Bentuk Semula Permukaan Kornea
Pemakaian cermin mata, kanta lekap dan pembedahan refraktif seperti laser in-situ keratomileusis (LASIK), laser epithelial keratolileusis (LASEK) dan foto refraktif keratektomi (PRK) adalah kaedah lazim bagi membetulkan rabun dekat (hyperopia), rabun jauh (myopia) dan rabun silau (astigmatism) berdasarkan kepada keperluan setiap individu dengan masalah penglihatan itu.
Bagaimanapun, kaedah paling mudah adalah memakai cermin mata, namun sama ada cermin mata dipakai atau tidak, kerabunan meningkat dengan kerap khasnya kepada individu rabun yang banyak terbabit dalam kerja-kerja dekat secara berterusan tanpa rehat. Bagi masalah rabun dialami kanak-kanak sebelum persekolahan, penambahan tahap kerabunan berlaku sehingga mereka dewasa iaitu apabila usia meningkat 18 hingga 25 tahun.
Segelintir mereka yang rabun ini mungkin terfikir alangkah bagus jika boleh membetulkan masalah penglihatan yang dialami tanpa terlalu bergantung pada cermin mata dan kanta lekap yang perlu dipakai setiap masa untuk melihat dengan lebih jelas atau menjalani pembedahan mata.
Sebenarnya memang ada kaedah membetulkan rabun menerusi teknologi ortokeratologi atau lebih dikenali sebagai Ortho-K yang tidak perlu penggunaan cermin mata atau kanta lekap yang biasa dipakai buang. Ia juga alternatif yang lebih baik bagi mereka yang berisiko untuk menjalani pembedahan mata.
Pegawai Optometri, Home Work Optometry Care, Liew Mei Lin berkata ortokeratologi adalah revolusi rawatan untuk membaiki penglihatan menggunakan kanta lekap terapeutik yang direka khas dan dipakai ketika tidur sahaja dan teknologi baru Ortho-K mampu memulihkan dan mengurangkan masalah rabun jauh, rabun dekat dan rabun silau melalui perubahan permukaan kornea dengan penggunaan kanta lekap separa keras telus gas atau ‘gas permeable’ (GP).
Kanta lekap GP ini berbeza dengan kanta lekap biasa jenis lembut apabila dihasilkan daripada bahan khas ‘space age oxygen breathing material’ yang berteknologi tinggi.
Malah, kanta ini juga mempunyai reka bentuk khas pada permukaan cekung dengan menggunakan teknologi geometri songsang yang dapat mewujudkan tekanan cecair dinamik yang berupaya meratakan profil kornea. Tekanan cecair yang terbentuk akibat rekaan khas kanta Ortho-K bersama dengan penutupan kelopak mata menstabilkan kedudukan kanta ketika tidur.
Tindakan ini berjaya mewujudkan kuasa pembetulan dalam rawatan ortokeratologi untuk membentuk semula permukaan kornea dalam rawatan kuasa refraksi.
“Rabun jauh berlaku apabila bentuk kornea terlalu melengkung atau bola mata yang memanjang dan rabun dekat pula disebabkan bentuk kornea yang lebih rata atau bola mata yang lebih memendek, manakala rabun silau terjadi apabila bentuk kornea tidak sekata dan membiaskan cahaya ke titik fokus yang berlainan. Oleh itu, fungsi unik Ortho-K akan membentuk semula permukaan kornea mata ke tahap kelengkungan kornea yang diingini ketika tidur sekali gus dapat membentuk imej yang jelas di titik fokus retina.
“Apabila bangun tidur, kanta Ortho-K harus ditanggalkan dan kuasa rabun mata akan menurun secara beransur-ansur hinggalah mendapat penglihatan yang jelas. Secara amnya, kuasa refraksi akan menurun sebanyak -1.00D hingga -1.50D dalam tempoh semalaman pemakaian. Misalnya, seseorang mengalami masalah rabun dengan kuasa refraksi kira-kira -3.00 diopter (D), selepas pemakaian semalaman kuasa refraksi menurun kepada -2.00D dan hari ketiga turun lagi -1.00D.
“Rawatan yang selamat dan berkesan ini mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk mendapatkan penglihatan yang terbaik dan stabil bergantung kepada status refraksi mata sebelum rawatan. Selepas dua minggu, kuasa refraksi akan berhenti menurun dan fungsi berikutnya adalah mengekalkan tahap penglihatan yang sudah mencapai kestabilan.
“Bagaimanapun, kadar kuasa refraksi yang menurun mungkin berbeza bagi setiap orang disebabkan komposisi tisu mata berikutan ada orang yang mempunyai struktur kolagen yang lebih tegar,” katanya.
Liew berkata, kornea adalah lapisan lutsinar di depan iris (mata hitam) dan ia adalah struktur mata yang amat penting dalam peranan penglihatan kerana ia menyumbangkan 60 peratus keupayaan penglihatan seseorang. Oleh itu, dengan mengubah bentuk permukaan kornea, tahap penglihatan dapat diperbetulkan sama seperti dalam rawatan LASIK melalui pembuangan sel tisu kornea dengan laser ‘excimer’.
