Beg Tangan Glamor

BEG tangan bukan sekadar pelengkap gaya tetapi menjadi koleksi mesti ada dalam penggayaan wanita. Kepelbagaian potongan, warna dan kelainan fabrik menjadi ciri penting dalam pemilihannya.

Ramai wanita inginkan beg yang boleh membawa mereka bergaya dari pagi hingga ke malam dan tampil dalam mood berbeza.

Himpunan musim bunga dan panas Carlo Rino 2012 menampilkan koleksi lengkap beg silang, genggam dan tote yang menampilkan ciri glamor, diberi sentuhan keemasan pada perincian hiasan serta keceriaan warna pelangi dengan cetakan bunga yang memikat hati wanita.

Bagi penggemar kulit, beg tote dan silang dalam warna krim dan kelabu tua memberikan gaya ranggi serta terkini kepada si pemakai manakala beg sandang dengan rona jingga, biru dan kuning menambah pesona dengan rantai kunci cetakan hati digantung agar kelihatan elegan.

Memenuhi kehendak wanita yang ingin mempelbagaikan gaya, kehadiran beg sandang yang boleh dipanjangkan tali menjadi beg silang atau ditanggalkan dan dibawa dalam genggaman pasti mengubah pandangan terhadap fungsi beg itu sendiri.

Apa yang lebih mengujakan, cetakan motif geometri musim ini berbeza dengan penampilan warna klasik putih, hitam dan krim pada koleksi tote, dompet dan bagasi.

Selain beg tangan, jangan lupa memilih sepatu dan sandal dengan kepelbagaian corak dan warna.

Musim ini Carlo Rino tampil dengan warna cerah bagi memberikan gaya ceria.
Menariknya potongan ballerina pada sepatu terbaru dengan tekstur tenunan menjadikan himpunan paling digemari kini.

Selain itu, kasut bertumit memberikan gaya elegan dan versatil sama ada untuk acara rasmi atau kasual manakala himpunan baji kembali mewarnai dunia fesyen dengan pelbagai rona memikat serta ukuran ketinggian.

Selesa, kemas serta menyerlahkan gaya fashionista adalah tiga elemen penting yang akan meningkatkan keyakinan kala bertemu orang ramai.

Salah memilih sepatu dan beg tangan akan membuatkan personaliti serta penampilan kurang menyerlah, lebih penting anda kurang yakin bukan saja ketika berhadapan tetamu tetapi dalam aktiviti seharian.

Semua koleksi ini boleh didapati di semua butik Carlo Rino seluruh negara.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

7,648 views