Beli Gincu Bantu Mangsa HIV, Aids

TAHUKAH anda dengan membeli sebatang gincu mampu menampung bekalan tablet selama 87 hari untuk kanak-kanak yang dijangkiti HIV dan Aids di seluruh dunia?

Tahukah sebatang gincu itu juga mampu membekalkan lima hidangan sehari bagi seorang yang tinggal di rumah perlindungan HIV dan Aids, selain membekalkan wang pengangkutan untuk empat pesakit bagi membolehkan mereka menjalani rawatan di hospital?

Menerusi hasil jualan RM68 bagi sebatang gincu Viva Glam daripada jenama popular dunia, Mac Cosmetics, ia turut mampu membekalkan satu hidangan lengkap bagi kumpulan sokongan pesakit HIV dan Aids selama dua hari serta nilainya sama dengan pembelian lima pek snek makanan seperti susu, jus, buah-buahan, yogurt dan roti.

Secara keseluruhannya, ia bukan saja dapat membantu meningkatkan kualiti hidup mereka malah pada masa sama, memberi harapan serta kesedaran baru kepada masyarakat bahawa HIV dan Aids bukanlah penamat kehidupan.

Pengarah Urusan Estee Lauder Companies Malaysia, Paul Slavin, berkata jumlah itu mungkin kecil di kalangan kita tapi besar ertinya pada mereka yang hidup dengan HIV dan Aids.

“Bagi mereka, jumlah RM68 itu banyak membantu untuk mereka meneruskan rawatan dan menjalani kehidupan seperti individu lain. Setiap wanita pasti memiliki sekurang-kurangnya sebatang gincu dan Mac menjadikan pembelian gincu mereka lebih bermakna,” katanya.

Berbanding hasil jualan tahun lalu yang mencecah RM400,000, Mac kali ini menyumbang RM550,872 kepada Majlis Aids Malaysia bagi membantu membiayai lima organisasi perlindungan HIV dan Aids iaitu Persatuan Wahidayah Malaysia, Pertubuhan Komuniti Cakna Kuala Terengganu (Cakna), Persatuan Perkhidmatan Sokongan Aids Kota Kinabalu (Kasih), Persatuan Kesihatan dan Wanita Kuala Lumpur (Wake) dan Persatuan Kumpulan Sokongan Aids Sandakan (Saga).

Sekumpulan jurusolek Mac dari beberapa cawangan sekitar Lembah Klang tidak ketinggalan menyemarakkan kempen kesedaran itu dengan demonstrasi solekan bibir menggunakan gincu Viva Glam Ricky Martin dan Nicki Minaj di pusat beli-belah Sogo, Sabtu lalu, sambil dibantu selebriti reben merah antaranya pelakon Fahrin Ahmad dan Dayang Nurfaizah.

Menurut Slavin, sambutan Hari Aids Sedunia pada 1 Disember lalu menjadi platform terbaik untuk Mac saling membantu meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan Aids di kalangan masyarakat tempatan dan dunia secara keseluruhannya.

“Setiap hari ialah Hari Aids Sedunia di Mac. Justeru, kempen jualan gincu Viva Glam ini berlangsung sepanjang tahun dan setiap keuntungan yang diperoleh akan dimasukkan ke dana Aids Mac.

“Ditambah dengan sokongan daripada selebriti dunia, kempen ini mendapat sokongan menggalakkan dan diharapkan lebih ramai menyedari apa yang kami lakukan untuk meringankan bebanan golongan yang hidup dengan HIV dan Aids ini,” ujarnya.

Setiap tahun, Mac menampilkan beberapa selebriti berpengaruh menjadi wajah dan jurucakap Viva Glam antaranya Fergie daripada kumpulan Black Eyed Peas, Eve, Pamela Anderson, Dita Von Teese, Lisa Marie Presley, Cyndi Lauper dan Lady Gaga.

Nicki Minaj dan penyanyi latin sensasi, Ricky Martin bergabung tenaga bagi kempen tahun ini dengan memperkenalkan gincu, pengilat bibir serta pelembap bibir Viva Glam.

Gincu Viva Glam Nicki menampilkan kilauan rona merah jambu kekuningan, sementara pengilat bibirnya terarah kepada warna merah jambu terang, dan kedua-duanya disertai tanda tangan pelantun lagu Super Bass itu di bahagian luarnya.

Pelembap bibir Ricky pula mengandungi minyak badam, mentega shea, ekstrak avokado, minyak germa gandum serta vitamin A dan E untuk membantu mengekalkan kelembapan pada bibir, di samping melindunginya daripada kesan pencemaran sekeliling.

Istimewa sempena musim perayaan dan cuti hujung tahun ini, kombo Viva Glam ini hadir dalam beg comel pada harga RM150.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,250 views