Bantu Orang Ramai Minat Seni
Bukan mudah untuk muncul sebagai penulis wanita yang berjaya dan ternama dalam penulisan seni kontemporari di negara ini. Apatah lagi bidang ini memerlukan pengetahuan yang mendalam dalam subjek yang diperkatakan di samping perlu bersaing dengan penulis sedia ada.
Apapun, sama seperti bidang penulisan lain, minat mendalam sangat penting kerana tanpanya, tidak mungkin sesuatu penulisan dapat dihasilkan memandangkan ia memerlukan ketelitian yang tinggi serta memakan masa yang lama untuk disiapkan.
Penulis seni kontemporari, Nur Hanim Khairuddin, 44, berkata dia sudah menulis sejak 13 tahun lalu dan kebanyakannya berkisar mengenai perfileman, kebudayaan dan pameran.
“Saya pernah bertugas di Yayasan Kesenian Perak (YKP) selama 13 tahun sebelum membuat keputusan meninggalkan jawatan di yayasan terbabit tiga tahun lalu bagi memberi tumpuan penuh pada penulisan kreatif.
“Ketika bertugas di YKP, saya banyak diperkenalkan kepada teater dan sastera, dari situ saya timba banyak pengalaman,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mendapat sokongan padu daripada suami yang juga dikategorikan sebagai ulat buku, Nur Hanim sudah menghasilkan kira-kira 20 buku penulisan seni kontemporari untuk beberapa galeri bagi penerbitan dalam dan luar negara.
Lepasan Seni Halus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berasal dari Ipoh, Perak ini juga seorang kurator, penulis serta promoter seni dan budaya.
Pernah bertugas sebagai kurator di YKP, dia kini memiliki syarikat penerbitan, Teratak Nuromar yang bertanggungjawab menghasilkan majalah, sentAp!.
Majalah keluaran dua kali sebulan yang mengkhusus kepada seni visual dalam kesenian di Malaysia itu turut memberi peluang kepada bakat baru dalam penulisan seni kontemporari untuk menunjukkan kebolehan mereka menulis di majalah berkenaan.
Wanita peramah ini juga menulis bagi majalah seni dalam talian seperti kakiseni.com di Malaysia, ArtIT (Jepun) dan Universes-In-Universe (Jerman).
Berikutan kepakaran dan pengetahuannya yang tinggi dalam bidang seni kontemporari, Nur Hanim juga sering dijemput sebagai penulis tetamu untuk acara pameran. Malah, ibu tiga cahaya mata itu juga diberi peluang menerima geran kajian daripada Yayasan Amerika Pusat.
Minatnya dalam penulisan seni kontemporari mula timbul apabila dijemput sendiri oleh pelukis terkenal negara ini, Bayu Utomo, untuk menghasilkan katalog bagi pameran yang diadakan.
“Bermula dari situ, saya lihat ada potensi untuk pergi jauh dalam bidang ini apatah lagi penulis dalam bidang ini boleh dikira dengan jari.
“Secara perlahan-lahan saya berkembang dalam bidang ini dan belajar sendiri melalui pengalaman untuk menjadi penulis seni yang baik.
“Biarpun orang me–nganggap saya berpengalaman, saya tetap menganggap diri saya masih dalam proses pembelajaran,” katanya.
Wanita ini akui, individu yang ingin menjadi penulis seni yang mampu bertapak kukuh perlu mempunyai kesabaran tinggi kerana ia bukan satu profesion yang mempunyai laluan jelas.
Sebaliknya, ia berkembang secara perlahan-lahan dan sukar dijangka dari awal, malah bergantung kepada keadaan sekeliling.
Selain itu katanya, tolak-ansur sebagai penerbit juga penting dan pada masa sama bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis serta mementingkan ketelitian.
Kenyataan itu turut dipersetujui rakan baiknya yang juga penulis seni kontemporari berpengalaman luas, Beverly Yong, 39.
Beverly yang juga Pengarah dan Pengasas Bersama RogueArt iaitu syarikat perunding seni berpangkalan di ibu kota, sudah menghasilkan bahan penulisan seni sejak 10 tahun lalu selain menyunting penulisan seni tempatan dan rantau ini.
Graduan Universiti Cambridge dalam aliran Kesusasteraan Inggeris dan Sejarah Seni ini yang menulis sejak perte–ngahan 1990-an, berkata dia mula meminati seni sejak kecil memandangkan berasal daripada keluarga yang juga peminat seni.
“Saya sukakan seni dan saya sukakan penulisan. Jadi apabila digabungkan kedua-duanya, maka terhasillah penulisan seni.
“Saya juga berbangga kerana berjaya mengumpul semua penulisan seni kontemporari dalam beberapa siri buku termasuk Jilid 2: Reaksi-Strategi Kritikal Baru bagi projek penerbitan Naratif Seni Rupa Malaysia.
“Ini akan memboleh–kan sesiapa saja membuat rujukan berkaitan seni dengan lebih baik yang mana buku ini mengumpul penulisan berkaitan seni yang dihasilkan oleh ahli akademik, artis, kurator, penulis budaya, wartawan serta pendukung seni lain di dalam dan luar negara,” katanya.
Menurut Beverly, kualiti yang perlu ada dalam diri seseorang yang ingin menjadi penulis seni yang berjaya antaranya bersikap objektif, mempunyai minat mendalam, mempunyai keghairahan terhadap apa yang ditulis dan mensasarkan ketelusan.
Katanya, seorang penulis seni juga harus berusaha untuk membantu menggalakkan serta meningkatkan minat orang ramai terhadap seni.
“Namun kini saya gembira dapat melihat semakin banyak peluang dibuka kepada golongan muda untuk terbabit dalam aktiviti seni berbanding 20 tahun lalu.
“Pelbagai aktiviti seni yang dianjurkan mampu menjadi pendorong kepada orang muda untuk terbabit sama menyertai bidang itu,” katanya.