Bangunan Usang Tinggal Kenangan

Terletak sejauh 72 kilometer dari bandar Keningau, Kampung Bonor, Sook di Sabah ini hanya dihubungkan oleh jalan tanah merah yang tidak berturap.

Tidak cukup dengan itu, orang luar yang mahu memasuki kampung ini juga terpaksa melalui perjalanan selama dua jam merentasi kawasan berbukit-bukau, jalan curam dan lecak apabila hujan lebat untuk tiba di kampung itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Kesukaran perhubungan dengan dunia luar turut menyebabkan banyak kemudahan di sini begitu ketinggalan berbanding di kawasan lain.

Selain tidak mempunyai prasarana bekalan elektrik dan sumber air bersih, kemudahan pendidikan di kampung ini juga amat memerlukan pembelaan.

Ini kerana, sejak 2010, kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun di sini terpaksa belajar mengenal huruf, mengeja dan membaca di bahagian atas rumah pastor kampung berkenaan.

Tidak seperti kanak-kanak lain yang tinggal di bandar dan mempunyai kemudahan pembelajaran lebih sempurna, mereka belajar di dalam keadaan kurang menyenangkan apatah lagi rumah yang diperbuat daripada papan itu semakin usang.

Mungkin disebabkan sudah terbiasa dengan keadaan kehidupan sebegitu, mereka tetap meneruskan kehidupan seharian dengan penuh warna-warni, walaupun hati menjerit mahukan pembaharuan sama seperti masyarakat lain di bandar.

Bagaimanapun, selepas sekian lama menunggu, kira-kira 500 penduduk kampung itu kini dapat menarik nafas lega apabila syarikat korporat, Nestle Malaysia Berhad (Nestle) dan sebuah pertubuhan sukarela dari United Kingdom, Raleigh International Malaysia (Raleigh) menyumbang dana dan tenaga membina sebuah tadika sebagai pusat kemudahan pendidikan awal kanak-kanak.

Menerusi tadika yang diberi nama Cahaya Hati itu, ia membolehkan 17 kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun mengikuti pembelajaran awal dengan lebih selesa dan sempurna berbanding sebelum ini.

Mempunyai ruang bilik darjah yang luas, dua bilik dan dihiasi dengan warna ceria biru dan kuning, tadika itu mula dibina Februari lalu membabitkan 45 sukarelawan Raleigh yang turut menerima bantuan daripada penduduk kampung.

Selepas 10 minggu proses pembinaannya, kini tadika ke-10 Nestle dan Raleigh itu disiapkan sepenuhnya walaupun pelbagai kesulitan terpaksa dilalui sepanjang tempoh itu.

Cabaran siapkan bangunan

Wakil sukarelawan, Robert Donat berkata, mereka mengambil kayu dari hutan dan menggunakan laluan sungai untuk menghantar kayu berkenaan ke kawasan daratan semula.

Kesukaran mendapat kenderaan sesuai bagi tujuan pengangkutan membawa masuk dan keluar kelengkapan diperlukan diakui cabaran terbesar buat kumpulan sukarelawan.

“Kawasan kampung ini juga selalu mengalami hujan lebat dan sedikit sebanyak ia turut mengganggu gerak kerja kami kerana tempoh yang diberi untuk menyiapkan bangunan tadika ini hanya sekitar sembilan hingga 10 minggu.

“Kebanyakan sukarelawan juga tidak mempunyai pengalaman bertukang kerana mereka semua masih muda, namun berkat kesabaran, tunjuk ajar dan semangat bekerjasama, kami berjaya melakukannya dengan bantuan orang kampung.

“Hari ini (Sabtu minggu lalu) selepas melihat semua kanak-kanak itu duduk di tempat masing-masing dan tersenyum gembira, perasaan puas, gembira, sebak dan terharu menyelubungi diri saya. Saya percaya sukarelawan lain juga berperasaan sama.

“Satu lagi pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada di sini apabila kami perlu bergaul dengan penduduk tempatan yang tidak memahami bahasa Inggeris selain perlu tidur di dalam dewan beramai-ramai, mandi air sungai yang keruh setiap hari dan menjamu selera dengan hidangan suku kaum Murut.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana mereka dapat menerima dan melayan kami dengan cukup baik sekali sepanjang tempoh ini,” katanya.

Sukarnya hidup serba kekurangan

Penduduk kampung, Sayun, 35, yang menghantar anaknya, Elmi berusia enam tahun ke tadika Cahaya Hati pula berkata, kampungnya sangat terpencil dan terpinggir. Namun, kewujudan tadika baru ini membolehkan kanak-kanak daripada masyarakat setempat mendapatkan pendidikan prasekolah yang baik.

