Bebas Mekanisme Bahan Utama

Alangkah ringkasnya hidup seorang wanita jika hanya perlu membersihkan wajah dengan sabun. Alangkah mudahnya juga menjalani rutin kecantikan harian tanpa adanya krim mata, serum, penyamar cela, bedak asas dan sebagainya.

Namun kita hidup dalam dunia realiti. Peningkatan usia, tekanan dan pendedahan kepada pencemaran alam membuatkan kita perlu memberi lebih perhatian kepada keperluan diri.

Sukar atau hampir mustahil bagi seseorang wanita moden bergantung semata-mata kepada penjagaan asas berikutan kulit dan keadaan memerlukan sokongan tambahan untuk mengelakkan timbulnya masalah kelak.

Selain bahagian dalaman tubuh, manusia cenderung memberi keutamaan pada penampilan luaran. Kulit adalah organ paling besar pada tubuh manusia dan biasanya kulit di bahagian wajah serta leher menjadi mangsa kepada pencemaran dan faktor negatif itu.

Pancaran ultra ungu (UV) dan lapisan ozon yang makin nipis membuatkan kulit kita mula tidak berdaya untuk kekal sihat lalu menyebabkan wujudnya pelbagai masalah seperti garis halus, bintik hitam, ton tidak sekata dan penuaan pramatang.

Pelbagai produk digunakan bagi mengekang masalah ini dan rata-rata mahukan keputusan pantas tanpa menjejaskan kulit.

Origins berusaha membantu mengatasi dilema itu menerusi krim Smarty Plants CC SPF20 PA++ Skin Complexion Corrector yang menggunakan kandungan serta khasiat alam semula jadi.

Hasil kajian intensif selama sedekad ke atas kesan pencemaran alam sekitar pada kulit, Origins tampil dengan teknologi SMART (Self-Monitoring, Analysis Reporting Technology) yang menghasilkan sistem khusus dikenali sebagai Intuitive Delivery System.

Sistem ini peka pada semua rangsangan termasuk pencemaran dan sinar UV lalu bertindak melindungi kulit daripada masalah penuaan.

Apabila kulit terdedah pada elemen negatif itu, ia membebaskan mekanisme dalam bahan utamanya (dikenali Smarty Plants) seperti teh hijau, teh putih, vitamin C, vitamin E, thermus thermophilus, ekstrak buah berangan dan pigmen mineral yang kemudiannya segera bertindak aktif melindungi kulit.

Teh hijau dan putih bertindak dengan membebaskan antioksidan dan menentang masalah penuaan pramatang yang lazimnya berlaku apabila kulit terdedah dengan sinaran UV.

Vitamin C dan E seterusnya melindungi lapisan dalaman kulit daripada pencemaran, selaran ozon dan tekanan alam sekitar.

Manakala alga mikroskopik dalam thermus thermophilus menukarkan tekanan oksidatif daripada pencemaran ke penghidratan cahaya, sekali gus membuatkan kulit kekal lembap dan tampak berseri.

Krim CC ini terbukti secara klinikal membantu menghalang kesan pencemaran, menyamaratakan ton kulit dan melembap sehingga enam jam.

Namun apa sebenarnya krim CC ini? Majoriti tahu mengenai keberkesanan krim BB tapi apa pula yang ditawarkan CC?

Perbezaan antara krim BB dan krim ini hanyalah pada maksud CC itu sendiri. CC bermaksud `colour correcting’ atau pembetulan rona yang membantu menghasilkan ton sekata kulit.

Krim CC menyasarkan warna kulit bermasalah seperti kemerahan, kusam dan pucat manakala krim BB memberi tumpuan kepada masalah cela secara keseluruhannya.

Krim CC lebih ringan daripada BB dengan kesan kulit halus dan cerah selepas disapu pada wajah.

Menariknya, Origins mengolah semula krim CC ini sebagai krim yang bukan saja menutup cela dan memberikan kesan seri pada wajah tapi bertindak sebagai pelembap jangka panjang.

Dikenali sebagai proses peringkat kedua, pelembap jangka panjang ini membolehkan lembapan dibebaskan secara perlahan-lahan dalam kulit terutama apabila berdepan keadaan kering seperti duduk lama dalam ruang berhawa dingin.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,628 views