Awas Gelembung Kecil Berair

Perhatikan sekiranya anak mengalami ulser pada bahagian mulut sama ada di lidah, bibir dalam ataupun lelangit kerana ia mungkin gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Walaupun ia gejala biasa apabila anak mengalami masalah sakit kerongkong, mahu tumbuh gigi dan juga jangkitan telinga tetapi ibu bapa tidak boleh memandangnya dengan sambil lewa.

Kebiasaannya kanak-kanak yang diserang penyakit ini tidak mengalami demam yang kuat dan tetap aktif seperti biasa.

Namun ulser pada bahagian mulut menyebabkan mereka kurang menyusu atau makan disebabkan sakit apabila terkena sentuhan.

Menurut Pensyarah dan Pakar Kanak-kanak Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Adli Ali, wabak ini mula disedari sejak 1970 lagi namun hanya mula diberikan perhatian selepas insiden yang berlaku di Sarawak pada tahun 1997.

Seramai 31 kanak-kanak meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.

Katanya, HFMD adalah sejenis jangkitan virus disebabkan beberapa kumpulan virus termasuklah enterovirus. Hingga kini terdapat 66 jenis virus yang dikenal pasti menjadi penyebab kepada penyakit ini.

“Ia penyakit biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun kerana mereka mempunyai sistem imun badan yang masih lemah.

“Tetapi saya tidak menolak kemungkinan penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja tanpa mengira usia sekiranya faktor kebersihan diri tidak diutamakan,” katanya.

Di samping itu, risiko anak kecil untuk dijangkiti penyakit berkenaan lebih tinggi sekiranya dia berada di pusat jagaan kanak-kanak ataupun tadika.

Keadaan ini disebabkan tempat berkenaan memiliki bilangan kanak-kanak yang terlalu ramai dan sesak yang memudahkan proses jangkitan berlaku.

Gejalanya boleh dikenal pasti ialah apabila kanak-kanak yang dijangkiti mengalami kesan kemerah-merahan dan ada kalanya terdapat gelembung kecil mengandungi cecair pada tapak tangan, tapak kaki ataupun bahagian lutut, siku serta punggung.

“Ia boleh didapati pada bahagian tubuh lain tetapi tidak kerap kelihatan. Kesan pada bahagian tangan dan kaki berkenaan akan hilang dalam masa lima hingga tujuh hari.

“Tetapi jika mengalami demam yang tinggi, tidak aktif atau tidak mahu menyusu langsung maka perlulah segera membawa anak berjumpa doktor untuk rawatan lanjut,” katanya.

Penyakit ini boleh disebarkan melalui sentuhan oleh itu kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini perlu diasingkan daripada kanak-kanak lain sehingga sembuh.

Penjagaan kebersihan seperti membasuh tangan perlu bagi mengurangkan sebarang bentuk jangkitan penyakit ini daripada terus menular.

Sekiranya tempat berkenaan memiliki dua kes disyaki HFMD ia akan ditutup selama 10 hari iaitu pada hari terakhir individu disyaki berada di kawasan berkenaan.

Malah, mereka perlu diasingkan bagi mengelakkan jangkitan berlaku. Antara langkah lain yang boleh dilakukan ialah:

Pastikan pinggan, mangkuk, sudu ataupun kelengkapan makan tidak dikongsi.

Alatan permainan – perlu menggunakan antiseptik yang berkesan untuk membasuhnya sebelum digunakan individu sihat lain.

Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, menukar lampin anak dan mencuci najis anak.

Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin atau batuk.

Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, cadar, cawan, sudu dan garpu.

Mandi dan tukar pakaian selepas pulang dari tempat kerja sebelum bermesra dengan bayi atau anak kecil.

Cuci alat mainan, permukaan meja, kerusi dan lantai yang dicemari air liur anak.

Elak membawa anak kecil ke tempat umum yang sesak seperti pusat membeli-belah, pawagam, kolam renang, pasar dan stesen bas.

Dr Adli berkata, HFMD adalah penyakit virus yang berlaku sepanjang tahun tanpa disedari dan ia memiliki pola tersendiri iaitu meningkat pada bulan Februari dan Jun setiap tahun.

Namun, kebanyakan penularan secara ‘besar-besaran’ berlaku setiap tiga tahun sekali iaitu sekitar 1997, 2000, 2003, 2006 serta 2009.

“Namun, ia tidak begitu kelihatan pada pandangan umum kerana cara jangkitan ialah secara perseorangan dan juga jangkitan secara langsung.

“Malah, kini pelbagai langkah pencegahan dilakukan bagi mengurangkan risiko jangkitan terhadap umum dan ia berjaya mengurangkan kadar penularan penyakit berkenaan,” katanya.

HFMD berlaku disebabkan kehadiran beberapa virus tetapi kebiasaannya ia dicetuskan:

Virus Coxsackie A16.

Anterovirus 71.

Menurutnya, di persekitaran tempatan HFMD kebanyakannya berlaku disebabkan virus Coxsackie A16. Apa yang menjadi kebimbangan ialah apabila jangkitannya disebabkan anterovirus 71.

Pesakit yang mengalami HFMD disebabkan anterovirus boleh mengalami pelbagai komplikasi kesihatan antaranya jangkitan selaput otak dan radang otak (meningitis), ensefalitis serta masalah kegagalan kardiopulmonari iaitu jantung dan paru-paru.

Kesemua komplikasi ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut kepada penghidapnya.

“Tiada rawatan khusus boleh diberikan kerana penyakit ini tidak memiliki vaksin yang diluluskan serta antiviral yang boleh digunakan.

“Jika demam biasa hanya ubat demam akan diberikan bagi mengurangkan kesan demam berkenaan serta ubat tahan sakit bagi menangani masalah ulser pada mulut,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,572 views