Beringat Ketika Rumah Terbuka

Jemputan rumah terbuka menjanjikan pelbagai hidangan menyelerakan. Tetapi, hidangan itu berkemungkinan mengandungi kadar gula, garam dan kolesterol yang tinggi.

Pengambilan jumlah kandungan makanan yang tinggi dengan bahan berkenaan boleh menjejaskan kesihatan terutamanya bagi mereka yang sedia mempunyai masalah kesihatan.

Peningkatan paras gula secara mendadak dalam badan bagi pesakit yang mempunyai kencing manis boleh menyebabkan koma atau tidak sedarkan diri.

Ini berlaku disebabkan kepekatan darah yang meningkat dan penghasilan serta pengumpulan asid dalam badan yang boleh menyebabkan gangguan pada organ penting badan seperti buah pinggang, jantung dan otak.

Peningkatan paras gula menyebabkan pesakit kerap membuang air kecil. Ini menyebabkan lebih banyak air hilang daripada badan dan menyebabkan paras gula meningkat dalam darah. Pada awalnya, pesakit akan berasa kerap haus, loya dan pening.

Ada kalanya pesakit akan muntah dan cirit-birit menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk. Jika peningkatan paras gula naik mendadak, pesakit akan mula keliru, boleh mengalami sawan dan tidak sedarkan diri atau koma.

Pengambilan makanan yang mengandungi garam juga tidak sesuai bagi mereka yang menghidap tekanan darah tinggi. Garam yang diserap dan memasuki badan menyebabkan lebih air tersimpan di dalam pembuluh darah.

Lebihan air ini menyebabkan tekanan darah meningkat. Dalam kebanyakan kes, peningkatan tekanan darah tidak mempunyai simptom atau simptom itu diabaikan oleh pesakit.

Darah tinggi dipanggil ‘bom jangka’, di mana setelah berlaku komplikasi akibat peningkatan darah, barulah pesakit mempunyai simptom. Misalnya seperti angin ahmar atau strok serta serangan jantung.

Simptom awal sebelum berlaku komplikasi akibat peningkatan darah tinggi ada kala boleh dirasai. Antaranya sakit kepala. Sakit ini tidak menentu dan tidak khusus pada bahagian tertentu pada kepala.

Ada kala pesakit mengalami sakit tengkuk, pening dan juga loya. Selain itu, penglihatan juga menjadi kabur. Bagi mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis hendaklah memastikan ubat diambil seperti disarankan.

Selain itu, beli peralatan untuk memeriksa sendiri tekanan darah dan paras gula dengan kerap. Ini untuk memastikan bacaan gula dan tekanan darah sentiasa terkawal.

Jika ada simptom yang merisaukan, hendaklah segera berjumpa doktor di klinik atau jabatan kecemasan hospital yang terdekat. Tidak perlu tunggu sehingga sampai ke tempat biasa pesakit mendapatkan rawatan kerana rawatan segera mesti diberikan jika perlu di mana pun pesakit berada.

Ini untuk mengelakkan berlaku kematian akibat komplikasi yang tidak diingini. Ubat darah tinggi tertentu boleh diberikan sama ada melalui suntikan atau makan untuk menurunkan tekanan darah dengan segera bergantung kepada bacaan ketika pesakit mendapatkan rawatan.

Pemantauan akan dilakukan dalam jangka masa yang singkat sehingga bacaan tekanan darah terkawal dan tiada komplikasi akibat darah tinggi itu. Bagi paras gula yang tinggi pula, pemberian suntikan insulin dengan memasukkan cecair ke dalam badan dapat membantu mengurangkan paras gula dan mengurangkan kadar dehidrasi yang berlaku akibat kepekatan darah yang tinggi dengan gula.

Selain itu, pemeriksaan darah perlu dilakukan untuk menentukan paras asid dan juga komplikasi yang lain kepada organ badan yang lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

160 views