Beg Tangan Konsep 1930-an
BEG tangan sememangnya sukar dipisahkan dalam hidup wanita kerana ia bukan saja keperluan yang mesti ada, tetapi juga pelengkap kepada gaya fesyen selepas berdandan cantik.
Selain corak dan reka bentuknya yang dapat memadankan solekan, kasut dan pakaian, pastinya aspek kerja tangan pada sebuah beg tangan diambil kira sebelum membelinya.
Ini kerana, beg tangan yang cantik dan bermutu bukan saja rumit pembuatannya, tetapi memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi seorang pereka itu.
Selain itu, dewasa ini juga wanita sudah beralih arah apabila kembali menggemari rekaan beg tangan lama atau vintaj yang digabungkan dengan sedikit reka bentuk moden dan kontemporari.
Justeru, jenama Aigner yang menggunakan simbol ladam kuda sebagai tanda pengenalan pada setiap koleksinya kali ini banyak mengetengahkan konsep reka bentuk zaman 1930-an sempena koleksi musim luruh dan sejuk 2012.
Pengenalan koleksi terbarunya itu dilakukan seiring dengan majlis pembukaan butik ketiganya di negara ini bertempat di pusat beli-belah Suria KLCC.
Ringkas dan praktikal. Itulah yang penulis dapat simpulkan apabila melihat koleksi ini buat kali pertama. Walaupun ia kombinasi vintaj dan moden, beg tangan yang dipamerkan cukup elegan apatah lagi diperbuat daripada material kulit berkualiti tinggi.
Rasanya, selepas anda melihat sendiri susunan puluhan beg tangan di atas rak pameran dengan aneka gaya rekaan yang unik dan menarik serta diadunkan dengan warna memikat hati, anda juga akan berasa geram untuk memiliki salah satu daripada koleksi itu.
Pengurus Butik Aigner Malaysia, Richard Loh, berkata koleksi pada kali ini tidak hanya memaparkan gaya anggun dan elegan malah sesuai dipadankan untuk apa jua busana.
“Beg tangan kami menyediakan banyak ruangan di mana anda semua boleh mengisi pelbagai barangan seperti dokumen, dompet, telefon bimbit, alat solek dan sebagainya dengan mudah.
“Ia juga kalis air dan diperbuat daripada kulit ikan pari, kambing, lembu dan lain-lain di mana teksturnya cukup lembut dan selesa apabila digayakan,” katanya.
Selain itu, koleksi pada kali ini juga mengambil inspirasi daripada seni hiasan lukisan oleh seorang pelukis bernama Tamara de Lempicka. Reka bentuk beg juga dipengaruhi oleh ilustrasi fesyen, Paul Poiret, yang bijak mencipta sesuatu melalui sudut menarik pada badan lalu menjadikannya satu seni.
Gabungan alam semula jadi dan bahan sintetik adalah pengaruh selanjutnya.
Mainan warna seperti hijau tua, jingga, ungu, merah saga, kelabu dan biru digunakan selain hitam dan coklat yang tetap punyai peminat setia.
Pengenalan kepelbagaian rona itu serasi dengan kumpulan penggemarnya yang kini tidak lagi terdiri daripada golongan berusia semata-mata, sebaliknya menjangkiti eksekutif muda dan remaja.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20