Awas Bengkak Lebih 2 Minggu

Kali pertama bersua, gadis ini begitu ceria dan bersemangat bercerita mengenai cita-citanya bergelar model. Tiada langsung riak sedih, kecewa mahupun patah semangat dengan keadaan dirinya yang serba kekurangan.

Nur Atiqah Abdul Basit, 18, tidak pernah merungut atau menyesali takdir menimpa dirinya. Meskipun disahkan menghidap barah tulang pada usia muda, dia pasrah dan yakin ada hikmah di sebalik kejadian itu.

Anak keempat daripada lima beradik ini disahkan mengenai penyakit sebenar yang dihidapi, selepas lima bulan menanggung kesakitan.

Ketika itu, keadaan kakinya semakin membengkok ke dalam dan bengkak, malah tempang untuk berjalan serta sudah tiga kali menjalani sinar-X (X-ray).

“Bohong kalau saya tidak sedih atas apa yang berlaku. Tetapi kata-kata semangat dan layanan keluarga yang tidak pernah membezakan saya dengan adik-beradik yang lain membuatkan saya kuat dan rasa lebih dihargai.

“Malah, hidup terisi dengan kasih sayang dan perhatian bukan saja daripada ahli keluarga, tetapi mereka yang selama ini tidak pernah peduli turut mengambil tahu perkembangan diri saya.

“Perkara itu sudah cukup membuatkan saya gembira. Keluarga sentiasa ada bersama melayani saya bagaikan puteri dan tidak pernah meninggalkan diri keseorangan,” katanya ketika ditemui pada program kutipan amal di Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), baru-baru ini.

Kutipan amal itu dilakukan oleh sekumpulan pelatih dari Asiaworks LP187 yang mengambil inisiatif untuk membantu Nur Atiqah membiayai rawatannya. Hasil kutipan amal yang diperoleh turut diberikan kepada Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) bagi membantu insan lain.

Menurut Atiqah, sejak disahkan menghidap barah tulang, doktor pakar menyatakan sel barahnya sudah merebak ke tengkorak dan paru-paru memandangkan ia sangat agresif.

“Doktor memberitahu, penyakit ini sangat jarang dan tidak mempunyai tahap seperti kebanyakan penyakit barah lain.

Mendengar penjelasan itu, saya semakin belajar menjadi lebih kuat dan tabah dengan dugaan ini.

“Malah sebelum berjumpa doktor pakar, kakak yang juga jururawat memberitahu serba sedikit mengenai penyakit ini. Jadi apabila berjumpa yang lebih pakar saya dalam keadaan yang lebih bersedia,” katanya.

Kesan penyakit itu juga, sudah dua tahun Atiqah tidak meneruskan persekolahan disebabkan pergerakannya terhad.

Namun, dia sempat menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di hospital memandangkan kelasnya berada di tingkat dua.

Keputusan diperoleh juga memuaskan iaitu 3A, 3B dan 2C biarpun hampir setengah tahun tidak bersekolah ketika berada di tingkatan tiga. Selepas itu, dia tidak mampu meneruskan persekolahan kerana kesakitan membuatkan dia sukar memberi tumpuan di dalam kelas.

“Dalam masa terdekat saya akan melakukan pembedahan bagi menggantikan semula simen antibiotik di dalam kaki kerana ia dijangkiti kuman.

“Meskipun perlu menjalani pembedahan berulang kali, saya tidak pernah berputus asa dan berharap suatu hari nanti dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Perunding Perubatan Dalaman dan Rawatan Paliatif PCMC Dr Nick Chong Chung King berkata, barah tulang boleh menyerang sesiapa saja dan bukan hanya golongan warga emas seperti yang disangka sesetengah pihak.

“Saya pernah menerima pesakit barah tulang berusia lapan tahun. Ia tiada simptom khusus menentukan penyakit ini tetapi apabila merasakan sesuatu seperti bengkak yang melebihi dua minggu, segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

“Jika masih diperingkat awal, ia boleh dirawat menggunakan teknik seperti radioterapi atau pembedahan tetapi apabila sudah merebak ke organ lain seperti otak, paru-paru dan jantung ia agak sukar disembuhkan,” katanya.

Barah tulang lazimya membabitkan tulang panjang seperti tulang paha dan tulang lengan. Hampir 60 peratus pesakit yang mengalami barah ini terjadi pada bahagian lutut sama ada dari tulang paha atau tulang betis.

Ini kerana sel yang berlaku mutasi kebanyakannya daripada sel tulang asas yang berkembang. Namun, ia juga boleh berlaku pada tulang dagu dan pinggul. Bagi kebanyakan penghidap, ia disebabkan faktor genetik dan beberapa jenis

sindrom masalah tulang terpencil.

Dalam kebanyakan kes, pesakit pada mulanya berasa sakit di bahagian tulang berkenaan. Ini biasa berlaku pada remaja yang aktif bersukan yang mengadu sakit terutama pada bahagian lutut.

Pada peringkat awal, biasanya tiada tanda lain yang dapat dikenal pasti dan kesakitan itu berulang-ulang.

Namun, apabila saiz sel kanser semakin besar, pesakit mula berasakan kawasan itu membengkak. Dalam kes tertentu, tulang akan patah secara tiba-tiba bukan disebabkan kecederaan.

oleh: hidayatulakmal@hmetro.com.my

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,576 views