Sebelum 2010, kebanyakan kanak-kanak di bawah umur enam tahun tidak mempunyai peluang belajar di tadika dan hanya mula mengenal huruf apabila mereka ke sekolah rendah ketika berumur tujuh tahun.

Sayun gembira kerana jika sebelum ini abang dan kakak Elmi tidak dapat belajar di sekolah tadika, keadaan sama tidak berulang lagi kepada anak bongsu kesayangannya itu.

Mendapat bimbingan dua guru terlatih, Rekey Raipai, 22 dan Suzyline Jikang, 22, pelajar di tadika itu boleh mula menimba ilmu seawal jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari dan melakukan aktiviti riadah pada sebelah petang.

“Saya dan Suzy adalah anak jati kampung ini dan kami amat memahami kepayahan menjadi kanak-kanak di kawasan pedalaman yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Sewaktu zaman kami, tiada sekolah tadika seperti ini. Atas sebab itu, saya gembira kerana terpilih untuk berkhidmat di kampung sendiri serta mengajar anak kecil ini erti pendidikan di awal usia.

“Jika dibandingkan tadika ini dengan yang dulu, ia jauh berbeza kerana kemudahan seperti alat bantu mengajar juga tidak ada. Justeru, kewujudan tadika ini diharapkan dapat membantu pelajar untuk belajar dalam keadaan selesa dan teratur,” katanya.

Usaha jangka panjang

Sementara itu, Pengurus Tanggungjawab Korporat Nestle, Immy Ooi berkata, projek tadika berkenaan sejajar dengan falsafah korporat syarikat itu yang berusaha membantu membangunkan masyarakat yang memerlukan khususnya di kawasan pedalaman.

Dalam meneruskan komitmen Nestle untuk menyokong pembangunan luar bandar, pihaknya bekerjasama dengan Raleigh International, sebuah organisasi antarabangsa bukan berasaskan keuntungan, yang memberi tumpuan kepada belia dan pembangunan mampan untuk membina tadika di kawasan terpencil dan termiskin di Sabah di mana masyarakat setempat kebanyakannya menyara hidup dengan berladang sebagai mata pencarian mereka.

Tahun ini juga masuk kali kesembilan Nestle dan Raleigh bekerjasama dan sudah membina 10 tadika di kawasan pedalaman Sabah seperti di Kampung Liu, Mapan Mapan, Maliau Layung, Sonsogon Magandai, Lingka Bugan 2 dan Paus di Pitas, Kampung Saguon di Tongod, Kampung Keranaan di Ranau dan Kampung Terian di Sugud.

“Nestle mempercayai akses kepada pendidikan prasekolah amat penting kerana ia membentuk dan membina asas bagi pendidikan awal kanak-kanak.

“Tanpa ilmu dan pelajaran, saya percaya sukar untuk kita bersaing di dalam dunia yang dipenuhi dengan arus kemodenan ini. Justeru, bantuan sebegini diberikan kepada mereka yang memerlukan demi masa depan lebih terjamin.

“Inisiatif ini juga sejajar dengan falsafah perniagaan kami iaitu menjana nilai bersama yang menyatakan demi mencapai nilai jangka panjang untuk pemegang saham kami, kami juga perlu menjana nilai masyarakat di mana kami beroperasi,” ujarnya.

Pengurus Program Negara Raleigh, Sarah Hoare menjelaskan, 2013 menyaksikan satu lagi kerjasama mengagumkan antara Raleigh International dan Nestle.

Menerusi kerjasama ini, pembiayaan disediakan Nestle manakala kerja pembinaan dilaksanakan oleh sukarelawan Raleigh International dengan sokongan masyarakat setempat agar kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun di kampung ini mampu menerima pendidikan prasekolah di sebuah bangunan khas.

“Perkara ini memberikan mereka peluang untuk mencapai tahap yang diperlukan bagi memasuki sistem sekolah di Malaysia dan meluaskan peluang pendidikan untuk generasi seterusnya.

“Sukarelawan datang dalam tiga kumpulan berbeza dan mereka bergilir-gilir melakukan pembinaan bangunan tadika itu sebaik mungkin. Saya mengharapkan kesinambungan kerjasama yang sekian lama dan berjaya ini memberi impak positif kepada penerima sumbangan,” katanya.

Selain digunakan sebagai tadika, bangunan itu juga berperanan sebagai pusat pembelajaran komuniti bagi menampung sesi pendidikan tambahan untuk golongan dewasa di waktu petang seperti pembelajaran budaya tradisional dan pertanian.

Projek ini turut disokong oleh Organisasi Kerjasama Komuniti (PACOS) yang menumpukan pada sokongan komuniti penduduk asli di Sabah dengan memberi bantuan semasa perancangan awal projek termasuk penilaian kampung, mengenal pasti dan melatih guru.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

739 views