bezanya, ia berbelah dan berpesak di hadapan baju, biasanya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi.

Baju belah kebaya panjang terkenal di Melaka, Perak, Selangor, Kedah serta Perlis. Ia kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’.

Tradisi itu berkembang menjadi kebaya dan direka dengan potongan bahagian tangan lebih panjang, berpesak lurus di depan, berkekek serta dada berbelah yang di tutup dengan kancing atau kerongsang tiga.

Kebaya Kota Bharu

Ia dikenali sebagai Kebaya Kota Bharu kerana secara tradisinya dipakai wanita di Kota Bharu dan Kelantan. Beza antara kebaya ini dengan yang lain adalah rekaan di bahagian depan dada baju kebaya berkenaan.

Bahagian depannya mempunyai kancing, sama seperti kebaya di Pulau Jawa terutama di kota Bandung yang di panggil Kebaya Kutu Baru.

Kebaya Riau-Pahang

Di Pahang pula, baju kebayanya dikenali sebagai baju Riau-Pahang atau dipanggil kebaya Turki. Perbezaannya menerusi rekaan leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang.

Namun, bahagian depannya berbelah seperti baju kebaya yang lain, malah turut dipasang dengan kerongsang di bawah kancingnya.

Kebaya Nyonya

Fabrik yang biasa digunakan untuk membuat kebaya Nyonya dinamakan kasa rubia. Kain tenunan kosong ini jarang, ringan dan diperbuat daripada benang pintal yang halus.

Benang yang digunakan untuk menjahit fabrik biasanya benang sulaman mesin daripada kapas, sutera atau poliester. Pada zaman dulu, fabrik dan benang yang digunakan untuk membuat kebaya Nyonya daripada jenis bermutu paling tinggi dan diimport dari Eropah, sesuai dengan status Nyonya.

Kebarung

Ia gabungan singkatan perkataan baju kebaya dan baju kurung. Busana yang berasal dari Selangor sangat popular dan diminati pada awal 90-an.

Kebaya Chitty

Sama seperti wanita Selat atau Nyonya Cina, kaum India Chitty juga mempunyai kebaya. Perbezaannya ia dipakai oleh Peranakan India dan Cina.

Kebaya Chitty lebih menggunakan bahan legap berbanding kebaya Nyonya yang gemar menggunakan kain separa telus. Kebaya Chitty ada yang ditambah sulaman halus atau kosong.

Kebaya lain

Selain kebarung, Selangor juga mempunyai kebayanya sendiri. Kebaya Selangor tidak mempunyai kolar. Kebaya di Pulau Pinang popular dengan kebaya Nyonya.

Selain itu, ada kebaya daripada kaum Jawi Peranakan iaitu kaum India Muslim yang menghasilkan kebaya menggunakan kain renda dihiasi sulaman labuci berbeza.

Ada juga yang menggunakan kain sari untuk dijadikan kebaya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

596 views