Banyak Faedah Kain Penggendong

KAIN untuk mendukung bayi atau lebih popular sebagai kain penggendong, antara cara alternatif untuk mendukung bayi yang sudah dipraktikkan secara berabad lamanya di serata dunia.

Kain ini disimpul dan diikat dengan cara bersesuaian supaya bayi boleh didukung dengan selamat dan pada masa sama, sentiasa berada hampir dengan tubuh ibunya.

Jika dilihat di kalangan penduduk negara Timur termasuk Indonesia, terasa begitu mudahnya mengangkut bayi, hanya simpulan kain batik digunakan dan diletakkan pada tubuh ibu untuk membawa bayi mereka ke sana sini.

Tidak perlu peralatan bayi atau kereta tolak bayi yang mahal, sebaliknya kain berharga kurang RM10 juga boleh dijadikan pengangkut bayi yang berkualiti.

Bukan setakat itu, kain penggendong bayi juga mempunyai faedah tersendiri kepada ibu dan bayi.

Walaupun penggunaan kain penggendong kini semakin popular dan menjadi pilihan ibu bapa hingga ia dijual di pasar raya utama dalam pelbagai corak dan gaya pada harga yang agak mahal, ia boleh dibuat sendiri sekiranya tahu cara simpulan yang betul.

Penggunaannya dikatakan mampu membuatkan bayi berasa selamat dan tenteram kerana sentiasa dapat melihat riak wajah ibunya serta hampir kepada tubuh ibunya.

Antara faedah penggunaan kain penggendong ini membantu pengeluaran hormon oksitosin hasil sentuhan kulit dengan bayi, seterusnya ikatan antara ibu dan anak, sekali gus mengurangkan insiden kemurungan selepas bersalin serta penyakit psikosomatik di kalangan ibu.

Apabila bayi berada dekat dengan ibu, penyusuan susu badan menjadi lebih lancar dan penjagaan bayi juga lebih baik. Kesan positifnya turut dirasai kaum bapa yang membawa anak menggunakan kain dukung bayi.

Bayi yang dikendong menggunakan kain penggendong lebih tenang kerana keperluan untuk dekat dengan ibu atau bapa dipenuhi, berbanding bayi yang dibiarkan duduk jauh daripada ibu bapa mereka.

Apabila dekat, bayi dapat melihat, mendengar, menyentuh dan menghidu bau ibu serta peka dengan pergerakan ibunya yang seterusnya membantu perkembangan sistem saraf, usus, kesihatan pernafasan, keseimbangan bahagian dalaman telinga dan pembentukan otot yang konsisten.

Selain itu, degupan jantung yang didengari oleh bayi memberikan kesan menenangkan dan menyeimbangkan bayi.

Tidak ketinggalan, bayi akan belajar kemahiran sosial dari awal usia apabila mereka dapat melihat ekspresi wajah ibu atau bapa sepanjang berada dekat, seterusnya membantu mereka lebih cepat belajar dan memahami bahasa tubuh.

Bayi yang dikendong menggunakan kain penggendong mempunyai sokongan yang diperlukan pada bahagian tulang belakang mereka dengan mengekalkannya dalam bentuk C iaitu keadaan yang perlu bagi bayi yang sedang membesar.

Tulang pinggul bayi juga tidak terbentuk sepenuhnya maka penting bagi ibu bapa memastikan kedudukan lutut bayi lebih tinggi daripada bahagian punggung dan kaki perlu disokong sehingga ke bahagian lutut.

Pengarah School of Babywearing, Victoria Ward, berkata mendukung bayi rapat dengan diri ibu menggunakan kain pendukung adalah satu perkara yang semula jadi dan dilakukan sejak zaman-berzaman.

Secara praktikalnya, mendukung bayi dengan hanya menggunakan tangan bukan saja menggunakan banyak tenaga dan meletihkan, ia juga membuatkan pergerakan ibu menjadi terbatas. Akhirnya sepanjang hari ibu tidak dapat melakukan sebarang tugas lain kerana terpaksa menenangkan anak yang mahu diangkat.

“Justeru lebih mudah sekiranya ibu memakai kain dukung kerana ia bukan saja tidak memenatkan, kedua-dua tangan ibu bebas melakukan pelbagai perkara tetapi pada masa sama, anak mereka tenang.

“Ia juga membuatkan ibu lebih sihat daripada segi fizikal dan mental kerana dapat bergerak dan membuat pelbagai perkara dengan lancar selain membantu memperbaiki postur tubuh supaya ibu tidak membongkok sebaliknya berdiri tegak,” katanya.

Victoria berkata, bagi bayi yang kecil atau baru lahir, sebaiknya mereka diletakkan di bahagian depan tetapi bagi bayi yang lebih tua, mereka boleh diangkut dengan diletakkan di belakang ibu atau bapa.

Dia yang mempunyai anak berusia lima dan tiga tahun serta 14 bulan itu, berkata anaknya yang sudah berusia tiga tahun masih mahu diangkat menggunakan kain dukung biarpun sudah boleh berjalan kerana sukakan keintiman apabila berada dekat dengan ibu.

