Bergerak Sambil Bakar 400 Kalori

Apabila tiba waktu cuti atau hujung minggu, ada yang lebih gemar berehat di rumah atau mengunjungi pusat beli-belah untuk menghabiskan masa terluang.

Jarang kita membawa anak, isteri ataupun teman ke taman rekreasi untuk beriadah dan melakukan senaman, apatah lagi jika perlu bangun awal pagi.

Walaupun ramai yang tahu kebaikan senaman kepada tubuh badan, kesedaran untuk melakukannya masih belum dilihat begitu memberangsangkan.

Justeru, bagi menggalakkan aktiviti senaman, jurulatih kecergasan bertauliah, Adasandha Anuar memulakan program secara terbuka dan percuma kepada orang awam di Taman Tasik Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.

Program Zumba Fitness kali pertama ini bermula seawal jam 7.30 pagi, namun ia berjaya menarik perhatian orang awam yang berada di kawasan sekitar.

Bertambah menarik apabila alunan rancak bersama gerakan bertenaga yang ditunjukkan Adasanha dan peserta yang me-nyertai senaman Zumba.

Selain orang awam, ia juga disertai peserta daripada gabungan tiga program berlainan di bawah seliaan Adasandha.

Pada raut wajah jurulatih ini, lahir kepuasan dan kegembiraan kerana hasil usahanya itu setidak-tidaknya berjaya menarik perhatian orang awam yang berada di situ.

Ia menjadi pencetus semangat kepadanya untuk meneruskan program berkenaan sebulan sekali pada masa akan datang di kawasan riadah berbeza.

“Program percuma seumpama ini satu sumbangan kepada orang awam selepas saya terbabit kira-kira 10 tahun dalam bidang ini.

“Selain itu, ia juga diilhamkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Bagi saya, jika dia boleh melakukannya, kenapa tidak saya?

“Justeru, saya yakin dengan penganjuran senaman Zumba di tempat terbuka untuk menggalakkan orang awam bersenam tanpa kos yang tinggi,” katanya.

Ujarnya, itu antara senaman disarankan untuk individu yang mahu cergas dan sihat tanpa menggunakan banyak peralatan atau kos yang tinggi.

Pada program berkenaan, semua peserta yang hadir mendapat manfaat daripada gerakan senaman Zumba yang kebanyakan-nya diajar dalam kelas secara berbayar.

Bakar hingga 400 kalori

Program Zumba Fitness ini banyak kelebihannya. Bagi individu yang kurang faham mengenai senaman, sebenarnya tempoh satu jam yang diperuntukkan itu sudah mencukupi jika mahu mengekalkan kecegasan dan berat badan seimbang.

“Untuk program ini, 20 minit pertama disempurnakan dengan gerakan Zumba sebagai sesi pemanasan badan manakala 15 minit seterusnya dilengkapi latihan bebanan diri.

“Lima minit seterusnya pula saya lakukan asas gerakan yoga yang baik untuk sakit belakang dan sesi terakhir adalah gerakan regangan badan.

“Bagi saya, jika faham mengenai asas senaman dan kesannya, apa saja jenis makanan boleh dinikmati. Namun, ia perlu dilakukan dengan syarat bersenam secara konsisten dan minum air dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Kira-kira 250 hingga 400 kalori boleh dibakar menerusi program senaman yang dianjurkan secara percuma itu mengikut kesungguhan peserta melakukannya.

Lazimnya, untuk tempoh lapan hingga 10 saat yang pertama sumber karbohidrat dalam badan akan bertukar menjadi gula sebelum ia digunakan sebagai tenaga bagi melakukan lebih banyak gerakan dalam senaman.

Untuk tempoh seterusnya hingga dua minit, berlaku proses pemecahan protein dalam badan jika senaman diteruskan bersama kombinasi oksigen yang diperoleh jika diteruskan hingga 20 minit.

Selepas 20 minit senaman, proses pemecahan lemak akan berlaku. Disebabkan itu, jika kita faham mengenai tempoh senaman yang betul iaitu sekurang-kurangnya dilakukan dalam tempoh 30 minit setiap hari, pasti kita memperoleh kesan diinginkan pada tubuh.

