Baca Skrip, Buat Kajian

Solekan berfungsi memberi kesempurnaan kecantikan kepada seseorang. Wajah yang kurang bermaya akan tampak berseri dengan pemakaian bedak asas, mata semakin galak bersinar dengan olesan pembayang mata manakala senyuman lebih menyerlah dengan calitan gincu. Dalam sesetengah keadaan solekan mampu menampilkan karakter yang lebih menyerlah dan meyakinkan kepada wanita.

Namun fungsi ini berbeza bagi solekan kesan khas. Walaupun menggunakan peralatan dan bahan yang hampir sama tetapi solekan kesan khas berupaya mengubah wajah menjadi lebih luar biasa misalnya untuk solekan cacat, kesan terbakar, wajah tua atau menakutkan.

Inilah sebabnya solekan amat penting untuk menyerlahkan diri seseorang, kata jurusolek profesional, Nurulhidayah Mohtar yang bukan saja berpengalaman dalam solekan berkonsepkan glamor tetapi juga kesan khas yang diperlukan dalam drama dan filem.

“Untuk drama, teater mahupun filem, solekan kesan khas dikenakan kepada pelakon bagi menyokong karakter yang dibawa mereka sekali gus menukar wajah atau keadaan seseorang kepada sesuatu yang berbeza dengan rupa asal. Misalnya watak hantu, raksasa, kesan terbakar, tercedera serta mimik muka dibuat bersesuaian dengan skrip dan peranan dimainkan pelakon. Dalam hal ini jurusolek sedaya upaya menghasilkan solekan kesan khas bagi mewujudkan suasana semula jadi kepada watak seolah-olah ia benar-benar berlaku dan bukannya lakonan,” ujarnya.

Bagi menghasilkan solekan kesan khas, pelbagai bahan selamat digunakan bergantung kepada jenis solekan yang akan ditampilkan. Antaranya pewarna sirap, cecair getah (latex), tisu, bedak asas, semburan rambut, pembayang mata dan pewarna makanan.

“Sebagai contoh untuk menghasilkan kesan terbakar, kapas dilekatkan menggunakan pelekat getah pada bahagian terbakar. Kemudian sapu pewarna makanan, pembayang mata bagi memberikan kesan ketara kehitaman pada bahagian tepi. Selepas itu cecair sirap diletakkan di tengah seakan-akan darah. Akhir sekali dikemaskan supaya kesan menjadi lebih gelap dan nampak semula jadi,” katanya.

Walaupun nampak ringkas dan mudah namun solekan kesan khas memerlukan ketelitian terutama dari segi campuran warna serta teknik sapuan. Kesalahan menggabungkan warna akan menjadikan solekan tidak natural seolah-olah sengaja dibuat. Ini menyebabkan penonton tidak takut pada kesan yang dihasilkan terutama watak hantu atau rasa ngeri membabitkan darah malah, sebaliknya boleh membuatkan penonton ketawa dan merasa seperti dipermain-mainkan.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, Nurulhidayah banyak membuat kajian menerusi Internet dan membaca buku berkaitan solekan kesan khas.

“Sebelum melakukan solekan, saya membaca skrip terlebih dulu serta membuat kajian mengenai solekan yang akan dikenakan. Kemudian saya menyediakan bahan serta peralatan supaya tidak tercicir ketika penggambaran dilakukan,” katanya.

Bagi Nurulhidayah walaupun nampak mencabar dan rumit namun solekan kesan khas lebih mudah dan cepat berbanding solekan glamor yang mengambil masa sehingga satu atau dua jam. Apa yang penting adalah memberi sepenuh perhatian ketika melakukannya bagi menjadikan solekan nampak ‘hidup, bernafas dan semula jadi.

Di dalam buku Solekan Kesan Khas oleh Janus Vinther menyatakan sejarah solekan kesan khas bermula sejak 1895 membabitkan filem Demolition d’un Mur dan ditayangkan buat kali pertama di Cafebio Paris. Selain solekan khas filem ini juga mengandungi percubaan pertama menggunakan helah fotografi.

Selain itu pada tahun yang sama filem The Execution of Queen Mary juga memaparkan kesan solekan khas kepala dipotong sebagai helah fotografi dan ia berjaya mewujudkan fenomena apabila ramai penonton mempercayai bahawa pelakon menggadai nyawa dalam menjayakan filem ini.

Pada 1977 George Lucas memperkenalkan teknik kesan khas yang lebih baru dan menarik dalam filem Star Wars. Pada 1990 pula teknik kesan khas menggunakan komputer bermula dan digunakan dalam filem The Abyss, Terminator 2 dan Jurassic Park. Malah menerusi grafik komputer yang lebih canggih kesan di dalam filem mampu ditonjolkan dengan lebih hebat dan kini sesuai peredaran semasa kesan solekan khas berubah-ubah mengikut perkembangan teknologi solekan serta komputer masa kini.

Terima kasih: nuriez nrstudio

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

621 views