Berkat Modal RM70

Hanya dengan RM70 pada 1989, usahawan wanita gigih, Norliza Kamal Ariffin, 47, berjaya membuktikan kesabaran, ketekunan dan kerajinan mampu mengubah nasib seseorang.

Menyewa kios kecil de–ngan barangan hiasan rumah yang terhad, dia berjaya merangkak sedikit demi sedikit untuk muncul antara wanita berjaya dalam bidang perniagaan selepas berdepan pelbagai rinta–ngan dan ujian.

Baginya, bermulut manis dan jujur antara faktor yang mesti ada pada seorang peniaga kerana ia penting dalam menambat hati pelanggan secara berterusan.

Hasilnya, setahun selepas itu dia mula mengembang–kan perniagaannya dan turut mengusahakan kafe sebagai bidang perniagaan sampingan.

“Saya bertahan dengan perniagaan itu dan sering bertukar pandangan dengan suami (Roslan Yahya, 51) untuk memajukan lagi perniagaan.

“Selepas 16 tahun bergelumang dalam selok-belok perniagaan, saya memiliki premis sendiri pada 2005 yang mengeluarkan produk skaf dan tudung wanita untuk pelbagai golongan,” katanya.

Menerusi jenama Rang–kaian Lynd Enterprise (RLE), Norliza mula melihat pasaran skaf dan tudung yang menjanjikan prospek amat baik dalam memenuhi cara pemakaian Muslimah masa kini.

Menurutnya, tanpa meninggalkan perniagaan kafe yang banyak membantu menjana modal perniagaan skaf dan tudungnya, dia memberanikan diri mereka cipta fesyen skaf dan tudung sendiri demi memenuhi permintaan pelanggannya yang semakin bertambah.

Dari situ, RLE mula bergelar pengeluar produk skaf dan tudung yang kini sudah memasarkan lebih 200,000 helai skaf dan tudung buatan sendiri sejak ia beroperasi.

Jumlah itu juga melonjakkan namanya, sekali gus muncul sebagai pengeluar utama fesyen berkenaan di wilayah utara.

Produk keluaran RLE yang dikenali menerusi jenama Lynd Skaf itu satu-satunya tudung jahitan yang menggunakan mesin ayakan tangan pertama di Malaysia.

“Melalui penyelidikan dan pemantauan, RLE mendapati pasaran produk tudung kini menjadi pilihan Muslimah pelbagai usia dan golongan. Ini membuktikan permintaan terhadap produk itu sentiasa ada dan berkembang.

“Sebagai memenuhi pasaran produk itu, Lynd Skaf diwujudkan untuk menampung permintaan dengan mengutamakan kualiti dan fesyen terkini,” katanya ketika ditemui di butiknya di Kompleks Perniagaan SP Plaza, Sungai Petani, Kedah.

Bagi mengekalkan kualiti supaya pemakaiannya sentiasa selesa, RLE meng–gunakan kain jenis lycra, nilon, sutera, sutera sifon, sutera katon, velvet, renda Perancis dan pelbagai lagi yang diimport dari Itali, Australia, Dubai, Korea dan China.

Norliza yang turut dipilih sebagai Pengerusi Puspanita Daerah Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang berkata, kain jenis sifon mendapat permintaan tinggi disebabkan ia lebih lembut, tidak berkedut, mudah dijaga dan senang dibersihkan.

“Untuk hiasan, tudung itu diserikan dengan batu swarovski beraneka bentuk yang juga diimport khusus dari Australia dan Korea.

“Apa yang membezakan tudung keluaran RLE berbanding produk seumpamanya di pasaran, ia turut disulam dengan batu swarovski menggunakan teknologi terkini bagi memberi ketahanan aksesori berkenaan di samping menyerikan tudung,” katanya.

Menurutnya, bagi me–nguasai pasaran yang semakin hebat persai–ngannya, RLE sudahpun mewujudkan beberapa inisiatif bertujuan mengekal–kan jenama Lynd Skaf sentiasa eksklusif dan relevan sepanjang masa.

“Kami juga memiliki kilang sendiri khusus untuk pembuatan tudung yang boleh menghasilkan lebih 1,000 helai produk berkenaan dengan pelbagai rekaan dan bentuk sulaman berdasarkan kreativiti sendiri serta tempahan pelanggan.

“Syarikat juga mempunyai dua cawangan aktif iaitu masing-masing di Alor Setar dan Sungai Petani Selatan,” katanya.

Katanya, sehubungan itu, RLE sentiasa membuka peluang kepada usahawan baru meneroka pasaran produk skaf dan tudung sebagai rakan francais atau menjadi pengedar selain memperkenalkan sistem kad keahlian.

Syarikat berkenaan turut menerima banyak tempahan secara pukal daripada pertubuhan tertentu, jabatan kerajaan dan pihak swasta bagi disesuaikan dengan pakaian seragam masing-masing.

“RLE tidak begitu mementingkan kuantiti tetapi amat menitikberatkan kualiti demi kepuasan pelanggan yang mahukan keselesaan setiap kali mengenakan skaf dan tudung.

“Aspek mutu dan keselesaan memang penting kerana selain cantik, dua elemen berkenaan mesti ada pada skaf dan tudung. RLE berharap produk yang dikeluarkan ini mampu memberi pilihan kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan.

“Untuk jangka panjang, selain menyertai pasaran di seluruh negara, jenama Lynd Skaf dalam perancangan memperkenalkan produknya di negara jiran terutama Brunei dan Indonesia,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

903 views