Bantu Beri Harapan

Selama tujuh tahun mengabdikan masa dan tenaganya berkhidmat dengan anak yatim, dia sering ditanyakan kanak-kanak mengapa mereka ditinggalkan dan tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa sendiri.

Lontaran soalan berkenaan membuatkan hati kecil usahawan, Dr Peggy C Wong, terusik hingga mengambil keputusan mengasaskan sebuah badan amal, Living Hope Global. Badan amal ini membantu serta memberi sokongan, kasih sayang dan harapan kepada golongan kanak-kanak kurang bernasib baik yang ditinggalkan atau diabaikan oleh ibu bapa tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga Pengerusi Living Hope Global berkata, kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa itu berasa tertekan, sedih dan rasa terpinggir dalam masyarakat.

Malah ada antara kanak-kanak yang terabai itu turut berasa malu dan enggan ke sekolah kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar yuran, membuatkannya terus berazam membantu mereka.

Katanya, golongan miskin perlu dibantu dengan memberi akses kepada pendidikan supaya mereka mendapat kehidupan lebih baik pada masa hadapan.

“Pendidikan mampu menghapuskan kitaran kemiskinan dan kami membantu mereka termasuk membelikan kelengkapan persekolahan.

“Apabila menyampaikan barang keperluan sekolah kepada kanak-kanak, mereka bukan saja akan rasa dihargai, tetapi menjadi lebih gembira dan bersemangat,” katanya ketika majlis pelancaran buku hasil nukilannya, Living A Balanced Life, baru-baru ini.

Majlis ringkas tetapi meriah itu turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Antara peranan Living Hope Global juga adalah mengenal pasti keluarga miskin dan menyalurkan bantuan dalam bentuk keperluan harian seperti bahan asas makanan terdiri daripada susu, minyak, gula, garam dan makanan dalam tin.

Bagi tujuan berkenaan, pihaknya turut menjejakkan kaki ke kampung pedalaman yang dihuni oleh masyarakat Orang Asli selain membantu golongan miskin yang hidup kesempitan di bandar besar.

“Berdasarkan pemerhatian saya selama 10 tahun ke atas kehidupan masyarakat, keluarga dan kanak-kanak yang dibantu, saya dapati paling penting bagi setiap insan hidup bahagia adalah kehidupan yang seimbang, bukannya semata-mata mementingkan wang, harta benda dan kerjaya.

“Saya berpegang kepada kepercayaan, keluarga, kewangan, kesihatan, kawan, pembawaan diri serta keseronokan. Paling utama, kita perlu mempunyai kepercayaan kerana ia memberi hala tuju dan matlamat dalam hidup.

“Kita juga perlu menjaga keluarga sebaik mungkin kerana anak-anak memerlukan ibu bapa. Biar setinggi mana kejayaan yang kita capai, kalau keluarga tunggang-langgang, kita tidak akan bahagia,” katanya.

Peggy berpendapat, setiap orang perlu menghabiskan masa yang berkualiti dengan keluarganya selain bersikap menyayangi dan saling menghormati untuk hidup bahagia.

Namun katanya, biarpun nilai kekeluargaan terletak pada kedudukan utama, kewangan tetap penting kerana tanpanya hidup akan susah serta mewujudkan permasalahan lain.

“Bagi mendapat kehidupan yang seimbang, setiap orang disaran mempelbagaikan pelaburan untuk memperoleh keuntungan yang berganda.

“Kesihatan juga perlu dijaga bukan setakat fizikal, malah kesihatan rohani dan emosi juga perlu diberi perhatian. Buang semua perasaan negatif kerana ia boleh menjadi racun yang merosakkan dan membuatkan hidup kita menderita,” katanya.

Menurut Peggy, kebahagiaan juga boleh dicapai dengan bergaul bersama rakan yang memberi aura positif dan membantu meningkatkan diri kita, bukannya mereka yang mencerca atau mempengaruhi diri kita dengan perkara yang merosakkan.

Memilih rakan yang membantu kita menjadi lebih baik sememangnya amat penting, manakala rakan yang negatif dan menjatuhkan perlu ditinggalkan demi kesejahteraan hidup.

Malah membawa diri sendiri dengan baik, berusaha hingga berjaya dan menjalankan tanggungjawab yang mampu memberi kesan positif kepada orang di sekeliling boleh memberi kebahagiaan kepada diri kita sendiri.

“Kesimpulannya, kita perlu menikmati setiap hari sebaiknya dan menghargai kehidupan. Apabila kita bangun setiap hari tanpa penyakit kronik, ia satu anugerah tidak ternilai dan kita sepatutnya gembira dan bersyukur,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,629 views