Berinteraksi Tanpa Malu

Siapa sangka, seorang remaja Orang Asli Suku Jahai berusia 19 tahun yang kelihatan sihat seperti rakan seusianya didapati mempunyai tahap kolesterol tinggi dalam darah.

Seorang wanita daripada etnik berkenaan pula mengaku memotong sendiri uri menggunakan buluh selepas melahirkan bayinya.

Itu antara pendedahan menarik oleh sepasukan sukarelawan daripada syarikat farmaseutikal terkemuka, Pfizer dan Mercy Malaysia ketika mengadakan misi amal saringan kesihatan Health Fellows Care-A-Van di Perkampungan Sungai Tiang, Gerik, Perak, baru-baru ini.

Pakar Perubatan dan Produk Jabatan Perubatan Pfizer Dr Gayathri Gunasagaran mengakui, pihaknya terkejut apabila mendapati hasil ujian darah salah seorang remaja Orang Asli berkenaan disahkan mempunyai kadar kolesterol yang tinggi dan membahayakan kesihatan.

Remaja itu pula langsung tidak menyedari darahnya mempunyai kolesterol sebegitu tinggi dan menganggapnya bukan satu perkara yang perlu dibimbangkan.

“Jika tidak ditangani, remaja itu boleh terdedah kepada risiko serangan jantung dan pelbagai penyakit berbahaya yang lain.

“Jadi, kami perlu menerangkan dengan cara paling mudah mengenai keburukan kolesterol kepadanya. Meskipun kelihatan keliru, selepas diberi penerangan lanjut dia mula memahami dan berjanji untuk mengubah amalan pemakanannya,” katanya.

Menurut Gayathri, program saringan kesihatan itu mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat Orang Asli terbabit.

Walaupun terpaksa menunggu giliran untuk diambil data sebelum melakukan pemeriksaan kesihatan, mereka tetap bersemangat untuk mengikutinya sehingga selesai.

Jelas Gayathri, masyarakat Orang Asli secara amnya tidak mempunyai masalah kesihatan yang khusus, tetapi ada yang mempunyai petanda untuk menghidap tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol.

“Mungkin faktor pemakanan atau gaya hidup yang menyebabkan ada antara mereka terutama golongan wanita yang mempunyai masalah berkenaan.

“Mereka yang didapati mempunyai petanda sebarang penyakit diminta merujuk kepada hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Pengurus Projek Health Fellows Care-A-Van, Lee Lip Foong berkata, program amal itu salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan kepada masyarakat.

Ia disertai 13 sukarelawan termasuk dua doktor terlatih serta Koordinator Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Mercy Masniza Mustaffa.

Syarikat itu dan Mercy bergabung tenaga menyediakan khidmat saringan pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat Orang Asli di situ.

Turut diadakan ceramah mengenai penyakit barah payudara, rawatan kutu serta kuiz kesihatan.

Kata Lee, program berkenaan adalah usaha syarikat farmaseutikal berkenaan dan Mercy untuk membantu menyediakan pengetahuan asas mengenai penjagaan kesihatan dan kemudahan asas kepada masyarakat luar bandar seperti di Sungai Tiang.

“Kunjungan itu bukanlah kali pertama, namun kunjungan terbabit tetap meninggalkan kesan di hati dan kami berjanji untuk kembali ke kampung ini untuk membantu mereka.

“Dengan kerjasama daripada Mercy, pasukan ini dapat mencapai sasaran yang lebih luas dan jalinan erat ini akan diteruskan pada masa depan,” katanya.

Menurut Lee, program Care-A-Van adalah unit kesihatan bergerak yang sudah diwujudkan sejak 16 tahun lalu untuk memberi bantuan dari segi perubatan kepada golongan kurang berkemampuan.

Menerusi program itu, syarikat berkenaan menyediakan dana dan tenaga kakitangannya dalam menyalurkan bantuan perubatan kepada mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan pedalaman.

“Program ini turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sehingga kini lebih 500 lokasi sudah dikunjungi di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu menggunakan sepenuhnya tenaga kakitangannya untuk membantu misi kegiatan amal terbabit menerusi Pfizer Health Fellows (PHF).

PHF diilhamkan daripada program global antarabangsa yang menyediakan kakitangan terpilih di seluruh dunia untuk melaksanakan kerja sukarelawan di negara dunia ketiga.

Meskipun paras kemiskinan penduduk di negara ini dikatakan semakin menurun, masih ada sebilangan masyarakat yang masih memerlukan bantuan.

“Setiap kali melakukan misi, kami memberi tumpuan kepada aspek rawatan, mengajar, membina dan memberi perkhidmatan kepada komuniti di kawasan dipilih.

