Awas Bakteria Dalam Peti Sejuk!

ADA yang beranggapan peti sejuk adalah tempat penyimpanan makanan paling selamat malah tidak membahayakan kesihatan.

Lebih-lebih lagi apabila ada yang menyangka makanan yang disimpan dalam peti sejuk tidak akan basi.

Hakikat itu tidak benar kerana peti sejuk juga boleh menjadi ‘lubuk’ pembiakan bakteria sekali gus merosakkan makanan dan berpotensi sebagai punca jangkitan kuman kepada pengguna.

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital, Dr S Malar Santhi berkata, kuman masih boleh membiak di dalam peti sejuk, tetapi suhu yang rendah dapat memperlahankan proses pembiakan pelbagai bakteria, sekali gus melambatkan makanan menjadi basi.

Beliau berkata, ada dua jenis kuman yang membiak dalam peti sejuk.

Pertama, ia bersifat patogen iaitu ejen penyebab jangkitan penyakit kepada manusia.

SIMPAN makanan dalam bekas tertutup untuk elak pencemaran bakteria.

“Contoh bakteria ini ialah Salmonella yang selalunya ada pada telur dan susu.

“Bakteria ‘Clostridium perfringes’ pula ada pada lasagna dan lauk-pauk serta ‘Campylobacter’ (daging, ayam dan ikan).

“Kedua, kuman seperti ‘Pseudomonas’ dan kulat seperti ‘Aspergillus’ yang menyebabkan bau serta rasa makanan berubah, namun ia tidak menyebabkan jangkitan atau penyakit. Kuman seperti ini dikenali sebagai bakteria pembusuk.

“Lazimnya, walaupun termakan makanan yang berubah bau dan rasa, ia tidak akan menyebabkan penyakit, tetapi memberi rasa tidak enak atau kurang bersih,” katanya.

Katanya, dua risiko penyakit boleh berlaku kepada pengguna disebabkan bakteria dalam peti sejuk ialah keracunan makanan dan jangkitan pada usus.

Menyentuh jangkitan bakteria dalam peti sejuk boleh membawa maut atau tidak, Dr S Malar berkata, perkara itu boleh terjadi sekiranya makanan yang disimpan dalam peti sejuk tercemar dengan jangkitan bakteria berbahaya seperti E Coli dan Toxoplasmosis.

BERSIHKAN peti sejuk dengan kerap.

“Pusat Kawalan Penyakit di Amerika Syarikat mengganggarkan, kira-kira 48 juta orang mendapat jangkitan berpunca daripada makanan dan hampir 3,000 meninggal dunia setiap tahun.

“Dianggarkan, hampir 20 peratus jangkitan itu berkaitan makanan daripada peti sejuk, sama ada di rumah pengguna, pusat komersial, restoran atau pasar raya,” katanya.

Dr S Malar berkata, ramai tidak mengetahui ada beberapa jenis makanan yang sebenarnya menggalakkan pembiakan bakteria apabila disimpan dalam peti sejuk.

“Contohnya daging lembu, kambing, ayam dan ikan. Air daripada bahan mentah sebegini, jika mengalir dan terkena pada sayur atau buah boleh menyebabkan pembiakan bakteria menerusi jangkitan silang terutama apabila dimakan mentah atau separa masak.

“Oleh itu, bahan ini perlu disimpan menggunakan kaedah penyimpanan yang betul bagi mengelakkannya menjadi ejen pencemar kepada makanan lain dalam peti sejuk,” katanya.

Katanya, pengguna juga perlu mengetahui cara penggunaan peti sejuk yang betul dan selamat.

“Pastikan suhu peti sejuk kurang daripada empat hingga lima darjah Celsius.

“Bahagian sejuk beku pula untuk makanan basah, suhu disarankan ialah serendah negatif 18 darjah celcius atau paling kurang sifar darjah Celsius,” katanya.

SIMPAN makanan yang dimasak ke dalam peti sejuk untuk elak basi.

Selain itu, katanya, masyarakat perlu mengamalkan kaedah penjagaan peti sejuk yang betul supaya tidak memberi kesan terhadap kesihatan.

“Langkah pertama ialah kurangkan tindakan membuka dan tutup peti sejuk kerana boleh menyebabkan suhu menjadi tidak stabil.

“Seterusnya, pastikan suhu dalam peti sejuk dikekalkan pada julat yang stabil, bukannya kerap menukar suhu menaik atau menurun.

“Tutup bekas makanan walaupun dalam peti sejuk. Bekas makanan yang terbuka, memudahkan pembiakan bakteria kerana suhu lebih tidak stabil.

“Langkah terakhir ialah meletak makanan basah seperti ikan, ayam dan daging dalam bekas bertutup atau plastik. Ini kerana air daripada makanan ini boleh mencemarkan makanan lain,” katanya.

Kajian ‘The Use and Performance of Household Refrigerators’ mendedahkan, 65 peratus pengguna di negara maju seperti Sweden tidak mengetahui etika dan suhu peti sejuk yang sesuai digunakan.

Katanya lagi, peti sejuk perlu diselenggara bagi menggelakkan kerosakan yang boleh menjejaskan kestabilan suhu.

“Peti sejuk adalah peralatan elektrik yang penting di rumah dan pengguna perlu tahu etika dan cara penggunaan selamat untuk mengelakkan penyakit berkaitan peti sejuk,” katanya.

Dr S Malar

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

77 views