Berjimat Sejak Kecil
Budaya memberi duit raya memang sudah lama diamalkan walaupun ia bukanlah diwajibkan ataupun satu kemestian.
Kita tidak dapat menolak bahawa pemberian duit raya antara kemuncak yang paling dinanti kanak-kanak setiap kali menjelangnya 1 Syawal.
Ia menjadi saat paling gembira untuk kanak-kanak kerana berpeluang mengumpul duit raya. Bagi remaja berusia 13 tahun ke atas, jarang mereka diberikan duit raya, tetapi tidak dinafikan masih ada yang menerimanya. Cuma jumlahnya sudah berbeza.
Kalau dilihat dari perspektif positif, pemberian duit raya bukan sekadar sedekah kerana ia lebih daripada itu. Ia mampu memberikan senyuman kepada anak-anak kecil atau anak yatim umpamanya.
Namun untuk mengelak mereka daripada membazirkan duit raya dengan sewenang-wenangnya, ibu bapa harus bijak mendidik anak menguruskan duit raya masing-masing.
Jangan dibiarkan mereka menghabiskan duit berkenaan untuk membeli barangan kesukaan yang tidak bermanfaat. Sebaiknya, didik anak menabung duit raya yang mereka peroleh untuk digunakan ketika waktu memerlukan.
Amalan menabung adalah langkah awal bagi memupuk sikap berjimat cermat. Tabiat ini perlu disematkan dalam jiwa kanak-kanak sejak awal lagi supaya mereka menyedari kepentingan menyimpan wang untuk kegunaan masa depan.
Menurut perunding motivasi keibubapaan bertauliah, Zaid Mohamad, ibu bapa digalakkan supaya memberi peluang kepada anak menyimpan sendiri duit raya mereka.
Namun katanya, ia perlu sesuai dengan usia mereka kerana bagi yang masih kecil (enam tahun ke bawah), ibu bapa boleh membantu menyimpannya dan menjelaskan dengan baik kepada kanak-kanak.
“Bagi kanak-kanak di peringkat sekolah rendah terutama yang berusia sembilan tahun ke atas, galakkan mereka menyimpan sendiri duit raya dengan selamat seperti di dalam dompet atau tas tangan.
“Kanak-kanak juga perlu diberitahu mengenai tanggungjawab terhadap duit berkenaan bagi melatih mereka menjaga dan menghargai sesuatu.
“Paling penting, jangan biarkan mereka menyimpan duit raya terlalu lama di dalam sampul kerana mungkin boleh terbuang secara tidak sengaja,” katanya.
Jelas Zaid lagi, seperti kebiasaan, jualan mercun atau judi tikam di kedai runcit pasti akan menarik perhatian kanak-kanak.
Bagi menghindari pembaziran, ibu bapa perlu membuat persetujuan seawal mungkin dengan anak agar mereka menyimpan sebahagian besar jumlah duit raya dan hanya menggunakan sedikit saja untuk bersuka ria.
“Tidak salah sekiranya ibu bapa memenuhi permintaan anak dengan membeli barang yang diinginkan menggunakan duit raya. Namun, ia harus dibelanjakan sekadar 25 peratus daripada hasil kutipan terkumpul saja.
“Jika tidak mencukupi, ibu bapa boleh menambah sedikit untuk membeli barangan itu. Duit raya boleh dibelanjakan dengan cara sebegini supaya anak tidak kempunan melihat rakan lain mendapat sesuatu yang mereka ingini.
“Jangan tidak dibelanjakan langsung kerana ia menyebabkan mereka berasa amalan menyimpan wang bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
“Jika ini dipraktikkan secara konsisten, anak akan melihat kebaikan menabung dan meneruskannya sehingga mereka dewasa kelak dan mempunyai pendapatan sendiri,” katanya.
Sementara itu, bagi Aniza Mohd, 39, dari Putrajaya, sikap suka menabung perlu dipupuk dalam kalangan kanak-kanak sejak kecil lagi kerana ia dapat melatih mereka berjimat cermat dan menghargai wang.
Selain itu, menabung juga dapat melatih kanak-kanak mengurus perbelanjaan mereka dengan teratur, sekali gus mengelakkan sikap suka membazir dan boros.
Bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik bersama suami, Zulkifli Mohd Fuad itu menerapkan sikap suka menabung pada tujuh anaknya iaitu Siti Nur Izzah, 14, Mohamad Al Amin, 12, Mohammad Syahmi, 12, Yasmeen, 10, Amir Ziqri, 5, Khadeeja Zahra, 4, dan Umar Zaqeer, 2, sejak mereka kecil lagi.
“Selain duit raya, anak-anak turut digalakkan menyimpan wang lebihan belanja sekolah di dalam tabung untuk kegunaan masa depan. Apabila wang dalam tabung sudah penuh, ia dimasukkan ke dalam akaun simpanan Tabung Haji masing-masing.
“Alhamdulillah, setakat ini anak sudah faham mengenai kepentingan menabung, namun jika teringin membeli sesuatu, saya dan suami membenarkan mereka menggunakan sedikit duit simpanan masing-masing,” katanya.