Bergaya Tetapi Patuhi Syariat
Tidak sampai setahun pembukaan butik Women of Jannah (WOJ) di Plaza Masalam, Shah Alam lima usahawan wanita terdiri daripada Mona Din, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, Nina Zulkifli, Jida Zulkifli dan Nor Azwin sudah menarik nafas lega apabila mampu merealisasikan impian mereka dengan pelancaran cawangan kedua WOJ di The Curve Mutiara Damansara April lalu.
Jika WOJ pertama hanya menempatkan 15 jenama saja, cawangan terbaru kini menambah kepada 22 jenama dengan label terbaru seperti Myneesa, Muneera Stylish Muslimah, Jannah Indah, Kreatif Tooba, Leanen Hamshi, Kassa, Falah Abiyana dan Cotton Embassy.
Menurut Mona Din, sejak dibuka Julai tahun lalu, WOJ menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah mendapat perhatian agensi kerajaan seperti Matrade yang ingin membantu wanita berniaga. Begitu juga dengan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat yang tampil menjalinkan kerjasama sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program latihan kepada ibu tunggal dan membangunkan pengilang di kawasan luar bandar.
Secara tidak langsung ia menggalakkan perkembangan ekonomi tempatan selain memberi peluang usahawan yang tidak mampu membuka butik di pusat beli-belah besar merealisasikan impian mereka.
“Sebagai pengusaha fesyen Muslimah saya akur dengan kemampuan usahawan Bumiputera yang ingin melebarkan perniagaan ke tempat lebih kukuh dan besar, tetapi kekangan modal sehingga perlu menyediakan RM500,000 termasuk kos operasi tentunya tidak mampu dimiliki usahawan tempatan. Tetapi menerusi perkongsian ini impian mereka dapat dicapai,” katanya.
Menurut Mona, keserasian, visi serta fokus yang sama, sanggup menyahut cabaran dan bekerja keras mencapai impian adalah ciri yang terdapat pada kelima-lima mereka seterusnya mencari kata sepakat, berkongsi idea dan modal membangunkan WOJ.
“Saya percaya usahawan yang bermula dari bawah dan merasai jatuh bangun dalam perniagaan sangat kuat semangatnya. Malah, kami berlima tidak mengambil sebarang dana kerajaan sebaliknya mengeluarkan duit poket sendiri. Dengan kepakaran dalam bidang masing-masing kami berkongsi ilmu dan kerja dapat diagih-agihkan di antara satu sama lain,” ujar Mona yang kini memiliki 12 butik termasuk yang terbaru UmraHajj.
Mensasarkan ingin menambah dua butik di pusat beli-belah besar di Lembah Klang seterusnya di Semenanjung Malaysia, Mona berharap perkongsian ini berjalan lancar tanpa ada rasa sengketa, dengki atau iri hati.
“Apa yang kami berikan adalah tapak untuk orang Melayu memulakan perniagaan mengikut cara Islam. Selain menyediakan pakaian mengikut syariat Islam, WOJ juga adalah ruang mendidik masyarakat menutup aurat dengan cara yang betul.
“Jika sebelum ini pemakaian tudung hanya sekadar ikut-ikutan, tetapi dengan adanya kepelbagaian jenama dapat meningkatkan pengetahuan mengenai tatacara berpakaian Muslimah yang betul,” ujarnya yang ingin memperkenalkan jenama tempatan di peringkat antarabangsa terutama di Timur Tengah.
WOJ mengetengahkan kepelbagaian gaya sama ada ke pejabat, santai atau menghadiri majlis makan malam. Ia membabitkan busana seperti gaun labuh, jubah, blaus, baju kurung, kemeja, kardigan, jaket dan pelbagai jenis tudung. Oleh itu pelanggan tidak perlu membeli-belah di tempat lain sebaliknya WOJ menjadi hab fesyen kepada semua.
“Inilah yang kami harapkan. Dengan adanya WOJ ia memberi peluang kepada wanita bergaya selain tidak melupakan syariat Islam. Kami sendiri sebagai pemilik WOJ amat menitikberatkan jenis pakaian dan juga konsep diketengahkan. Ini kerana kami mahukan semua pakaian yang terdapat di sini memenuhi ciri wanita Muslimah seperti labuh, tidak jarang dan ketat selain tampak moden dan sesuai untuk semua,” jelasnya.
Bagi memperkenalkan fesyen busana Muslimah di seluruh negara pada 13,14 dan 15 Jun ini, WOJ Wealth Sdn Bhd mengambil inisiatif dengan menganjurkan Pameran Perdagangan Fesyen Antarabangsa (KLIFH 2014) yang pertama di Malaysia berkonsepkan Islam. Pameran ini mensasarkan lebih 60,000 pengunjung dengan penyertaan bertaraf antarabangsa daripada usahawan Muslimah luar negara.
“Apa yang menariknya pameran selama tiga hari ini akan mengumpulkan seluruh jenis penggiat industri fesyen tempatan mahupun luar negara seperti pembekal fabrik, pembekal mesin jahit, pembekal aksesori, pereka fesyen, pemborong pakaian, peruncit dan pemilik jenama fesyen dan institusi dan kolej fesyen,” katanya.