Berhenti Kerja Untuk Berniaga

Diasaskan Saidin Abd Rashid dan isterinya, Rokiah Daud lebih 70 tahun lalu, bermula dengan sebuah rumah kayu dua tingkat dikelilingi ladang getah dan kebun sayur-sayuran, kini ia semakin bertambah apabila anak-anak Saidin membina satu persatu rumah di sekelilingnya sehingga berjumlah 23 rumah.

Jika diperhatikan, ia sama seperti rumah kampung yang lain. Namun apa yang berbeza, semangat ukhuwah yang ditunjukkan begitu tinggi sehinggakan setiap rumah di sini mempunyai sekurang-kurangnya satu perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang dimulakan generasi kedua keluarga Saidin dan Rokiah.

Sama ada perusahaan katering, gerai makanan, kuih-muih, gubahan hantaran, perkhidmatan menjaga budak atau memberikan sokongan tenaga kerja kepada industri sedia ada, semuanya diusahakan dari rumah secara solo dan kini dimajukan dan ditambah baik generasi seterusnya.

Perusahaan yang dimulakan generasi kedua kini dimajukan generasi ketiga apabila mereka meningkatkan pengetahuan serta memperkemaskan modus operasi dan strategi pemasaran agar produk kampung dapat dipasarkan secara meluas menerusi teknologi maklumat termasuk Internet.

Bagi generasi kedua yang juga cucu kepada Saidin, Khairina Yaacob, dia memulakan perniagaan pakaian menyusu kerana ingin mengisi keperluan yang ketika itu menyusukan anak sepenuhnya. Menyedari tidak banyak baju kurung tradisional mesra penyusuan di pasaran, lantas dia ingin memasarkannya.

“Pada masa itu, saya masih bekerja sepenuh masa dan memerlukan baju yang memudahkan saya mengepam susu di pejabat dan di luar. Hasil perbincangan dengan rakan, kami mendapat idea untuk mengeluarkan baju kurung menyusu yang pertama dengan bukaan terselindung yang membolehkan penyusuan dibuat dengan selesa tanpa mengubah ciri-ciri tradisi baju itu.

“Dengan itu, lahirlah koleksi baju menyusu BlingBuubies Nursing Apparel yang dijual secara dalam talian menerusi www.blingboutique.biz.

“Koleksi ini berkonsepkan sedia dipakai dengan tempahan individu hanya dibuka secara bermusim menerusi jemputan kepada pelanggan setia,” katanya.

Namun disebabkan konsep koleksi yang unik kerana memaparkan potongan dan ciri istimewa lain daripada yang lain, Khairina sukar mendapatkan tukang jahit mahir yang dapat menghasilkan koleksi sebegini. Oleh itu, dia memberanikan diri menceburi bidang perniagaan yang agak asing iaitu menyediakan khidmat jahitan borong khusus untuk baju menyusu.

“Saya mula mencari idea untuk mengembangkan pasaran baju menyusu ini. Dengan itu saya mewujudkan satu lagi cabang perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan jahitan borong khusus untuk baju menyusu serta khidmat jahitan kepada pengusaha butik penyusuan lain,” ujarnya.

Bermula dengan hanya satu tempahan pukal daripada butik penyusuan lain, kini Khairina mempunyai kontrak jahitan pukal untuk enam butik baju mengandung dan menyusu di Malaysia dan Singapura, selain menjadi tukang jahit tetap kepada beberapa jenama daripada pereka muda tempatan.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang jahitan, Khairina yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Teknologi Petronas, pernah bekerja empat tahun dengan syarikat minyak dan gas multinasional di ibu negara sebelum mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin memberi tumpuan kepada perniagaan.

“Saya akui tiada latihan khusus dalam bidang perniagaan dan hanya berasaskan minat yang disemai sejak kecil. Ketika bekerja, saya pernah menceburkan diri dalam beberapa jenis perniagaan secara sambilan iaitu menjual kerepek, kuih-muih dan kerongsang dalam talian.

“Saya kemudian membuka pusat mencuci dan mencantikkan kereta di sekitar Subang Jaya, Putra Height dan Puchong. Akhirnya, saya memberi fokus kepada perniagaan butik baju menyusu dan khidmat jahitan pukal.

“Pengalaman yang diperoleh daripada pelbagai perniagaan secara kecil-kecilan selain minat yang mendalam menjadikan saya lebih matang dalam mengharungi cabaran dalam perniagaan,” katanya yang mengubah suai rumah pusaka keluarga yang terletak di kampung ini untuk dibangunkan menjadi pusat jahitan yang dijana 100 peratus tenaga kerja setempat.

Menurut Khairina, dia menggunakan 100 peratus modal daripada perniagaan terdahulu ditambah wang simpanan sendiri dan rakan kongsi. Tanpa bantuan kerajaan, dia menggunakan pusingan modal yang sangat terhad. Namun ini menjadi cabaran kepada wanita ini bagi memastikan perniagaannya dapat digerakkan dan dimajukan dalam lingkungan kewangan yang tidak seberapa.

