Atasi Lingkaran Gelap
Sentuhan mekap pengantin khususnya di bahagian mata sering menjadi perhatian ramai, justeru pilihan warna pembayang mata seharusnya dapat melindungi wajah daripada kelihatan tidak bermaya.
Bagi mereka yang mementingkan kesempurnaan, penggunaan warna tanah dan air yang lebih semula jadi mampu membuatkan wajah lebih menyerlah dengan gaya tersendiri.
Warna emas dan coklat menjadi pilihan, malah lebih selamat untuk dipadankan dengan pelbagai gaya baju.
Malah ia juga mampu menonjolkan bahagian mata yang kurang bermaya agar kembali segar dan berseri.
Antara panduan untuk menyerlahkan riasan mata:
- Gunakan penyamar cela untuk mengurangkan kesan lingkaran gelap bawah mata terlebih dulu sebelum menambah riasan warna pembayang mata pilihan.
- Sapukan mekap asas terlebih dulu kemudian lapiskan dengan warna pembayang mata diingini.
- Tonjolkan bahagian mata menggunakan penyerlah yang disapu di bawah tulang kening serta bahagian pangkal garis mata.
- Kemaskan riasan menggunakan penggaris mata serta maskara dan penyepit bulu mata agar bulu mata palsu digunakan kelihatan lebih sekata bersama bulu mata asli.
Selain itu, mencampurkan dua atau tiga warna bedak asas juga mampu membuatkan mekap digayakan lebih semula jadi dan tidak kelihatan seperti topeng yang terlalu tebal.