Bentuk Tabiat Pemakanan Sihat
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di seluruh dunia akan mempunyai berat badan berlebihan, manakala 700 juta daripadanya mengalami masalah kegemukan keterlaluan atau obesiti.
Apa yang membimbangkan, masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin menular tahun demi tahun di negara-negara membangun. Di Malaysia, sehingga 2010, peningkatan kes obesiti yang direkodkan dalam kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.
Masalah ini menjadi lebih serius apabila meningkatnya risiko kesihatan lebih kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan sistem pernafasan dan perkumuhan serta kanser. Apakah faktor menyumbang kepada masalah kegemukan dalam kalangan kanak-kanak ini?
Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pakar Program Kanak-Kanak Sihat Nestle (NHK), Dr Tee E Siong, faktor utama penyumbang masalah obesiti kanak-kanak adalah pengambilan nutrisi tidak seimbang atau makanan dengan kadar banyak atau terlalu kurang.
Katanya, kanak-kanak sememangnya gemarkan makanan ringan seperti keropok, coklat, jeruk serta makanan segera yang tidak mempunyai zat seimbang untuk tumbesaran mereka. Ini disebabkan mereka terpengaruh dengan rasa, pembungkusan dan promosi iklan atau jualan dilakukan pengeluar dan juga penjual.
Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting membentuk tabiat pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak serta membekalkan nutrisi seimbang sejak awal kelahiran lagi. Ini boleh dipastikan dengan memberikan susu ibu sepenuhnya sehingga enam bulan pertama kemudian bersambung sehingga dua tahun.
“Apabila kanak-kanak ini mula bersekolah, pendidikan mengenai pemilihan makanan seimbang boleh diberikan guru-guru di sekolah. Namun begitu, walaupun terdapat kurikulum mengenai pemakanan seimbang di sekolah, tetapi tidak begitu jelas dan terperinci, malah guru-guru juga tidak dilatih sepenuhnya bagi memberikan latihan serta pengajaran kepada pelajar secara eksklusif ,” katanya.
Menyedari pentingnya meningkatkan pengetahuan pemakanan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak, bermula Ogos 2010, Nestle (Malaysia) Berhad dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia melaksanakan program Kanak-Kanak Sihat Nestle yang bukan saja memberi manfaat kepada kanak-kanak malah ibu bapa dan guru amnya.
Ini secara tidak langsung mendedahkan ibu bapa kepada corak serta gaya pemakanan sihat di samping memainkan peranan penting dalam tabiat pemakanan anak masing-masing supaya mereka membesar menjadi dewasa yang sihat dan memberi sumbangan kepada keluarga dan negara.
Menurut Dr Tee, program NHK terbahagi kepada dua bahagian iaitu memberi kesedaran kepada khalayak ramai dan kajian penyelidikan intervensi jangka panjang bagi membentuk, melaksana dan menilai keberkesanan modul pendidikan pemakanan dan aktiviti yang diadakan di sekolah-sekolah terbabit.
Program ini membabitkan 2,600 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun yang diberi pendedahan menerusi bengkel pemakanan dan kesihatan, pameran dan program intervensi.
“Matlamat utama pada akhir program ini adalah membentuk modul pendidikan yang boleh digunakan Kementerian Pelajaran bagi pelaksanaan program kesihatan di sekolah rendah di Malaysia,” katanya.
Dalam pembentangan hasil kajian pada bengkel ibu bapa dan guru anjuran Nestle Malaysia di Kuala Lumpur, Dr Tee mendedahkan, kanak-kanak yang terbabit dalam program ini menunjukkan minat memberangsangkan hanya selepas setahun kajian dijalankan dengan peningkatan pengetahuan, sikap dan amalan terhadap pemakanan mereka.
Kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak menunjukkan peningkatan dalam skor pengetahuan mereka dalam kesemua enam modul pendidikan pemakanan dan kesihatan yang diajar kepada mereka.
“Hasil menggalakkan ini diperoleh pada akhir tahun pertama pelaksanaannya dan ia turut menunjukkan kanak-kanak mendapat pengajaran daripada program berkenaan. Hari ini (bengkel) ibu, bapa dan guru yang hadir turut dimaklumkan bahawa kanak-kanak menunjukkan peningkatan dalam amalan sihat dengan lebih ramai murid membuat pilihan makanan yang lebih menyihatkan berbanding pada awal program berkenaan,” katanya semasa membentangkan laporan NHK.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal-Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Zainun Nur Abdul Rauf, pelaksanaan program ini tepat pada masanya, memandangkan orang ramai dan kerajaan kini semakin prihatin terhadap kes penyakit tidak berjangkit yang kian meningkat.
“Apa yang membimbangkan, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi semakin bertambah setiap tahun.
Bagi kami, apa yang lebih penting bukan saja memastikan produk kami membantu mengurangkan masalah-masalah ini, tetapi juga menggalakkan tabiat pemakanan dan gaya hidup sihat secara lebih aktif dalam kalangan pengguna.
“Nestle memberi sumbangan dari segi pengetahuan pemakanan dengan menggunakan pendidikan sebagai kaedah membantu kanak-kanak memahami nilai pemakanan dan aktiviti fizikal.
“Dua perkara ini akan memperkasakan mereka dalam membuat pilihan yang tepat berkaitan tabiat pemakanan dan gaya hidup sihat,” tambahnya.
Beliau turut memberitahu, program ini membabitkan lebih 60 buah negara di seluruh dunia dan pihaknya akan meningkatkan jumlah itu dalam tempoh tiga tahun lagi. Melalui program pemakanan sihat ini pihaknya mensasarkan lebih enam juta kanak-kanak seluruh dunia mendapat manfaat daripadanya menjelang 2014.