“Kekangan ini menjadi asas kepada idea kreatif, pelan pemasaran serta pekerja yang dedikasi, mahir dan mempunyai hala tuju yang betul. Pengalaman kami selama beberapa tahun ini mendapati untuk mendapatkan pekerja yang tepat amatlah sukar kerana anak-anak muda lebih gemar menceburi pekerjaan yang menjanjikan glamor di kota besar berbanding bekerja sebagai tukang jahit di kampung kecil ini.

“Namun ini menjadikan kami lebih peka dalam pengambilan pekerja berpengalaman daripada lingkungan lebih berusia, sekali gus memberikan keseimbangan dalam tugas diberikan,” katanya.

Dia kini memiliki 15 pekerja tetap iaitu 10 berkhidmat sebagai tukang jahit dan lima kakitangan terbabit dalam pengurusan, pemasaran dan pentadbiran. Semuanya memiliki kelulusan dalam bidang berkaitan sama ada menerusi institusi pengajian tinggi atau Pusat GiatMARA manakala untuk staf pentadbiran dan pengurusan, mereka terdiri daripada pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi, awam dan multimedia tetapi mempunyai minat dan visi untuk memajukan perniagaan IKS di Kampung Saidin.

Tambahnya, kemunculan peniaga bermusim yang menggunakan khidmat tukang jahit import dari Bangladesh dan Indonesia yang menawarkan harga terlalu rendah menyebabkan persaingan tidak sihat berlaku.

Bagaimanapun, oleh kerana niat dan fokus berbeza dengan apa yang ditawarkan tukang jahit pukal, persaingan ini tidak memberi masalah kerana Bling Lustre lebih memberi fokus kepada baju dan produk penyusuan ibu serta koleksi untuk butik dan pereka muda tempatan yang memerlukan kemahiran berbeza.

Bagi mengetengahkan pakaian menyusu kepada orang ramai, Khairina dibantu keluarga dan kakitangan Bling Lustre yang sentiasa aktif melakukan promosi menerusi Fanpage dan laman sesawang.

Setiap promosi dan pengenalan produk baru dimuat naik ke Fanpage dan website. Oleh itu, pelanggan, rakan dan pelayar Internet mengetahui mengenai produk dan khidmat ditawarkan.

Bling Lustre juga aktif mengiklankan produk dan perkhidmatan jahitan di majalah selain mengikuti ekspo bagi mendekati pelanggan.

“Apa yang paling penting adalah pengiklanan daripada mulut ke mulut kerana ia promosi terbaik untuk mendapatkan pelanggan. Oleh kerana mempunyai ramai pelanggan setia, Bling Lustre sangat menjaga hubungan baik dengan pelanggan kerana mereka adalah nadi utama perniagaan,” ujarnya.

Bagi Khairina, dia sebolehnya berusaha memantapkan perniagaan kerana melaluinya dia dapat memberi peluang pekerjaan kepada semua golongan bukan saja kepada anak muda lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi, malah sebagai sumber pendapatan untuk warga tua, ibu tunggal dan suri rumah.

“Di samping memberikan pendapatan tetap kepada penduduk setempat, perniagaan ini juga menjadi satu sumber sampingan kepada warga kampung yang lain. Tempahan yang diterima boleh dibuat di rumah seperti jahit silang pangkah, jahit manik, jahit tulang belut, mata lalat dan jahit butang sebagai sumber pendapatan sampingan mereka,” katanya yang turut mencetuskan pekerjaan sokongan seperti pembantu dan pembersih rumah yang secara tidak langsung memberikan sumbangan kepada pendapatan isi kampung.

Pada masa depan sebagai pelopor kepada perusahaan IKS di Kampung Saidin, Khairina berharap dapat menambah baik kualiti dan hasil perkhidmatan dengan meningkatkan cara kerja yang lebih efektif.

Lokasi perniagaan yang hanya menggunakan rumah pusaka lama juga perlu dinaik taraf agar dapat memuatkan tambahan mesin bagi membolehkan tambahan dalam pelbagai perkhidmatan.

Promosi dan pusat khidmat pelanggan juga perlu dilaksanakan dalam mengembangkan rangkaian produk baju menyusu dan juga khidmat jahitan pukal yang diusahakan ini.

“Untuk jangka panjang, saya ingin menjadikan perusahaan jahitan sebagai Rumah Fesyen yang dapat menghasilkan koleksi berkualiti dan mempunyai nilai yang tinggi. Impian kami untuk memiliki Rumah Fesyen setaraf Milan tetapi ditempatkan di kampung yang dapat menggunakan 100 peratus warga setempat.

“Ini bukan saja menarik tempahan dari dalam negara tetapi jenama dan pereka luar negara,” ujarnya penuh mengharap.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

690 views