Berbekam Popular Di Gaza

DI SALAH sebuah kedai di Gaza, sekumpulan lelaki duduk berderet dan kelihatan balang kaca kecil melekat pada kaki, belakang badan dan muka mereka menyedut kulit dan darah keluar perlahan-lahan. Di negara lain, berbekam sudah lama diamalkan, tetapi di Semenanjung Gaza, ia kini menjadi kegilaan baru.

Berbekam adalah kaedah perubatan alternatif kuno yang dipercayai boleh memperbaiki aliran darah dan membantu mengurangkan pelbagai kesakitan daripada sakit kepala hinggalah sakit sendi (artritis). Di Barat, terapi kuno ini dikenali sebagai sebahagian daripada kaedah perubatan tradisional Cina.

Namun bagi penduduk Gaza, berbekam bukan sekadar untuk mendapatkan manfaat kesihatan, tetapi bagi mereka ia sebahagian daripada cara menjadi Muslim yang taat.

Di Gaza, kaedah berbekam dipanggil hijama, memang diamalkan dalam Islam, malah Nabi Muhammad s.a.w sendiri turut menyarankannya sambil menyebutnya sebagai penawar terbaik.

Sebenarnya ada beberapa kaedah berbekam. Di Gaza, kaedah berbekam yang diamalkan berbeza sedikit kerana kulit dicalarkan terlebih dulu dan darah disedut oleh bekas hampa gas (vakum) dengan menyalakan api di dalam balang kaca kecil.

Anwar Sheikh-Eid, 42, penasihat veterinar lulusan Universiti Baghdad, mengamalkan kaedah berbekam sejak 15 tahun lalu.

“Ada banyak buku menyatakan bahawa Rasulullah diriwayatkan mengesyorkan melakukan hijama pada dua pembuluh darah di tepi leher dan bawah tengkuk,” katanya yang ditemui di kedainya di selatan bandar Rafah di Semenanjung Gaza.

“Tetapi baginda juga menggunakan kaedah hijama ini di atas kepala, pinggul terutama di tempat yang sakit selain di atas kaki,” sambungnya.

Bagaimanapun, komuniti perubatan moden mempunyai pandangan berbeza mengenai keberkesanan dan manfaat berbekam.

Sememangnya kaedah rawatan alternatif ini boleh menyebabkan ramai berasa ngeri melihatnya, tetapi penga malnya tegas menegakkan keberkesanan berbekam. Ramai umat Islam di negara itu menyarankan untuk berbekam tiga kali sebulan.

“Ia membantu saya berasa tenang. Saya boleh tidur dengan nyenyak dan rasa lebih bertenaga. Kini saya menyarankan kawan-kawan untuk mencuba.

“Tetapi anda perlu mencari pemberi rawatan berpengalaman yang tahu apa dilakukannya dan pastikan semua peralatan digunakannya bersih,” kata Jamil al-Dayya, doktor gigi yang berumur 60 tahun.

Atas sebab ini, dia memilih Sheikh-Eid. Mejanya dipenuhi balang kaca mengandungi pelbagai herba dan bau cuka epal buatan sendiri memenuhi biliknya.
Cuka adalah bahan penawar alternatif untuk membuang toksin daripada badan.

Menurut Sheikh-Eid, pelanggannya terdiri daripada pelbagai peringkat umur, latar belakang dan mempunyai sasaran berbeza. Ada sesetengahnya datang untuk mendapatkan kelegaan bagi kesakitan atau tekanan, ada yang datang bagi berasa diri dekat dengan Rasulullah.

Kata Sheikh-Eid lagi, bagi mereka yang jarang melihat kaedah berbekam, rawatan alternatif itu kelihatan agak mengerikan, tetapi ia tidak menyakitkan. Sekeping kertas dibakar dan diletakkan dalam balang kaca sebelum balang berkenaan ditekap pada kulit. Kulit kemudian akan kelihatan ‘disedut’ dan darah keluar perlahan-lahan memasuki balang kaca.

“Ini lebih kurang sama dengan menjalani ujian darah. Hijama bukan kaedah ujian darah dan ia tidak masuk ke dalam salur darah pun,” katanya.

Berdasarkan maklumat orang yang selalu menjalani rawatan alternatif itu, berbekam atau hijama tidak asing bagi penduduk Gaza.

Shaaban Assad, bekas pengurus di Kementerian Kesihatan Gaza, mendakwa kaedah berbekam diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ia terbukti dapat membantu merawat pelbagai jenis penyakit, menguatkan sistem imun dan merendahkan tekanan darah.

“Bagaimanapun, sebelum menjalani rawatan, kita perlu pastikan semua peralatan yang digunakan bersih. Kekurangan pengalaman di kalangan sesetengah perawat yang mendakwa mereka boleh melakukannya boleh menyebabkan masalah kesihatan,” jelasnya.

Pakar perubatan tradisional WHO, Dr Qi Zhang berkata, sehingga kini pertubuhan itu belum menjalankan sebarang penyelidikan atau memberi pengiktirafan rasmi kepada kaedah berbekam.

Katanya, teknik berbekam sebenarnya sudah lama digunakan pengamal perubatan tradisional di China, tetapi kaedah berbekam di tanah besar itu jarang membabitkan pengeluaran darah.

Pun begitu, kaedah berbekam memang popular, malah ia turut diamalkan di seluruh negara Teluk, kata Zhang.

Pada 2009, WHO mengeluarkan resolusi menyarankan semua negara untuk memasukkan perubatan tradisional dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan dan menggalakkan kerjasama antara pengamal perubatan konvensional (moden) dan tradisional. – AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

703 views