Bantu Ekosistem Alam

CUACA pagi Selasa, 6 Julai lalu agak mendung namun tidak menampakkan rintik hujan. Dalam keadaan cuaca sebegitu, kami selesa untuk menjalankan tanggungjawab menjaga alam sekitar dan memulihara tanah bencah di Setiu, Terengganu.

Kehadiran penulis bersama sekumpulan sukarelawan warga kerja Nestle ke kawasan yang menjadi habitat kepada populasi tuntung terbesar dan lokasi penyu hijau bertelur itu antara usaha menyelamatkan haiwan yang semakin terancam itu.

Mendapat kerjasama daripada WWF-Malaysia sejak 2006 dan kini memasuki fasa kedua, ia mengiktiraf kepentingan tanah bencah untuk pelbagai fungsi ekosistem termasuk pengawalan sumber air dengan menyerap lebihan air.

Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Zainun Nur Abdul Rauf, berkata aktiviti penanaman pokok bakau terbabit sejajar dengan falsafah perniagaan Nestle.

“Aktiviti yang mendapat kerjasama daripada WWF-Malaysia itu sejajar dengan falsafah Menjana Nilai Bersama Kami untuk masyarakat.

“Melalui falsafah ini, tumpuan kami membabitkan tiga bidang iaitu pemakanan, air dan pembangunan luar bandar. Program ini adalah salah satu daripada bidang berkenaan,” katanya.

Menurut Pegawai Kanan Perhubungan Komuniti WWF-Malaysia, River Foo, pelbagai cabaran ditempuh untuk menyedarkan masyarakat setempat mengenai projek berkenaan.

“Disebabkan kami orang luar, agak sukar untuk berkomunikasi dengan penduduk setempat dan ia membabitkan proses yang perlahan.

“Bagi memastikan projek ini berjaya, kami banyak membuat program bersama komuniti tempatan dan sekolah untuk memberi kesedaran memulihara spesies yang semakin pupus ini supaya mereka tidak menjual atau makan telur penyu.

“Justeru, aktiviti hari ini juga dapat memberi kesan baik terhadap habitat tuntung dan tempat penyu bertelur,” katanya ketika ditemui semasa program menanam semula pokok bakau berkenaan.

Tambahnya, aktiviti yang penting untuk mengawal aliran air semasa hujan lebat itu juga bertujuan membantu membebaskan air secara perlahan apabila tiba musim kemarau.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menarik minat dan membabitkan komuniti tempatan dalam meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan, seramai 26 ahli Nestle Reaching Out To Community (Rocks) dan kontinjen Polis Terengganu menyertai aktiviti penanaman semula pokok bakau dan pembersihan persisiran pantai di Kuala Baru.

Aktiviti menanam bakau dimulakan dengan penerangan mengenai isu pemuliharaan alam sekitar itu dilakukan oleh Persatuan Wanita Kampung Mangkok, Setiu (Pewanis).

Pewanis adalah projek pembinaan kapasiti untuk wanita tempatan pada 2007 yang dilaksanakan oleh Nestle dan WWF-Malaysia. Ia bertujuan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan lebih mendalam mengenai pembangunan mampan yang dapat menambah mata pencarian di samping memperkasakan diri wanita bagi menerajui aktiviti kesedaran dan pemuliharaan alam sekitar.

Setakat ini, Pewanis sudah melaksanakan pelbagai aktiviti pelancongan alam sekitar serta industri desa berasaskan komuniti dan impak rendah.

Bukan saja memberi manfaat kepada kawasan tanah bencah malah ia turut mendatangkan pendapatan tambahan kepada Pewanis itu sendiri.

Bermula Januari hingga Mei 2012, enam kumpulan tempatan dan antarabangsa melawat kegiatan Pewanis serta mengambil bahagian dalam program pelancongan impak rendah kumpulan wanita itu.

Kumpulan terbabit diberi penerangan mengenai isu pemuliharaan dan digalakkan untuk menyertai aktiviti pemuliharaan penyu di pusat penetasan penyu.

Selain itu, mereka diberi peluang mengambil bahagian dalam aktiviti industri desa yang dijalankan oleh komuniti tempatan seperti membuat wau dan kerepek pisang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

811 views