“Sihat, cergas dan umur selain bentuk badan serta usia bukan penentu kepada tahap kesihatan seseorang. Justeru, saya menggalakkan semua orang bersenam mengikut kemampuan mereka setiap hari di samping mengambil air kosong yang banyak untuk mengekalkan kesihatan badan.

“Pada masa sama, kita juga perlu menitikberat-kan teknik senaman yang betul dan aspek keselamatan peserta bagi mengelakkan kesan buruk terhadap badan,” katanya.

Selain Zumba di daratan, Adasandha turut melakukan kelas senaman berkenaan di dalam air bagi memberikan pengalaman dan kesan berbeza bergantung kepada kesungguhan peserta.
Untuk sebarang maklumat lanjut, layari Adasandha Anuar (Facebook) atau @adasandha (Instagram).

Adasandha juga tidak kisah meluangkan masa bersama golongan istimewa jika ada badan pertubuhan rumah anak yatim, kanak-kanak istimewa atau orang tua yang memerlukan khidmatnya.

Turun berat badan terus bertenaga

Bagi Faezah Abdul Wahab, 39, yang menyertai program senaman Zumba pada hari itu, sebelum ini dia memang gemar meng-ikuti aktiviti senaman aerobik di taman rekreasi yang diadakan secara terbuka.

“Ia menjadi pendorong kepada saya untuk terus menyertai program seumpama itu bagi memenuhi impian memiliki bentuk badan idaman.

“Impian berkenaan juga menjadi pencetus idea untuk membuka Primadona Fitness Studio di Semenyih.

“Studio itu dibuka khas untuk semua wanita yang mahu menjaga kesihatan dan mempunyai impian sama seperti saya untuk memperoleh berat badan ideal,” katanya.

Baginya, banyak kelebihan de-ngan bersenam, bukan hanya untuk menurunkan berat badan, malah jika dilakukan secara konsisten mampu memberikan kesegaran dan tenaga kepada tubuh.

Tenaga sangat diperlukan terutama kepada wanita yang perlu me-nyiapkan pelbagai tugasan sama ada di rumah atau pejabat.

“Sebenarnya, saya mula sedar mengenai kebaikan senaman selepas habis berpantang dan nekad menurunkan berat badan yang agak membimbangkan selepas bersalin.

“Mulanya, saya nekad bersenam bagi menurunkan berat badan dan menyertai program Primadona Health and Fitness yang dianjurkan di studio ini bersama Adasandha.

“Apabila menyertai latihan yang diajarnya, saya cuba buat sendiri di rumah bagi mendapatkan kesan yang diinginkan,” katanya.

Bertambah semangat untuk melakukan senaman apabila jurulatih turut memberikan kerja rumah iaitu berupa latihan yang perlu dibuat sendiri di rumah setiap hari.

Dulu berat badannya 78 kilogram dan selepas mengikuti program berkenaan dalam tempoh lapan bulan, dia berjaya memiliki berat badan 68 kilogram.

Matlamatnya berbeza namun usaha yang dilakukan sama iaitu melalui senaman. Tengku Ainshah Raja Mamat, 51, tidak mahu ketinggalan menyertai program Zumba Fitness itu bersama rakannya yang lain kerana memahami impaknya.

Jika sebelum ini, Tengku Ainshah kurang mengambil berat mengenai aspek senaman kerana letih selepas pulang bertugas, namun semua itu kini sudah berubah.

“Saya mula bersenam dengan mengikuti program TM Fitness Challenge yang diadakan di tempat bertugas, sekali gus mendorong saya lebih menyukai senaman.

“Mulanya, saya tertarik dengan program itu kerana mahu mengurangkan ketegangan otot terutama di bahagian bahu selepas seharian menyiapkan tugasan di depan komputer.

“Jadi, saya ikuti program berkenaan selepas waktu bekerja iaitu antara jam 6 hingga 7 petang, dua kali seminggu,” katanya.

Kini, selepas mempelajari jenis senaman yang baik untuk melegakan ketegangan otot, dia membuat sendiri latihan itu di rumah setiap pagi, sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga minit bagi menyegarkan minda dan badannya.

Justeru, tiada alasan untuk menggalakkan dirinya sendiri melakukan senaman dan membabitkan diri dengan aktiviti berfaedah pada waktu terluang bersama rakan lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

380 views