“Kanta Ortho-K direka khas mengikut profil atau kontur mata seseorang yang perlu diukur dengan topografer berasaskan prinsip teknologi satelit dalam pengukuran kontur geografi permukaan bumi. Oleh itu, kanta Ortho-K dihasilkan dengan ketepatan yang amat tinggi untuk memberikan rawatan yang terbaik.
“Malah, pengguna juga tidak perlu risau memakai kanta Ortho-K ketika tidur kerana bahan yang digunakan dalam pembuatan kanta ini adalah bahan yang hipoalergik iaitu tidak menyebabkan reaksi alahan dengan tahap ketelusan oksigen yang tinggi ke lapisan kornea mata berbanding dengan kanta lekap jenis lembut. Kanta Ortho-K ini juga mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan selamat digunakan ketika tidur.
“Selepas pemakaian kanta Ortho-K sepanjang malam, bentuk kornea yang baru akan memberi penglihatan yang kekal jelas sepanjang hari. Kesan ini lebih ketara selepas bentuk kornea baru mencapai tahap stabil dalam masa lebih kurang dua minggu. Bagi mengekalkan penglihatan yang jelas atau untuk mengawal tahap rabun supaya kekal stabil, penggunaan kanta Ortho-K mestilah berterusan. Kegagalan dalam pemakaian kanta Ortho-K boleh mengganggu keberkesanan dalam rawatan pemulihan penglihatan ini sebagaimana dalam rawatan ortodontik,” katanya.
Dalam rawatan ortodontik, pendakap gigi (braces) dipasang untuk menyusun semula kedudukan gigi yang tidak teratur supaya berada di tempat sepatutnya. Setelah rawatan selesai, pendakap gigi dibuka dan pengguna masih perlu memakai alat pemegang (retainer) untuk tempoh ditetapkan pada gigi yang sudah teratur supaya kedudukannya tidak lari. Biasanya, alat pemegang ini tidak ketara dalam mulut dan mudah dipakai, malah pemakaiannya juga kadangkala dihadkan pada waktu malam saja mengikut kesesuaian rawatan.
Menurut Liew, Ortho-K yang mendapat kelulusan FDA Amerika Syarika sejak 1998 adalah satu daripada kaedah terbaik untuk memulihkan penglihatan dan menstabilkan masalah rabun tanpa sebarang pembedahan atau pembuangan sel-sel mata dan amat disyorkan kepada golongan yang tidak sesuai menjalani rawatan LASIK seperti individu dengan lapisan kornea yang nipis, juruterbang, polis, tentera dan penyelamat serta mereka yang tidak menggemari penggunaan cermin mata atau kanta lekap ketika menceburi aktiviti luar seperti bersukan dan berenang.
“Sesiapa sahaja yang sesuai untuk menggunakan kanta lekap boleh mencuba kaedah Ortho-K dan seelok-eloknya bagi mereka yang mengalami rabun jauh yang tidak melebihi -6.00D dan rabun silau yang kurang daripada -1.75D. Namun, pusat kami pernah melanjutkan rawatan Ortho-K kepada pesakit yang mengalami masalah rabun dengan kuasa refraksi setinggi -8.00D dan selepas penggunaan Ortho-K tahap kerabunannya menunjukkan pengurangan yang ketara dan berupaya mengurangkan kebergantungan terhadap pemakaian cermin mata.
“Ortho-K juga amat sesuai untuk kanak-kanak kerana rabun mata mereka sukar dikawal dan kerap bertambah teruk disebabkan penggunaan peralatan elektronik yang beterusan. Pasti ramai ibu bapa yang risau dan ingin tahu cara paling efektif dan selamat untuk mengawal kondisi mata anak. Peningkatan refraksi rabun jauh secara berterusan boleh meningkatkan risiko penanggalan lapisan retina (retinal detachment) dan juga glaukoma. Oleh itu, amat penting memberi keselesaan kepada kanak-kanak rabun dan menentukan mereka dapat melihat sejelas mungkin di peringkat pembelajaran dengan mengawal peningkatan rabun sejak kecil.
“Kajian beberapa universiti terkemuka sejak 2002 menunjukkan bahawa Ortho-K dapat mengelakkan rabun jauh daripada meningkat dalam kalangan kanak-kanak. Ortho-K juga sesuai bagi kanak-kanak rabun yang kerap menghilangkan atau merosakkan cermin mata atau tidak gemar memakai cermin mata kerana tidak selesa. Bagi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun mungkin memerlukan bantuan ibu bapa untuk memakai kanta lekap ini,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun penggunaan kanta Ortho-K tidak digalakkan bagi mereka yang menghidap penyakit mata, kecederaan atau radang yang memberi kesan pada kornea, konjunktiv atau kelopak mata, mereka yang mengalami masalah mata kering yang kronik, menghidap penyakit sistemik badan yang boleh mengganggu bahagian kornea mata dan mempunyai alahan terhadap bahan
yang terkandung dalam sistem atau cecair pencucian kanta.
Mereka yang berminat dalam rawatan Ortho-K wajar mendapatkan khidmat nasihat dan penjagaan rawatan daripada pengamal Orhto-K yang terlatih. Pengamal Ortho-K adalah pegawai optomeri bertauliah yang menerima latihan khas dalam bidang ortokeratologi. Walaupun Ortho-K adalah sistem kanta lekap yang mudah dan selamat digunakan, penjagaan yang rapi dan betul adalah penting untuk memastikan rawatan yang efektif.