“Semua itu dilakukan bagi membantu memberi kesedaran serta pendidikan terhadap aspek penjagaan kesihatan kepada golongan yang kurang mampu terutama di kawasan pedalaman,” katanya yang turut mengagihkan sumbangan berupa vitamin C, ubat kutu dan peralatan sekolah kepada penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu, Rafidah Erra, 20, berkata, dia gembira dengan kehadiran pasukan sukarelawan berkenaan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma di kampungnya.

Banyak maklumat berguna diberikan antaranya membabitkan penyakit barah payudara.
“Saya dan wanita lain di kampung ini tidak arif mengenai penyakit berkenaan dan apa yang kami tahu, ia boleh membawa maut.

“Dengan adanya program sebegini, kami boleh berinteraksi tanpa rasa malu untuk mendapat maklumat berguna. Harapan kami semoga mereka tidak serik untuk mengadakan program seperti ini pada masa depan,” katanya.

Jururawat habis cuti sertai misi sukarela

Sukarelawan, Emi Shahida Zulkifli, 30, tidak kisah menghabiskan cuti tahunannya semata-mata untuk menyertai aktiviti sukarelawan dan kemasyarakatan.

Emi yang juga jururawat di Hospital Sungai Buloh itu baru tiga tahun menyertai Mercy Malaysia sebagai sukarelawan.

Dalam tempoh berkenaan, dia berpeluang menyertai lebih 10 program sukarelawan bersama pertubuhan bukan kerajaan terbabit.

Sebelum ke Sungai Tiang, wanita kecil molek itu menyertai beberapa misi yang sama di Kluang, Johor serta beberapa tempat lain di ibu negara.

Emi akui tidak kisah mengorbankan cuti tahunannya asalkan dapat berbakti kepada masyarakat.

“Sebaik saja mengetahui mengenai program berkenaan, saya segera memberi nama kepada pihak urusetia untuk mengambil bahagian sebelum memohon cuti tahunan daripada hospital.

“Meskipun lokasi program kali ini terletak jauh di pedalaman tanpa kemudahan biasa, saya tidak kisah kerana apa yang penting dapat melakukan sesuatu untuk golongan yang memerlukan,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya, masyarakat Orang Asli terutama kanak-kanak sangat pemalu dan sebagai orang luar, dia perlu mencari kaedah tertentu untuk mendekati mereka.

Emi paling seronok melakukan aktiviti bersama kanak-kanak kerana jiwanya sendiri amat suka mendekati si kecil.

Katanya, untuk program di Sungai Tiang ini, dia bersama beberapa sukarelawan daripada Mercy dan Pfizer berpeluang menyapu ubat kutu kepada lebih 50 kanak-kanak di dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang di kampung berkenaan.

Selain itu, dia bersama sukarelawan lain meluangkan masa untuk memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai aspek penjagaan kebersihan.

“Memang diakui pada mulanya agak sukar untuk meyakinkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke dewan ini tetapi selepas mereka melihat hasilnya, lebih ramai yang berpusu-pusu datang.

“Keletah kanak-kanak Orang Asli tidak jauh beza dengan kanak-kanak lain cuma mereka lebih pemalu dan agak takut untuk menjawab pertanyaan kerana tidak biasa dengan masyarakat luar.

“Apapun, program ini memberi dimensi baru kepada saya mengenai erti pengorbanan dan lebih menghargai apa yang dimiliki kerana masih ramai golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan Bahagian Tengah Bahagian Jualan Pfizer Amilia Sharni Arshad, 37, berkata, sepanjang program berkenan, semua sukarelawan menginap di perkampungan Orang Asli terbabit selama tiga hari dua malam.

Pasukan sukarelawan berkenaan secara bergotong-royong memasak makanan selain menyiapkan ruang di dalam bilik darjah untuk mereka melakukan aktiviti saringan kesihatan.

“Alhamdulillah, sepanjang program berlangsung, kami mendapat kerjasama erat daripada penduduk kampung serta beberapa badan kerajaan berkaitan.

“Masyarakat Orang Asli ini menerima kehadiran sukarelawan dengan terbuka dan ia memudahkan kami untuk melaksanakan misi program sebaiknya,” katanya.

Menurut Amilia, dia beruntung kerana majikannya tidak menghalang pekerja yang berminat untuk menyertai program sukarelawan seperti Health Fellows Care-A-Van.

Syarikatnya juga sentiasa menggalakkan kakitangan untuk mengambil bahagian dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak kira ketika waktu bekerja atau semasa cuti.

Kata Amilia, syarikatnya sebelum ini banyak menganjurkan aktiviti kemasyarakatan membabitkan program CSR di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Baru-baru ini, seramai 10 kakitangan wanita Pfizer turut terbabit dalam program membaiki rumah keluarga Orang Asli di Tanjung Sepat, Selangor dan ia memberi pengalaman baru kepada kami.

“Selain penduduk luar bandar, program berkenaan turut membantu masyarakat di Lembah Klang yang memerlukan terutama di sekolah,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,212 views