Bengkel pada petang itu turut disertakan perbincangan panel oleh pakar-pakar pemakanan seperti Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr.
Norimah A. Karim, Ahli Majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Dr. Zawiah Hashim dan wakil daripada Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia, Dr. Chin Yit Siew.
Menurut Dr Chin Yit Siew, pendidikan dalam pemilihan makanan yang betul harus diberikan kepada ibu bapa kerana mereka berperanan menyediakan keperluan makanan seimbang sejak anak dilahirkan sehingga dewasa. Ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada garis panduan pemakanan Malaysia atau piramid makanan yang memberikan senarai berguna mengenai pemakanan seharian.
“Namun begitu makanan tanpa aktiviti fizikal juga masih belum cukup dan inilah yang ingin kami tekankan kepada ibu bapa, guru dan juga kanak-kanak supaya mereka dapat menyeimbangkan keperluan harian bukan saja pada pengambilan makanan tetapi senaman,” katanya.
Ibu bapa boleh menyediakan cara hidangan yang pelbagai bukan dengan cara menggoreng tetapi kukus, panggang, bakar dan rebus dengan memastikan mengambil tiga jenis sajian sayur-sayuran dan dua jenis buah-buahan dalam setiap hidangan.
“Mungkin bagi kanak-kanak, menu sayur-sayuran tidak menjadi pilihan mereka, dalam hal ini ibu bapa perlu bijak memilih sayur-sayuran pelbagai warna dengan cara masakan berbeza setiap hari. Apa yang penting pastikan dalam setiap hidangan seimbang, pelbagai serta mengikut piramid makanan,” katanya.
Pada majlis itu juga turut diadakan demonstrasi masakan sihat oleh chef selebriti Florence Tan yang menunjukkan cara mudah menyediakan tiga jenis makanan berkhasiat untuk anak-anak iaitu salad segar, jus tembikai susu dan lempeng pisang.
Panduan pemakanan seimbang
Makan nasi, produk bijirin dan ubi terutama bijian penuh yang mencukupi.
Ini termasuk nasi, produk bijirin seperti mi, roti dan gandum atau ubi seperti kentang dan keledek pada setiap hidangan.
Pilih produk bijirin seperti roti, biskut yang tinggi serat dan rendah lemak, gula dan garam.
Bijian penuh mengekalkan kesemua bahagian bijirin asli iaitu bran dan germ. ia mengandungi pelbagai vitamin, mineral, fitokimia (bahan kimia tumbuhan) dan serat berbanding bijirin terproses.
Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
Makan sekurang-kurangnya tiga hidangan sayur-sayuran dan dua hidangan buah-buahan setiap hari.
Amalkan kepelbagaian dengan makan buah dan sayuran berlainan setiap hari.
Ambil sayuran berdaun hijau gelap dengan batang boleh dimakan seperti sawi atau kailan setiap hari atau sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu.
Ambil sayur-sayuran buah dan akar seperti tomato, peria, kacang bendi, lobak merah dan sayur-sayuran tidak berdaun seperti bunga kubis, brokoli beberapa kali seminggu.
Fitokimia dalam buah dan sayuran memberikan warna hijau, merah, oren, kuning dan ungu yang menjadikannya menarik. Kebanyakan fitokimia bertindak sebagai antioksidan dan melindungi sel tubuh.
Makan ikan, daging, ayam, itik, telur, kacang dan bijian secara sederhana.
Ambil daging, ayam dan itik secara sederhana.
Ambil telur dalam jumlah sederhana sehingga purata sebiji sehari (seluruh atau dalam hidangan).
Ambil produk kekacang setiap hari seperti kacang pis atau dal ke dalam sup atau sediakan produk kekacang seperti tempe dan tauhu.
Ambil kacang sekurang-kurangnya sekali seminggu sebagai snek atau pengganti daging, ayam dan itik dalam masakan.
Ikan membekal protein, vitamin B dan iodin. Ikan bersaiz kecil dengan tulang boleh dimakan membekalkan kalsium. Kebiasaannya ia lebih rendah kandungan kolesterol berbanding daging, ayam dan itik. Sesetengah ikan tiada kandungan asid lemak omega 3 yang dikaitkan dengan penyakit darah tinggi dan jantung.
Ambil jumlah susu dan produk tenusu yang mencukupi.
Susu adalah makanan berkhasiat mengandungi pelbagai nutrien penting. Jadi individu daripada semua peringkat usia harus mengambil susu dan produk tenusu setiap hari.
Tambahkan susu ke dalam makanan dan minuman.
Pilih susu rendah lemak jika anda perlu mengurangkan berat badan berlebihan.
Gunakan susu tepung atau cecair bukannya pekat manis dan susu pekat sejat manis.
Jika pengambilan susu menyebabkan anda rasa kembung, cirit-birit atau muntah, anda mungkin tidak boleh mengambil laktosa. Namun anda masih boleh menikmati manfaat dengan memilih produk tenusu bebas seperti dadih dan keju.
Makan secara pintar.
Mengamalkan diet seimbang untuk memperoleh nutrien dalam kombinasi sepatutnya.
Memakan pelbagai jenis makanan dan pastikan memilih makanan sihat.
Mengambil makanan secara sederhana bermakna mengambil jumlah makanan sesuai untuk mengekalkan berat badan sihat dan mengoptimumkan proses metabolisme badan.
Mengambil makanan mengikut waktu makanan.