Bela Haiwan Bagai Manusia

KANAK-kanak umpama helaian kain putih yang bersih tanpa sebarang noda. Tugas mencorak kehidupan mereka termasuk membentuk peribadi mulia serta menanam sifat saling kasih mengasihani terhadap insan dan alam, terletak pada bahu ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Golongan cilik itu perlu disemai dengan rasa tanggungjawab terhadap perbuatan yang mereka lakukan termasuk kesan dan akibat daripada keputusan mereka ambil terhadap sesuatu perkara.

Begitu juga halnya dalam memupuk rasa tanggungjawab dan kasih terhadap haiwan, sekali gus menanam pekerti terpuji dalam diri anak-anak kerana mereka tahu menghormati makhluk di dunia dan mempunyai sifat baik hati yang menjadi komponen penting dalam keseluruhan hidup mereka.

Anak-anak perlu diberi panduan hidup sebaiknya, antaranya mendidik mereka supaya tidak melakukan kekejaman terhadap haiwan.

Kanak-kanak perlu diajar erti kasih sayang dan saling menghormati sejak kecil, bukan saja sesama insan, malah terhadap haiwan termasuk yang dipelihara keluarga dan yang ada di sekeliling mereka.

Ini kerana kekejaman terhadap haiwan boleh berlaku di mana-mana, sama ada dalam bentuk deraan fizikal atau pengabaian pada keperluan dan kebajikan haiwan itu sehingga ia menderita, kesakitan atau mati.

Semua haiwan peliharaan termasuk kucing, arnab dan hamster, perlu dijaga dan diberi limpahan kasih sayang, diberi makanan secukupnya, dibelai serta dijaga kebersihan dan kesihatannya.

Seperti manusia, haiwan juga mempunyai ingatan serta perasaan sensitif dan boleh merajuk sekiranya dimarahi atau dikasari tuannya.

Maka layanan yang baik kepada makhluk berkenaan seharusnya menjadi salah satu tabiat baik yang perlu disemai dalam jiwa setiap kanak-kanak supaya ia menjadi amalan dalam kehidupan seharian mereka.

Kasih sayang adalah antara komponen penting penting dalam membentuk sebahagian jati diri kanak-kanak yang akan membesar sebagai golongan penyayang dan insan lebih bertanggungjawab.

Kanak-kanak perlu diajar bahawa mereka seharusnya menjaga kebajikan haiwan yang dipelihara termasuk membawanya berjumpa doktor haiwan sekiranya ia jatuh sakit.

Mereka juga perlu tahu haiwan perlu dibelai dengan penuh kasih kerana ia boleh memberikan impak positif kepada perkembangan haiwan itu tadi.

Ibu bapa perlu selalu mengingatkan anak mereka supaya tidak menganiaya binatang sama ada dengan mendera secara fizikal atau tidak memberinya makanan secukupnya.

Haiwan juga tidak sepatutnya sentiasa dikurung di dalam sangkar kerana ia akan menjadi murung, sebaliknya dibiarkan bergerak bebas di kawasan rumah serta diajak bermain supaya ia sentiasa aktif dan gembira.

Tempat tinggal haiwan peliharaan juga perlu dijaga supaya sentiasa berada dalam keadaan bersih bagi mengelak mereka terdedah kepada jangkitan yang boleh mengakibatkan penyakit.

Tidak ketinggalan, haiwan perlu dimandikan supaya ia tidak kotor hingga memudahkannya mendapat jangkitan yang menjejaskan kesihatan serta memberikan tempat tidur yang bersih dan selesa.

Ibu bapa perlu bertegas walaupun memberi kebenaran kepada anak mereka untuk memelihara haiwan dengan meletakkan syarat supaya ia dipelihara dengan baik.

Pada masa sama, kanak-kanak perlu diajar supaya tidak hanya melihat sebaliknya membantu menghalang kekejaman yang dilakukan terhadap binatang dengan menghubungi pihak berwajib termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam penjagaan kebajikan haiwan.

Pengerusi Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Binatang (SPCA), Christine Chin berkata, kesedaran yang boleh disemai melalui kempen berterusan sangat penting bagi memberi pengetahuan kepada orang ramai mengenai pencegahan terhadap kekejaman binatang.

Cara paling berkesan bagi menyemai sifat sayang pada haiwan serta mencegah penganiayaan terhadap haiwan di kalangan masyarakat sebenarnya bermula dari usia kanak-kanak lagi kerana golongan ini adalah generasi muda yang akan menerajui generasi seterusnya.

“Kami berharap lebih banyak lagi organisasi akan mengambil langkah positif dengan membabitkan diri menjalankan kempen mencegah kekejaman terhadap haiwan,” katanya pada program Teaching Kids To Care, baru-baru ini.

Aktiviti berkenaan yang dijalankan dengan kerjasama sukarelawan Care daripada Hotel DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur, memfokus kepada pendidikan yang memberi panduan penjagaan haiwan serta mengajar kanak-kanak mengenai pencegahan kekejaman terhadap binatang.

Program interaktif selama setengah hari itu turut menyaksikan kumpulan kanak-kanak berumur antara sembilan hingga 12 tahun daripada Persatuan Kebajikan Living Hope diajar mengenai cara yang betul untuk memelihara binatang.

Dia berharap program berkenaan dapat menyemai rasa tanggungjawab di kalangan kanak-kanak serta mampu memberikan impak besar kepada diri mereka jika pendidikan bermula dari usia muda.

Teaching Kids To Care yang ditubuhkan pada 2002 ialah sebuah komuniti sukarelawan daripada Hotel DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur dan mempunyai lebih daripada 150,000 pelajar di sekolah kebangsaan dan organisasi belia.

Ia juga berperanan mengajar kanak-kanak mengenai menjaga persekitaran alam sekitar untuk komuniti dan di seluruh dunia. Persatuan Living Hope pula ditubuhkan pada Julai 2007 oleh sekumpulan sukarelawan dengan misi untuk menyediakan bantuan makanan dan pelajaran kepada kanak-kanak kurang berkemampuan di Malaysia dan luar negara.

Persatuan itu yang beroperasi di seluruh dunia termasuk Malaysia, Singapura, Filipina, India, China, Bangladesh sudah membantu seramai 29,107 kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

820 views