Bagai Bom Jangka Wanita

Walaupun ramai beranggapan penyakit jantung sering dikaitkan dengan lelaki, wanita khususnya mereka yang sudah mengalami menopaus atau putus haid mempunyai risiko yang tinggi diserang penyakit ini.

Malah, pembunuh senyap dalam kalangan wanita ini boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.

Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana Dr Haizal Haron Kamar berkata, penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana lazimnya kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita.

“Biasanya usia kaum lelaki yang mendapat penyakit jantung antara 40 tahun hingga 50 tahun, tetapi kini angka terbabit tidak boleh lagi dijadikan panduan.

“Makin ramai kaum lelaki mendapat sakit jantung pada usia muda, malah seawal usia 25 tahun,” katanya.

Namun, golongan wanita juga tidak terkecuali mendapat penyakit jantung, tetapi hanya lebih lambat berbanding lelaki.

Apabila wanita menopaus atau putus haid, tahap estrogen dalam badan menurun, malah tahap trigliserida dan kolesterol tidak baik (LDL) dalam kalangan wanita berumur juga meningkat.

Semua faktor ini menaikkan risiko penyakit jantung dalam kalangan wanita.

“Risiko wanita mendapat sakit jantung sebelum menopaus lebih rendah berbanding lelaki. Ini disebabkan wanita dilindungi estrogen tinggi ketika masih subur dan berupaya mengelakkan mereka diserang penyakit itu.

“Tetapi tidak bermakna wanita imun kepada penyakit ini kerana dianggarkan seorang daripada tiga wanita akan menghidap penyakit jantung,” katanya.

Katanya, statistik di Amerika Syarikat mulai 1984 hingga 2013, menunjukkan lebih ramai wanita meninggal dunia disebabkan masalah jantung berbanding lelaki setiap tahun.

Keadaan itu kebanyakannya berpunca daripada gaya hidup individu yang tidak sihat, memakan makanan berminyak secara keterlaluan serta tidak bersenam.

Selain itu, risiko serangan jantung sebenarnya sama, baik bagi lelaki mahupun wanita.

Tetapi jika diperhatikan wanita lebih berwaspada terhadap penyakit seperti kanser payudara dan serviks hingga kurang mengambil berat mengenai kesihatan jantung mereka.

Tanggapan itu perlu diubah memandangkan corak kehidupan kini yang turut berubah.

Di samping itu, serangan penyakit jantung antara lelaki dan wanita juga berbeza. Ada individu yang berasa kebas tangan kiri hingga bahagian tengkuk manakala sebahagian pula pada bahagian tengah dada.

Faktor penyebab penyakit jantung terbahagi kepada dua iaitu:

Faktor boleh ubah

- Keturunan. Faktor genetik memainkan peranan iaitu risiko menghidapnya lebih tinggi jika memiliki sejarah keluarga berkaitan masalah jantung.

- Usia

- Jantina

- Bangsa. Kaum India didapati menghidap penyakit ini lebih tinggi berbanding Melayu manakala Melayu pula lebih tinggi berbanding kaum Cina.

Faktor tidak boleh ubah

- Darah tinggi. Ia menggalakkan berlakunya penyempitan saluran darah. Jantung perlu mengepam lebih kuat untuk menyalurkan darah melalui saluran yang sempit.
Lebih tinggi tekanan darah, lebih besar peluang diserang sakit jantung, strok serta kegagalan buah pinggang.

- Diabetes. Ia boleh menyebabkan penyakit periferi arteri (PAD) jika salur darah tersumbat di bahagian kaki.

- Kegemukan.

- Tahap kolesterol tidak normal.

- Gaya hidup tidak aktif, kurang bersenam.

- Merokok. Asap rokok mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.

- Kandungan lemak tinggi.

Tanda serangan yang perlu diberi perhatian:

- Sakit dada
- Sesak nafas
- Pening kepala
- Jantung berdebar

Antara diet harian yang perlu diambil bagi menjaga kesihatan jantung:

- Kurangkan gula, garam dan makanan bergoreng.
- Elakkan makanan berlemak.
- Lebihkan pengambilan makanan sihat seperti sayur dan buah-buahan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

628 views