Batuka Senaman Seksi

Walaupun tidak turut bersenam bersama sekumpulan wanita ini, alunan muzik rancak yang diperdengarkan di pusat senaman dan kecergasan Dream Fitness, Nilai cukup membuatkan kaki mahu bergoyang manakala kepala digerakkan sebagai tanda teruja pada pergerakan Batuka yang berasal daripada budaya Sepanyol ini.

Jika diperhatikan, senaman ini seakan-akan sama dengan Zumba namun bagi mereka yang pernah mengikutinya atau mencuba kali pertama pasti merasai perbezaan setiap langkah tari dipersembahkan kerana ia membabitkan pergerakan yang lebih ‘tajam’, kemas dan jitu termasuk menggunakan seluruh anggota badan.

Menariknya, Batuka bukan saja mengenai tarian, aerobik dan gimnastik, tetapi turut menggabungkan tai chi dan seni mempertahankan diri kung fu sekali gus memberikan pelbagai kebaikan pada pengamalnya.

Menurut jurulatih, Ramizah Kamis, senaman Batuka dilakukan bersama iringan muzik rancak bertenaga Chi Ki Cha yang dihasilkan oleh Kike Santander pada 2005 iaitu koreografer yang cuba memasukkan langkah tari dalam seni mempertahankan diri.

“Jika diperhatikan pergerakan Batuka lebih kompleks dan mencabar kerana setiap langkah memberikan kesan tersendiri pada tubuh serta membabitkan keseluruhan kardiovaskular yang lebih intensif berbanding Zumba,” katanya.

Senaman ini juga terdiri daripada pelbagai peringkat dan gaya seperti Batuka Latin yang mula diperkenalkan pada Oktober 2006 dengan mengetengahkan pergerakan beberapa tarian seperti samba, reaggaeton, salsa, merengue, rumba, tekno dan Latin.

Walaupun terdiri daripada pelbagai langkah tari, unsur senaman tetap menjadi keutamaan apabila setiap pergerakan memberikan tekanan pada otot pinggul, perut dan kaki.

Bagi wanita yang sudah mahir dengan Batuka Latin boleh melangkah ke peringkat lebih tinggi iaitu Batuka Power dengan penguasaan semua siri pergerakan.

Senaman ini membabitkan pergerakan yang lebih ekstrem seperti melompat, membongkokkan badan dan menghayunkan kaki bagi mendapatkan kesan yang lebih menyerlah serta tinggi pada anggota badan tertentu seperti perut, pinggang dan pinggul. Hanya mereka yang benar-benar mahir saja boleh melakukannya kerana ia boleh menyebabkan kecederaan sekiranya menggunakan teknik yang salah.

Untuk peserta yang baru kali pertama menyertainya, pada peringkat permulaan mereka tidak terus diajar menari sebaliknya mendalami teknik serta rutin mengikut alunan irama. Setiap pergerakan dilakukan dengan kadar perlahan bagi memberi peluang wanita mengikutinya. Untuk kelas pertama kebiasaannya hanya mengambil masa empat jam sebelum individu itu mahir bersenam mengikut alunan muzik.

“Selepas itu barulah muzik diperkenalkan bagi memberikan kesesuaian dengan pergerakan. Setiap lagu akan menghasilkan langkah yang sama membabitkan keseluruhan anggota badan. Menerusi kelas Batuka, peserta akan lebih mudah memahami dan mengikuti senaman selepas mendalami teknik serta rutinnya,” kata wanita yang berpengalaman sebagai tenaga pengajar aerobik di Kementerian Belia dan Sukan ini.

Sama seperti individu lain yang mengimpikan kesan ketara setiap kali selepas bersenam, rata-rata wanita yang mengamalkan Batuka secara konsisten mampu mendapatkan bentuk badan idaman tanpa perlu melakukan senaman lain atau mengamalkan diet yang terlalu kompleks.

Ini kerana selain mencipta keseronokan dan mampu mengurangkan tekanan menerusi gerak tari dan muzik yang diperdengarkan, satu sesi Batuka membabitkan pembakaran sebanyak 500 hingga 1,000 kalori jika dilakukan selama 45 hingga 60 minit. Malah senaman ini sesuai diamalkan untuk latihan interval bagi membakar lebih kalori dan meningkatkan ketahanan fizikal.

Senaman yang mensasarkan bahagian kaki, tangan dan abdomen ini turut memberi kebaikan otot, melalui gabungan pengamatan dan pendengaran yang mengawal keseluruhan anggota badan. Bagi individu yang sentiasa inginkan gaya hidup sihat dan ceria, senaman Batuka antara pilihan tepat kerana ia dapat meningkatkan tahap keyakinan diri dan menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik.

“Walaupun beranggapan ia hanya sekadar tarian sama seperti senaman lain, pergerakan dengan kadar intensiti tinggi dan rendah yang diselang-selikan satu aktiviti kecergasan lengkap dan latihan kardiovaskular yang baik. Malah kepelbagaian tarian yang dipersembahkan dengan memberi tumpuan kepada pinggang menerusi tarian gelek ala Latin dan salsa menjadikan bentuk badan menawan, pinggang yang ramping serta pinggul yang cantik pada wanita.

“Pada masa sama, kekuatan perut turut diperoleh apabila diiringi pernafasan secara berkala sekali gus mengempiskan bahagian yang sering menjadi masalah wanita,” katanya.

Bagi wanita yang sering mengamalkannya, Batuka dianggap senaman yang seksi dan membuatkan wanita berasa cantik dan menarik apabila menggunakan teknik goyang, gelek dan pusing selama hampir 45 minit. Dengan langkah tari yang direka khas untuk semua peringkat usia dan jantina, ia mampu menjadi aktiviti sosial yang santai dan sihat dengan cara paling menggembirakan tanpa rasa dipaksa.

Bagi mereka yang ingin mengenali Batuka secara lebih dekat, Ramizah menunjukkan langkah demi langkah senaman ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

720 views