Atasi Ego Lawan Penyakit

‘SAYA sakit sikit saja dan sekejap lagi baiklah’.

Itu antara alasan biasa yang sering diberi lelaki apabila ditanya mengenai kesihatannya jika dilihat kurang sihat.

Mereka juga suka memendam derita diam, berahsia dan menafikan tahap keseriusan penyakit dialami walaupun ketika berdepan doktor.

Tindakan mereka berkemungkinan berpunca daripada stigma bahawa penyakit itu tanda kelemahan lelaki.

Pakar Urologi Sunway Medical Centre Velocity, Dr S Selvalingam berkata, keengganan mereka mendapatkan rawatan mewujudkan jurang perbezaan dalam tingkah laku menjalani rawatan kesihatan di antara lelaki dan wanita.

Menurutnya, lelaki sering ketinggalan dalam penjagaan kesihatan dan situasi ini bukan saja berlaku di Malaysia malah seluruh dunia.

LELAKI lebih gemar menyembunyikan penyakit dihidapi.

“Ramai lelaki gagal menjalani pemeriksaan rutin, rawatan pencegahan atau kaunseling kesihatan.

“Mereka sering mengabaikan gejala yang dialami dan lewat mendapatkan rawatan perubatan ketika sakit atau dalam kesakitan,” katanya.

Dr Selvalingam berkata, ini dibuktikan berdasarkan statistik yang menunjukkan, ramai lelaki menghidap barah prostat, testis dan zakar malah ia dikesan pada tahap yang lewat.

“Kira-kira 60 peratus barah prostat di Malaysia dikesan pada tahap lewat.

“Begitu juga dengan barah zakar dan testis, secara amnya penyakit ini dihidapi lelaki yang lebih muda, tetapi dikenal pasti pada tahap akhir.

“Sebenarnya penyakit barah berpotensi sembuh jika dikesan pada tahap awal. Bagaimanapun, tidak dinafikan kesedaran untuk melakukan pemeriksaan awal penyakit ini sudah meningkat,” katanya.

Dr S Selvalingam

Menurut Dr Selvalingam, selain barah, ramai lelaki didapati menghidap penyakit tidak berjangkit berbanding wanita.

“Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih ramai lelaki menghidap darah tinggi, kencing manis dan jantung.

“Begitu juga dengan penyakit berjangkit seperti virus kurang imun manusia (HIV) yang lebih kerap terjadi pada lelaki,” katanya.

Menurut Dr Selvalingam, beliau menekankan kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan lelaki kerana langkah pencegahan adalah lebih penting.

“Walaupun kebanyakan penyakit barah dan penyakit tidak berjangkit mempunyai kaitan dengan genetik, gaya hidup sihat juga perlu dititikberatkan.

“Ia termasuk tabiat pemakanan yang sihat, senaman secara berkala dan konsisten, mengelak tabiat merokok, penyalahgunaan dadah atau pengambilan alkohol,” katanya.

Menurut Dr Selvalingam, lelaki perlu peka terhadap kesihatan dan digalakkan melakukan pemeriksaan kesihatan selepas berusia 40 tahun.

“Lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit barah dan penyakit tidak berjangkit.

“Barah prostat dan payudara antara penyakit barah yang mempunyai kaitan genetik yang kuat,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

818 views