Bahaya Sindrom Kardiorenal

LAZIMNYA penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan barah lebih popular dianggap ‘pembunuh paling senyap’ dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia merekodkan banyak kematian.

Namun, ada satu lagi penyakit digelar pembunuh paling senyap, namun jarang diketahui umum iaitu sindrom kardiorenal.

Sindrom kardiorenal berkait rapat dengan masalah jantung dan buah pinggang kronik.

Ia sejenis gangguan akut pada jantung dan buah pinggang yang boleh menyebabkan dua organ berkenaan gagal berfungsi, akhirnya mengakibatkan kematian.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi MSU Medical Centre, Prof Dr Azreen Syazril Adnan berkata, masalah ini sangat serius dan sudah disedari oleh pengamal perubatan antara 10 hingga 15 tahun lalu.

“Pesakit buah pinggang kronik yang sudah menjalani rawatan dialisis adalah golongan berisiko tinggi mendapat penyakit ini.

“Punca masalah buah pinggang kronik disebabkan kencing manis, tekanan darah tinggi, jantung, obesiti, masalah keturunan, perokok dan golongan berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

KEROSAKAN buah pinggang boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung.

Beliau berkata, kencing manis ialah musuh utama rakyat Malaysia dan ia juga menjadi penghubung kepada gejala sindrom kardiorenal.

“Penyakit kencing manis menyebabkan paras gula dalam darah tinggi selain terdapat bahan kimia dalam tubuh iaitu ‘Advanced Glycation End Products’ (AGEs) yang menyebabkan salur darah pesakit menjadi tidak normal.

“Pesakit akan mengalami situasi ‘endothelial dysfunction’ apabila salur yang membekalkan darah ke jantung mengeras lalu mengakibatkan serangan jantung,” katanya.

Dr Azreen Syazril berkata, pesakit buah pinggang kronik pula akan mengalami situasi anemia yang paras hemoglobin darah (sel darah merah) menjadi rendah seterusnya berlaku tekanan dan serangan jantung.

Statistik menunjukkan, 18,267 kes kematian direkodkan disebabkan penyakit jantung pada 2019.

Selain itu, dianggarkan 40 hingga 50 peratus pesakit jantung mempunyai masalah penyakit buah pinggang kronik.

Beliau berkata, fungsi buah pinggang yang lemah akan meningkatkan risiko kematian dalam kalangan pesakit jantung.

“Kebiasaannya, pesakit buah pinggang kronik turut berisiko tinggi mendapat serangan angin ahmar dan serangan jantung.

“Sementara itu, 60 peratus pesakit buah pinggang kronik mempunyai masalah jantung,” katanya.

Menurut beliau, ada lima tahap penyakit buah pinggang kronik (CKD) iaitu peringkat I, II, IIIa, IIIb, IV dan V.

Pesakit CKD Peringkat III berisiko tiga kali ganda untuk mengalami masalah serangan jantung.

“Masalah sistemik (darah tinggi dan kencing manis) yang mengalami jangkitan kuman serius juga boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang dan jantung.

“Saya ingin menekankan satu daripada punca masalah buah pinggang ialah apabila jantung gagal membekalkan darah yang mencukupi ke organ itu (buah pinggang).

“Ini menyebabkan bekalan darah ke buah pinggang berkurangan seterusnya menyebabkan kegagalan organ itu,” katanya.

Kata Dr Azreen Syazril, secara umumnya, individu yang tiada masalah buah pinggang boleh mendapat masalah ini sekiranya bekalan darah pada organ itu kurang daripada kadar yang sepatutnya.

Jelasnya, penyakit buah pinggang kronik mengakibatkan kerosakan jantung disebabkan tekanan darah yang tinggi.

BUAH pinggang normal (kiri) dan buah pinggang rosak (kanan).

“Apabila tekanan darah tinggi, ia akan memaksa jantung bekerja dengan lebih kuat dan mengakibatkan jantung menjadi bengkak lalu gagal berfungsi,” katanya.

Sebuah jurnal antarabangsa mendedahkan semakin tinggi tahap penyakit buah pinggang kronik dialami pesakit, risiko mengalami kegagalan jantung juga tinggi.

Katanya, sekiranya ibu bapa menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, risiko anak mendapat penyakit buah pinggang kronik tinggi sekitar 50 hingga 60 peratus.

Dr Azreen Syazril berkata, sindrom ini boleh dialami sesiapa saja tanpa mengira usia dan jantina.

“Ia terjadi kerana buah pinggang atau jantung mendapat jangkitan kuman.

“Sebagai langkah pencegahan, individu perlu menjalani ujian saringan bagi memastikan bacaan darah pada paras normal.

“Bagi kanak-kanak yang menghidap masalah ini (sindrom kardiorenal), ia disebabkan oleh penyakit jantung kongenital dialaminya yang boleh merosakkan buah pinggangnya.

“Kanak-kanak ini perlu dirujuk kepada pakar perubatan bagi mengenal pasti komplikasi yang mungkin berlaku,” katanya.

Beliau berkata, fungsi utama buah pinggang ialah menyingkirkan bahan toksik dalam darah dan mengekalkan keseimbangan air, cecair, mineral serta bahan kimia dalam tubuh.

“Kesihatan buah pinggang perlu dijaga dengan mengelak pengambilan makanan tambahan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ubat itu berkemungkinan mengandungi logam berat dan bahan lain yang boleh merosakkan buah pinggang,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

24 views