“Mengangkat bayi menggunakan cara ini bagus kerana bayi memang perlu sentiasa berhubungan dengan ibunya dan melihat wajah ibunya setiap masa.

“Lagipun cara ini boleh mengurangkan masalah sindrom kepala leper yang selalu dihadapi oleh bayi yang baring dalam satu posisi hingga kawasan yang menerima tekanan sama setiap hari akan mula menjadi leper,” katanya.

Menurutnya, masalah bayi kecil dan perlu menambah berat badan dengan cepat juga boleh diatasi dengan cara meletakkannya dekat dengan badan ibu.

Pada masa sama, suhu tubuh mereka boleh menjadi seimbang, membesar dengan lebih baik, menambah berat dengan pantas, kurang menangis, lebih peka dengan persekitaran dan lebih gembira.

Lebih menarik, walaupun ramai tidak sedar mengenainya, sistem pencernaan bayi juga menjadi lebih cekap apabila sering berada rapat dengan ibunya.

Victoria yang berasal dari United Kingdom sudah mengamalkan pemakaian penggendong bayi sejak lima tahun lalu dan dapat melihat sendiri manfaat besar yang diberikan alat yang sungguh ringkas itu.

“Apabila mengenakan penggendong bayi, ibu dan anak mendapat faedahnya. Anak lebih tenang, gembira dan kurang menangis manakala ibu pula bebas melakukan apa saja kerja di rumah.

“Misalnya anak saya ini, sudah dua jam dia tidur di belakang saya dengan selesa. Biarpun begitu pada usia tertentu, anak perlu dibiarkan berjalan kerana mereka perlu belajar tetapi membawa anak ke mana-mana masih boleh menggunakan kain pengendong, bukannya menggunakan kerusi tolak bayi.

“Lagipun apabila anak mahu berjalan, anda tidak akan rasa seperti membawa lebihan barang kerana kain penggendong hanyalah kain. Ia tidak memakan ruang yang luas dan mudah dibawa ke mana saja,” katanya.

Menurutnya, menerusi pengetahuan mengenai ikatan yang betul, ibu bapa boleh membuatnya sendiri tetapi bagi mereka yang mahukan kain penggendong yang tahan lasak dan lama, ada banyak jenis dijual di pasaran hari ini.

Walaupun ada sesetengah yang berasa pemakaian kain penggendong bayi tidak selamat, ia bergantung kepada teknik ikatan yang sempurna dan kedudukannya pada tubuh.

Lagipun daripada aspek keselamatan anak, apabila anak sentiasa dekat dengan ibu atau bapa, mereka menjadi lebih selamat dan tidak mudah didekati orang tidak dikenali yang ingin mengambil kesempatan seperti penjenayah yang mahu menculik bayi.

“Orang ramai sering terkejut dan tidak sangka begitu mudah memakai kain penggendong bayi. Mereka mudah bergerak dengan anak mereka termasuk menaiki pengangkutan awam,” katanya.

Posisi terbaik ketika menggendong bayi adalah menegak. Ia membolehkan bayi selalu disentuh dan ia juga satu perlindungan daripada persekitaran.

Ketika ditemui, Victoria mengadakan kursus perundingan bagi melatih dan mempromosi pemakaian kain penggendong bayi kepada pasangan ibu dan bapa yang diharap akan menggalakkan lebih ramai mengamalkannya.

Bagi memastikan keselamatan bayi, kain penggendong berkenaan perlu ketat, bayi boleh dilihat sepanjang masa, bayi hampir dan boleh dicium, pastikan pipi bayi tidak melekat pada dada dan bahagian belakangnya disokong.

Terdapat pelbagai jenis kain pengendong yang boleh didapati di pasaran antaranya kantung, sling cincin, mei tai, pengendong berstruktur lembut, pengendong elastik dan pengendong bertenun.

Bagi jenis kantung, ia selalunya berbentuk ringkas dan hanya dipakai pada sebelah bahu. Ia boleh dipakai dengan mudah dan cepat serta boleh diselarikan mengikut saiz tubuh ibu bapa.

Bagi sling cincin, ia juga dipakai di satu bahagian bahu saja dan boleh diubah kedudukannya dengan cara menarik cincin. Bayi boleh diletakkan dalam kedudukan menegak.

Mei tai pula sejenis pengendong yang berasal dari Asia, terdiri daripada bahagian badan yang mempunyai struktur dengan tali. Ia boleh dipakai di hadapan, belakang dan juga di pinggang. Berat bayi diserap di bahagian tubuh dan pinggang pemakai.

Penggendong berstruktur lembut mempunyai panel fabrik dengan tali serta mudah dipakai dan diubah suai. Ia mempunyai dasar yang besar untuk menyokong kedudukan bayi.

Bagi pengendong elastik, ia diperbuat daripada sehelai kain yang panjang dan elastik. Ia boleh diikat terlebih dulu sebelum bayi dimasukkan ke dalamnya dan hanya boleh digunakan di bahagian depan.

Akhir sekali, bagi mereka yang berminat dengan pengendong bertenun, ia diperbuat daripada sehelai kain yang memberi sokongan tinggi pada pemakai dan serba boleh kerana boleh digunakan di bahagian depan tubuh, belakang dan di pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,200 views