Aura Beg Sandang Kembali

Bila kali terakhir anda menggayakan beg sandang? Adakah lebih sedekad lalu ketika era ‘90-an mengangkat beg sandang selaku salah satu aksesori untuk bergaya atau mungkin kali terakhir ketika di sekolah menengah?

Lumrahnya, roda aliran fesyen sentiasa kembali ke zaman lalu dan zaman kegemilangan beg sandang turut kembali menjengah pentas peragaan sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Label beg sandang kini bukan lagi sekadar kegunaan luar dan aktiviti lasak tapi disuntik elemen comel, feminin dan eksentrik yang boleh dipadankan bersama apa jua busana.

Pereka ternama dunia mula mengemas kini rekaan klasik beg sandang era grunge ini lalu meletakkannya antara pilihan alternatif untuk wanita yang ingin lari daripada gaya stereotaip yang menjinjing beg tangan biasa.

Alexander Wang dan Marc Jacob antaranya, menghasilkan rekaan lebih anggun dengan perincian mewah seperti labuci, rumbai dan kulit haiwan eksotik.

Lanvin pula mencipta beg sandang schlepper menggunakan fabrik suede dan kulit. Givenchy menyusul dengan versi tali semat yang turut diperindahkan dengan perincian stud pada kedua-dua bahagian.

Secara tiba-tiba juga selebriti seperti Rihanna, Ashley Olsen dan Katie Holmes mula menjadikan beg sandang sebagai salah satu aksesori harian mereka.

Apa yang pasti, konsep penggunaan yang mudah menjadikannya tarikan dalam kalangan wanita. Beg sandang moden ini cara terbaik mengurangkan bebanan daripada beg tangan biasa.

Selain itu, ia membolehkan kedua-dua tangan bebas bergerak dan melakukan aktiviti tanpa diganggu tali beg tangan yang sering jatuh ke lengan ketika tunduk atau duduk.

Jika berasa beg sandang hanya sesuai untuk pakaian sukan atau kasual, ia silap sama sekali.

Pentas peragaan musim ini menyaksikan Givency dan Saint Laurent hadir dengan variasi beg sandang yang diangkat sebagai elemen utama penataan gaya hipster.

Givency memberi tumpuan kepada cetakan imej intensiti yang seiring dengan helaian kemeja-T dalam himpunan sama.

Koleksi ini bagaikan surat cinta pengarah kreatifnya, Riccardo Tisci kepada Amerika Syarikat.

“Saya obses dengan Amerika sejak kecil. Ia impian biasa dalam kalangan lelaki Itali untuk menjadi orang lain atau menjadi sesuatu yang lebih besar daripada kemampuan mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun, bukan Amerika tipikal yang diraikannya. Serakan rona hitam, putih dan kelabu yang menjadi salah satu tanda pengenalannya, melatari keseluruhan koleksi.

Jika musim lalu Tisci menyebelahi kelompok malaikat dan bidadari, kumpulan sebaliknya memenuhi tema musim ini.

“Semuanya berkait dengan Amerika tapi dalam nuansa lebih gelap. Ia sisi gelap pada personaliti saya,” tambahnya.

Perspektif berbeza pula diketengahkan Saint Laurent yang menyulami ton legap dengan nuansa ceria.

Cetakan imej comel seperti pokok palma, tapak kaki kucing dan tengkorak ditampilkan pada beg sandang daripada fabrik kanvas. Sedikit perincian kulit disertakan untuk stail berbeza.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

456 views